Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kerajaan Sudan Mahu Tangkap Pengurus PETRONAS Di Negara Afrika Itu

Waran tangkap terhadap pengurus PETRONAS di Sudan itu dikeluarkan tidak lama selepas kerajaan negara Afrika itu merampas aset-aset syarikat minyak dan gas negara di negara itu.

0 4,721

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan sementara Sudan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS di negara Afrika itu berikutan pertikaian yang semakin memuncak di antara kedua-dua pihak.

Waran tangkap terhadap pengurus PETRONAS di Sudan itu dikeluarkan tidak lama selepas kerajaan negara Afrika itu merampas aset-aset syarikat minyak dan gas negara yang didakwa diperolehi menerusi “cara-cara menyalahi undang-undang” ketika pentadbiran bekas presiden Omar al-Bashir.

Akhbar Turki, Daily Sabah yang memetik sumber berkata, tindakan diambil oleh kerajaan Sudan itu terhadap PETRONAS dan beberapa syarikat lain dibimbangi akan menjejaskan  hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Banyak negara yang membuat pelaburan besar di Sudan turut memantau keadaan dengan terperinci. Mereka bimbang akan dijadikan sasaran oleh kerajaan sementara Sudan selepas ini,” menurut akhbar itu.

Menurut sumber itu lagi, beberapa syarikat lain turut menjadi sasaran oleh pihak berkuasa kerajaan sementara Sudan itu.

PETRONAS
Pejabat PETRONAS di Sudan.

 

Antaranya adalah, Fu Hong Construction yang merupakan sebuah syarikat infrastruktur China yang didakwa telah menaikkan harga projek mereka, manakala Grand Holiday Villa Limited daripada Pakistan turut dikenakan tindakan oleh kerajaan di Sudan itu.

PETRONAS telah meminta campurtangan daripada Kementerian Luar (Wisma Putra) untuk menyelesaikan kemelut di antaranya dengan kerajaan sementara Sudan itu secara baik.

PETRONAS juga telah mengemukakan permohonan arbitrasi di “International Centre for Settlement of Investment Disputes (ICSID) “ atau “Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan,” yang merupakan sebuah unit di bawah Bank Dunia.

Memandangkan tiada perkembangan yang positif setakat ini, PETRONAS telah mengemukakan permohonan arbitrasi kepada ICSID berkenaan isu terbabit.

Presiden Omar al-Bashir telah digulingkan oleh tentera negara itu sendiri pada 2019 dan setahun selepas itu, kerajaan negara itu  bersetuju untuk menyerahkan bekas presiden itu untuk diadili oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas pelbagai dakwaan jenayah perang.

 

PETRONAS
Bekas Presiden Omar al-Bashir

 

Pada ketika ini kerajaan Sudan dipimpin oleh Perdana Menteri Abdallah Hamdok.

PETRONAS  membantah keras tindakan yang diambil oleh kerajaan sementara Sudan itu dalam merampas aset-aset minyak dan gasnya di negara Afrika itu.

“Menurut akhbar Daily Sabah, tanah yang menempatkan Kompleks PETRONAS Sudan telah diambilalih dan didaftarkan dibawah Nada Properties Co Ltd (NPCL), yang merupakan anak syarikat kepada PETRONAS di Sudan.”

“Laporan akhbar itu mendakwa bahawa kerajaan sementara Sudan telah memindahkan pemilikan NPCL itu kepada Kementerian Kewangan Sudan dan menafikan hak PETRONAS terhadap syarikat berkenaan.”

— Akhbar Turki, “Daily Sabah”

Selepas kejatuhan Presiden Omar al-Bashir, kerajaan sementara negara itu telah meluluskan satu peruntukan undang-undang dan menubuhkan Jawatankuasa Anti-Rasuah dan Mendapatkan Semula Wang yang diperolehi menerusi cara-cara haram ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

Ketika menjalankan siasatan terhadap bekas Presiden Omar al-Bashir dan sekutu rapatnya, jawatankuasa itu telah mensasarkan dan mendakwa pelabur-pelabur asing di Sudan serta merampas aset-aset mereka.

Akhbar Daily Sabah itu mengatakan PETRONAS telah melakukan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan sementara Sudan merampas aset-asetnya di negara itu dan mengkritik tindakan yang diambil oleh Khartoum.

PETRONAS, sebagaimana diperkatakan oleh akhbar itu, mengatakan bahawa syarikat NPCL merupakan sebuah yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat Sudan.

Syarikat minyak dan gas negara itu dikatakan telah beroperasi di Sudan selama 20 tahun dan telah membantu negara Afrika itu untuk muncul sebagai negara pengeluar minyak.

PETRONAS telah melabur berbilion dolar Amerika di Sudan untuk mencarigali minyak dan gas di negara Afrika itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...