Pesawat JF-17 Block 3 Pakistan, “Game Changer” Dlm Persaingan Udara Dengan India

Pesawat-pesawat terbaru JF-17 Block 3 yang lebih moden dan berkeupayaan telah sedia untuk memasuki perkhidmatan tentera udara Pakistan, selepas hampir dua tahun dalam pembangunan dan disifatkan sebagai “game changer” dalam persaingan di udara dengan India.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lepas,  Pakistan Aeronautical Complex (PAC) di Kamra telah menampilkan buat pertama kali lapan buah pesawat pejuang ringan JF-17 “Thunder” Block 3 yang merupakan varian dipertingkat keupayaan berbanding varian terdahulu, JF-17 Block 2.

Setakat ini, PAC yang bekerjasama dengan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) dalam membangunkan JF-17/FC-1 Xiaolong telah membina varian pesawat terbaru dan paling berkemampuan dipanggil JF-17 Block 3.

Pesawat-pesawat terbaru JF-17 Block 3 yang lebih moden dan berkeupayaan telah sedia untuk memasuki perkhidmatan tentera udara Pakistan, selepas hampir dua tahun dalam pembangunan dan disifatkan sebagai “game changer” dalam persaingan di udara dengan India.

Pesawat pejuang ringan JF-17 Block 3 memberikan Tentera Udara Pakistan kelebihan berbanding India dan ini semua mampu dilakukan oleh negara Asia Selatan itu hasil bantuan “rakan karibnya” pada ketika ini iaitu China.

China memberikan beberapa teknologi terbaru yang digunapakai oleh pesawat pejuang termajunya, J-20 “Mighty Dragon” kepada Pakistan untuk digunakan oleh pesawat JF-17 Block 3.

Secara keseluruhannya, tentera udara Pakistan bakal memiliki kira-kira 50 buah pesawat JF-17 Block 3 menjelang tahun 2024, bagi menambah pegangan 98 buah pesawat JF-17 Block 1 dan JF-17 Block 2.

Antara kemampuan terbaru JF-17 Block 3 berbanding JF-17 Block 2 adalah pesawat varian termaju JF-17 itu dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group.

Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.

Radar N011 “Snow Leopard” passive phased array yang digunakan oleh pesawat Su-30MKI India juga jauh ketinggalan berbanding radar yang digunakan oleh pesawat JF-17 Block 3, sebagaimana didakwa oleh pakar pertahanan China.

Varian terbaru pesawat JF-17 Block 3 itu juga menggunakan Wide-Angle Holographic Head-Up Display sebagaimana yang digunakan oleh pesawat generasi ke-lima China, J-20 “Mighty Dragon.”

Peningkatan keupayaan varian terbaru pesawat JF-17 Block 3 juga menyaksikan ia dilengkapi dengan Infra Red Missile Approach Warning System, sistem sensor yang terletak di intake udara pesawat sama seperti yang digunakan oleh pesawat J-10C milik China.

Baru-baru ini, Pakistan turut mengesahkan bahawa ia telah membeli pesawat J-10C daripada China bagi mengimbangi peningkatan keupayaan udara China yang terlebih dahulu memperolehi pesawat pejuang Rafale dan Sukhoi Su-30MKI.

Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”

Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.

Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India.

 

Klik Untuk Download dan Install Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.defencesecurityasia.dsanews

featuredJF-17 Block 3PACPakistanPesawat