Kementerian Pengangkutan Sahkan Pesawat Israel Lalui Ruang Udara Negara Ini

Kenyataan MOT hari ini menjawab pelbagai pertanyaan daripada rakyat Malaysia yang resah tentang dakwaan kehadiran pesawat Israel di ruang udara negara, tidak lama selepas ratusan rakyat Palestin terbunuh dalam konflik Israel-Palestin baru-baru ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Akhirnya, Kementerian Pengangkutan Malaysia hari ini tampil menjelaskan isu berkenaan dakwaan sebuah pesawat “test-bed” Boeing 737-400 dengan nombor pendaftaran 4X-AOO melalui ruang udara Malaysia ketika dalam penerbangan ke Singapura.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, kementerian itu mengesahkan bahawa pesawat yang dimiliki syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) telah terbang melalui ruang udara Malaysia selepas mendapat kebenaran.

“Pesawat awam berkenaan disahkan melalui ruang udara Malaysia mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” kata Kementerian Pengangkutan Malaysia dalam kenyataan itu.

Pesawat awam ini berlepas dari Male, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada hari Rabu, 19 Mei 2021 jam 2.55 pagi.

Malaysia merupakan negara anggota ICAO.

“Sebagaimana peraturan-peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan daripada melalui ruang udara selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu bagi menjawab berkenaan kontroversi itu.

 

Dalam pada itu, ia turut menegaskan pesawat tersebut tidak dibenarkan berlegar-legar atau mendarat di Malaysia.

Pihak berkuasa penerbangan Malaysia telah mengesahkan bahawa pesawat tersebut tidak kembali keruang udara Malaysia setelah tiba di destinasinya, Singapura,” tegas Kementerian itu lagi.

“Tiada corak penerbangan tidak normal ketika pesawat terbabit melalui ruang udara Malaysia,” kata kementerian.

Baru-baru ini, Defence Security Asia mendedahkan sebuah pesawat Boeing 737-400 milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) telah dikesan mendarat di Pangkalan Udara Paya Lebar di Singapura selepas menghabiskan masa sekurang-kurangnya empat jam mengelilingi (loitering) pulau itu.

Pendedahan oleh Defence Security Asia tentang kehadiran pesawat Israel ini di Singapura.

 

Pesawat itu dengan no pendaftaran 4X-AOO itu mendarat di pangkalan udara tentera Singapura itu selepas terbang setinggi 19,000 kaki selama empat jam di pulau itu.

Menurut sumber daripada Open Source, pesawat “test-bed” itu digunakan untuk membangunkan pelbagai sistem termasuk “maritime patrol signal intelligence, image intelligence using synthetic aperture radar, Aircraft Early Warning dan Flight Guard serta sistem pertahanan peluru berpandu untuk pesawat komersial.

Sementara itu, firma pertahanan Singapura, ST Engineering sebagaimana dipetik oleh portal berita Singapura iaitu “Today Online” berkata pesawat Israel itu berada di Singapura kerana melakukan demonstrasi produk komersial.

ST Engineering adalah firma Singapura yang banyak terlibat dalam industri pertahanan.

Jurucakap firma pertahanan Singapura itu berkata pesawat Israel itu beroperasi daripada kemudahan ST Engineering di Pangkalan Udara Paya Lebar.

Ia juga berkata keseluruhan demonstrasi itu dilakukan di dalam kawasan sempadan dan ruang udara Singapura.

“Demonstrasi (produk komersial) itu telah pun selesai dan persediaan sedang dilakukan untuk pesawat itu meninggalkan Singapura,” kata jurucakap firma ST Engineering kepada portal berita berkenaan.

Laporan daripada Today Online itu tidak memberitahu demonstrati itu berkenaan apa.

Sejak 2009, Singapura telah menggunakan empat buah pesawat Conformal Airborne Early Warning (CAEW) Gulfstream G550 atau “Nashon Eitam” yang dibangunkan oleh syarikat Elta.

DEFENCE SECURITY ASIA

IAI-EltaIsraelMalaysiaNashon EitamPaya LebarSingapura
Comments (0)
Add Comment