Kapal Selam, Kapal Perang Nuklear Perlu Dapat “Kebenaran Khas” Sebelum Masuki Perairan Malaysia

Persetujuan daripada Menteri Pertahanan perlu diperolehi oleh mana-mana kapal-kapal selam atau kapal perang berkuasa nuklear sebelum mereka dibenarkan memasuki perairan Malaysia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa mana-mana kapal perang dan kapal selam berkuasa nuklear perlu mendapatkan “kebenaran khas” daripada Menteri Pertahanan sebelum dibenarkan memasuki perairan negara ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, persetujuan daripada Menteri Pertahanan perlu diperolehi oleh kapal-kapal selam dan kapal perang berkuasa nuklear itu sebelum mereka dibenarkan memasuki perairan Malaysia.

“Saya akan mempertimbangkannya (permohonan) secara ‘case by case’ basis,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menjawab satu soalan di Dewan Rakyat hari ini berkenaan kerjasama pertahanan di antara Australia, United Kingdom dan Australia yang dipanggil “AUKUS”.

Persetujuan khas Menteri Pertahanan Malaysia untuk memasuki perairan negara ini katanya, juga meliputi mana-mana kapal selam atau kapal perang nuklear yang berhasrat memasuki pelabuhan negara ini.

Syarat itu turut meliputi mana-mana kapal-kapal selam dan kapal perang nuklear yang mahu mengadakan latihan ketenteraan dengan mana-mana aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menurut Hishammuddin.

Australia baru-baru ini mengumumkan penubuhan AUKUS bersama-sama Washington dan London bagi membolehkan mereka menangani sikap agresif dan provokasi daripada China di Indo-Pasifik terutamanya di Laut China Selatan.

Kerjasama pertahanan itu akan menyaksikan tentera laut Australia dilengkapi dengan kapal selam berkuasa nuklear.

“Sekiranya kapal selam atau kapal perang berkuasa nuklear mahu memasuki wilayah perairan Malaysia, berhasrat memasuki pelabuhan Malaysia atau mahu melaksanakan latihan ketenteraan bersama dengan Malaysia…”

“… maka persetujuan khas daripada Menteri Pertahanan Malaysia mestilah diperolehi dimana saya akan menimbangkannya secara case by case basis.”

— Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mengenai perbualan telefon dengan Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton dan utusan khas negara itu, Vice Admiral David Johnston, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam pergolakan geopolitik kuasa-kuasa besar.

Menurutnya, Malaysia memegang prinsip mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Australia harus hormati prinsip ini dan hormati pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia, termasuk di bawah ‘United Nations Convention on the Law of the Sea’ (UNCLOS) dan ‘Southeast Asian Nuclear-Weapon-Free Zone Treaty’ (SEANWFZ), “ katanya.

Kedua-dua pemimpin Australia juga menyatakan bahawa AUKUS bukanlah suatu perikatan tentera antara ketiga-tiga negara itu tetapi hanya akan melibatkan perkongsian teknologi kapal selam berkuasa nuklear.

Kapal selam itu juga tidak akan melibatkan sebarang senjata nuklear selaras dengan konsep “non-proliferation of nuclear weapon.”

Hishammuddin berkata,  Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang akan dipengerusikan oleh Brunei bulan depan dijangka membincangkan dan menyimpulkan pendirian negara-negara Asia Tenggara berkenaan AUKUS.

Kapal selam berkuasa nuklear China

 

“Bulan depan ada ADMM dipengerusikan Brunei dan ini menjadi platform penting mengukuhkan kerjasama pertahanan di peringkat serantau. Pada masa sama, saya pasti AUKUS akan dibincangkan dengan harapan ia dapat mengukuhkan kesefahaman antara anggota ASEAN dalam pendirian terhadap perkara ini.

“Jadi, usaha secara dua hala telahpun saya usahakan dan akan berterusan, tetapi kita berpeluang pada ADMM di mana 10 menteri pertahanan ini akan berkumpul dan memikirkan kalau kita dapat bersetuju kepada satu pendirian bersama,

Hishammuddin berkata Malaysia tidak berganjak dan konsisten bahawa pembentukan AUKUS melahirkan kegusaran kerana ia berpotensi menggugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

ASEANAUKUSAustraliaHishammuddin