Kapal Tangki Isra4l Diserang Di Luar Perairan Oman, Dua Krew Kapal Terbunuh

Kapal tangki terbabit “Mercer Street” dioperasikan oleh syarikat Zodiac Maritime, yang berpengkalan di London tetapi dimiliki oleh hartawan Israel, Eyal Ofer.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal tangki yang dioperasikan oleh syarikat perkapalan Israel diserang ketika sedang belayar di luar pantai Oman di Laut Arab, menurut sumber-sumber pihak tentera British yang dipetik oleh media antarabangsa.

Kapal tangki terbabit “Mercer Street” dioperasikan oleh syarikat Zodiac Maritime, yang berpengkalan di London tetapi dimiliki oleh hartawan Israel, Eyal Ofer.

Syarikat di dalam satu kenyataan berkata, serangan yang didakwa menggunakan dron berani mati (kamikaze drone) itu mengorbankan dua krew kapal tangki terbabit, melibatkan seorang warga Romania manakala seorang lagi pula warga United Kingdom.

Kapal tangki itu membawa 27 orang krew.

Walaupun dioperasi oleh syarikat Israel, tetapi pemilik sebenar kapal tangki yang berdaftar di Liberia itu adalah sebuah syarikat Jepun.

Sejak kebelakangan ini, beberapa buah kapal dagang yang dioperasikan oleh syarikat-syarikat Israel telah diserang oleh pihak-pihak tidak dikenali ketika sedang belayar di perairan di rantau Teluk.

Iran juga mendakwa kapal-kapal komersialnya diserang oleh pihak tidak dikenali.

Walaupun tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan-serangan itu terhadap kapal-kapal Israel, tetapi pemerhati antarabangsa mendakwa ia dilakukan oleh tentera Iran.

Menurut kenyataan oleh United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO), kejadian berlaku pada waktu malam Khamis ketika kapal itu sedang belayar di utara pulau Masirah milik Oman.

Ia juga berkata insiden itu tidak akan kena mengena dengan kegiatan pelanunan.

Kapal tangka itu sedang belayar daripada Dar Es Salam di Tanzania ke pelabuhan di Fujairah di Oman.

DEFENCE SECURITY ASIA

IsraelKapal TangkiOman