Kapal Pengangkut Pesawat HMS Prince of Wales Rosak, “Tersadai”

Kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales yang dibina dengan kos RM12 bilion itu hanya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut British pada tahun 2019 tetapi telah berhadapan dengan siri kerosakan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Kapal pengangkut pesawat United Kingdom “HMS Prince of Wales” yang menelan belanja US$3 billion (RM12 billion) untuk dibina telah mengalami kerosakan ketika ia bersiap-sedia untuk memulakan pelayaran ke Amerika Syarikat. 

Kapal perang terbesar United Kingdom itu rosak di perairan selatan England sebaik sahaja meninggalkan pangkalannya di Portsmouth.

Kapal HMS Prince of Wales itu ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut British pada tahun 2019. 

Kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales dibina dengan kos RM12 bilion

 

Kapal seberat 65,000 tan itu dijangka akan berada di Amerika Syarikat selama empat bulan untuk menjalani pelbagai latihan dengan tentera negara itu dan tentera laut Kanada.

HMS Prince Of Wales dan HMS Queen Elizabeth disifatkan sebagai “adik-beradik” itu merupakan dua kapal pengangkut pesawat milik United Kingdom pada ketika ini.

Laksamana Steve Moorhouse dalam satu kenyataan mengatakan bahawa kapal perang itu mengalami kerosakan mekanikal di bahagian “starboard shaft” kapal terbabit.

Kapal itu akan ditunda ke kawasan untuk berlabuh bagi membolehkannya diperiksa dengan lebih teliti dan diperbaiki kerosakannya.

Kerosakan yang dialami oleh HMS Prince of Wales itu akan menyebabkan jadual pelayarannya ke Amerika Syarikat dikaji semula.

HMS Prince of Wales dan HMS Queen Elizabeth

 

Kapal perang itu yang terbesar dan kapal pengangkut pesawat utama NATO memiliki sejarah kerosakan yang agak panjang sebaik sahaja ia ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera laut negara itu.

Pada tahun 2020, kapal itu “tersadai” di Portsmouth selepas bilik enjinnya dimasuki air menyebabkan kerosakan terhadap sistem elektriknya.

Dalam tempoh dua tahun selepas ditauliahkan, kapal pengangkut pesawat HMS Prince of Wales itu hanya menghabiskan masa kira-kira 90 hari di lautan selepas kebocoran dikesan sebanyak dua kali dalam tempoh lima bulan.

Pesawat F-35B (Vertical Take-Off and Landing)

 

TEKAN UNTUK MUAT-TURUN APLIKASI DEFENCE  SECURITY ASIA:  

Kapal perang kebanggaan United Kingdom itu sepatutnya menyeberangi Lautan Atlantik dengan 1,600 krewnya dengan persinggahan di Halifax di Kanada, New York dan Carribean.

Anak-anak kapal HMS Prince of Wales itu dijadualkan menjalani latihan dengan tentera Amerika Syarikat dan Tentera Laut Kanada serta pesawat-pesawat F-35B.

Kapal pengangkut pesawat itu berkemampuan membawa sehingga 36 buah pesawat pejuang, tidak termasuk helikopter. – – DSA

 

Jom follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.

 

 

 

BritainfeaturedHMS Prince of WalesPortsmouth