(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketiga-tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diperolehi daripada Turkiye dilaporkan akan dilengkapi dengan peluru berpandu darat-ke-udara K-SAAM (Korean Surface to Anti Air Missile) atau dalam bahasa Koreanya “Haegung”.
Ia mula dibangunkan sejak 2011 dan pada 2019 mula dihasilkan secara besar-besaran selepas ia berjaya melepasi ujian apabila berhadapan dengan peluru berpandu anti-kapal Korea Utara “Kumsong”, sebagaimana dilaporkan.
Peluru berpandu darat-ke-udara jarak dekat itu dibangunkan oleh Agency for Defence Development (ADD) Korea Selatan dan syarikat LIG Nex1 serta berkemampuan meluncur selaju Mach 2 dan membedil sasaran sejauh 20km.
Ia dibangunkan oleh Korea Selatan untuk menggantikan sistem peluru berpandu darat-ke-udara Rolling Airframe Missile (RAM) yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon (kini dikenali sebagai RTX) untuk memberikan pertahanan “close-in” kepada kapal-kapal menggunakannya.
Setiap kapal LMS Batch 2 TLDM yang akan dibina oleh Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) akan dilengkapi dengan 16 silo Vertical Launch System (VLS) untuk melancarkan peluru berpandu darat-ke-udara K-SAAM.
Setiap peluru berpandu darat-ke-udara K-SAAM itu memiliki panjang 3.08 meter.
Pada ketika ini peluru berpandu darat-ke-udara terbabit sudah digunakan oleh kapal-kapal friget kelas-Daegu dan kapal amphibious assault kelas-Dokdo ROKS Marado milik Tentera Laut Korea Selata
Peluru berpandu darat-ke-udara K-SAAM itu dilengkapi dengan dual-mode seeker yang terdiri daripada radar dan infrared seeker, membolehkan ia beraksi dengan berkesan dalam suasana maritim sebagai senjata offensif dan defensif menentang peluru berpandu anti-kapal dan pesawat-pesawat pejuang.
Ia juga dilengkapi dengan kemampuan inertial mid-course guidance.
Dengan pemilihan peluru berpandu darat-ke-udara K-SAAM oleh kapal-kapal LMS Batch 2 TLDM sudah pasti akan memberikan kelebihan kepada satu lagi pertahanan udara jarak sederhana (Medium Range Air Defence System – MERAD) buatan Korea Selatan iaitu KM-SAM atau yang juga dikenali dengan nama Koreanya, “Cheongung”.
KM-SAM adalah sistem pertahanan udara jarak sederhana Korea Selatan juga dibangunkan oleh ADD dan LIG Nex1 dengan bantuan teknikal daripada firma Russia, Almaz-Antey yang terkenal dengan pembangunan sistem pertahanan udara S-300,S-400 dan terkini, S-500.
Satu ciri yang menarik mengenai sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM adalah ianya merupakan satu-satunya sistem MERAD yang mempunyai sentuhan DNA teknologi dari kedua-dua Blok Barat dan Rusia.
Dalam perancangan pembangunan CAP55 TUDM, ia telah menggariskan perolehan sehingga empat buah bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) bermula dariada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-25) hingga RMK-15 (2035-2040).
Komposisi standard sistem KM-SAM mengandungi sebuah Fire Control Centre (FCC), sebuah Multifunction Radar (MFR) dan beberapa Transporter Erector Launcher (TEL) yang boleh membawa sehingga lapan buah peluru berpandu bagi sistem terbabit.
Radar 3D Pelbagai Fungsi Passive Electronically Scanned Array (PESA) X-Band sistem KM-SAM itu berkemampuan mengesan sasaran sejauh 100km dan track sebanyak 40 sasaran secara serentak.
Sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM boleh membedil sasaran udara setinggi 15km (49,000 kaki) pada jarak sejauh 40 km.
Sistem MERAD KM-SAM ini telah berjaya merangkul beberapa kejayaan akhir-akhir ini kontrak daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan terkini, Iraq. — DSA