Kombinasi Su-57 “Felon” Dengan Peluru Berpandu KH-69 “Menggerunkan” Ukraine

Menurut sumber tentera Ukraine,  pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Russia Su-57 “Felon” dan peluru berpandu udara ke darat KH-69 telah memainkan peranan yang kritikal dalam serangan yang membawa kepada kemusnahan loji janakuasa thermal Trypilska Ukraine yang amat penting itu,

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 11 April lalu, tentera Russia telah memusnahkan loji janakuasa thermal Trypilska (TPP) di Kiev yang merupakan loji janakuasa terbesar di wilayah Kiev menerusi kombinasi serangan peluru berpandu dan dron-dron berani mati.

Menurut jurucakap tentera Ukraine, tentera Russia telah melancarkan sebanyak 82 peluru berpandu dan dron berani mati termasuk enam butir peluru berpandu hypersonic “Kinzhal” yang memusnahkan loji janakuasa thermal yang penting itu.

Kemusnahan loji janakuasa thermal Trypilska yang memiliki kapasiti penjanaan elektrik terbesar di Ukraine itu amat dirasai kerana ia telah memutuskan bekalan elektrik terhadap sebahagian besar ibu negara Kiev.

Menurut sumber tentera Ukraine,  pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Russia Su-57 “Felon” dan peluru berpandu udara ke darat KH-69 telah memainkan peranan yang kritikal dalam serangan yang membawa kepada kemusnahan loji janakuasa thermal itu.

Selain pesawat-pesawat pejuang Su-57, peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 itu juga boleh dilancarkan oleh pesawat pejuang Su-34 dan Su-35.

Peluru berpandu udara-ke-darat “KH-69”

 

Malah sumber tentera Ukraine itu menyatakan bahawa serangan terhadap loji janakuasa thermal menunjukkan peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 itu adalah lebih berbahaya berbanding peluru berpandu hypersonik “Kinzhal”.

Setiap sebuah pesawat pejuang Su-57 Tentera Udara Russia boleh membawa sehingga empat buah peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 di dalam kompartment senjatanya yang berada di dalam pesawat itu sendiri.

Pesawat-pesawat Su-57 Russia menurut sumber tentera Ukraine itu telah melancarkan peluru-peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 itu kira-kira 400km daripada loji janakuasa thermal Trypilska iaitu ketika pesawat pejuang termoaden Russia itu itu berada di dalam ruang udaranya sendiri dan jauh daripada ancaman sistem pertahanan udara Ukraine.

Sebaik sahaja melancarkan peluru berpandu KH-69 itu, pesawat pejuang Su-57 akan “berpatah balik” kembali ke kawasan selamat Persekutuan Russia.

Tentera Ukraine menyatakan prestasi peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 itu menjangkaui maklumat mereka yang mengatakan bahawa peluru berpandu itu hanya mempunyai jarak bedilan sejauh 300km.

“KH-69”

 

Maklumat tentera Ukraine tentang jarak operasi peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 itu terbukti adalah salah.

Malah, terdapat kemungkinan peluru berpandu KH-69 boleh beroperasi pada jarak lebih jauh daripada 400km sekiranya ia dilancarkan ketika pesawat pejuang Su-57 itu sedang bergerak pada kelajuan maksimumnya iaitu Mach 2.

Salah satu ciri-ciri paling utama peluru berpandu KH-69 itu adalah kemampuannya untuk terbang amat rendah iaitu hanya kira-kira 20 meter daripada tanah bagi mengelakkan ia dikesan oleh radar-radar sistem pertahanan udara musuh.

Altitud penerbangan peluru berpandu KH-69 setinggi 20 meter daripada tanah adalah lebih rendah daripada peluru berpandu KH-101 yang memiliki ciri-ciri penerbangan yang hampir sama.

Su-57

 

“Penggunaan bersama pesawat pejuang halimunan Su-57 dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 yang terbang pada aras amat rendah merupakan mimpi ngeri kepada Ukraine yang tidak mampu menangani serangan Russia itu,” menurut penganalisis tentera Russia.

Apatah lagi, Ukraine kini berhadapan dengan kekurangan sistem pertahanan udara untuk melindungi aset-aset tentera dan awamnya daripada serangan udara Russia. — DSA

featuredRussiaSU-57Ukraine
Comments (0)
Add Comment