Jeneral Russia Kata Kapal Perang British “Sasaran Amat Menarik” Bagi Peluru Berpandunya

Amaran keras itu dilaungkan oleh jurucakap kementerian terbabit Mejar General Igor Konashenkov menerusi satu kenyataan yang dibacakan di stesen televisyen negara itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Russia memberi amaran kepada Britain supaya tidak “mencuba nasib” dengan menghantar kapal perangnya ke perairan Crimea sekali lagi, sambil berkata bahawa kapal-kapal tentera laut British adalah “sasaran yang amat menarik” bagi sistem peluru berpandu Russia.

Amaran keras itu dilaungkan oleh jurucakap kementerian terbabit Mejar General Igor Konashenkov menerusi satu kenyataan yang dibacakan di stesen televisyen negara itu.

Beliau memberi amaran kepada Britain dan Amerika Syarikat supaya tidak menghantar kapal perang mereka ke perairan Crimea di Laut Hitam kerana Russia akan mempertahankan sempadan maritim mereka dengan segala kemampuannya terutama menerusi kuasa ketenteraan.

Russia menakluk Crimea pada 2014 daripada Ukraine.

“Kita meminta Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) dan Tentera Laut British, yang menghantar kapal perang-kapal perang mereka ke Laut Hitam supaya tidak mencuba nasib mereka dengan sia-sia,” kata Igor dalam kenyataan itu.

Kapal destroyer Tentera Laut British “HMS Defender.”

 

Keadaan di Laut Hitam kini tegang, beberapa hari selepas insiden “pencerobohan” kapal perang destroyer British, HMS Defender ke perairan Crimea yang didakwa oleh Russia sebagai miliknya.

Moscow menyifatkan insiden yang berlaku di perairan Crimea itu sebagai suatu “provokasi” oleh pihak British.

Russia mengatakan kapal pengawal pantainya telah melepaskan tembakan amaran manakala pesawat pejuangnya pula mengugurkan bom di laluan HMS Defender, tetapi Kementerian Pertahanan British telah menafikannya.

Britain mengatakan kapalnya HMS Defender tidak menceroboh mana-mana perairan Russia, sebaliknya melakukan pelayaran secara aman di perairan Crimea yang dimiliki oleh Ukraine sebagaimana diperakui oleh undang-undang antarabangsa.

Pada ketika ini, HMS Defender berada di pelabuhan Batumi, Georgia yang terletak di timur Laut Hitam.

HMS Defender merupakan sebahagian daripada rombongan kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth yang kini berlabuh di timur Mediterranean, berhampiran perairan Cyprus.

Pesawat MiG-31K bersama peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” mendarat di Pangkalan Udara Khemeimim, Syria. (gambar Kementerian Pertahanan Russia)

 

Timbalan Menteri Luar Russia Sergey Rybkov dilaporkan berkata, pesawat-pesawat negara itu akan mengugurkan bom diatas kapal perang British jika negara itu gagal mematuhi amaran yang dikeluarkan oleh Moscow supaya “menceroboh” perairannya di Laut Hitam itu.

Perang mulut di antara Russia dengan Britain dan Amerika Syarikat mengenai insiden di Laut Hitam telah meningkatkan ketegangan pada ketika angkatan tentera kedua-dua negara sedang bersiap-sedia untuk melancarkan latihan tentera besar-besaran.

Amerika Syarikat dan sekutunya, Ukraine bakal melancarkan latihan laut dipanggil “Sea Breeze” bertujuan memelihara keselamatan dan keamanan di Laut Hitam.

Sementara itu, di Pangkalan Udara Khmeimim di Latakia menyaksikan Russia melancarkan latihan udara melibatkan dua buah pesawat interceptor MiG-31K yang dilengkapi dengan peluru berpandu Hypersonik serta pesawat-pesawat pengebom TU-22M yang dilengkapi dengan peluru berpandu KH-22 dan KH-32.

Latihan udara Russia di Syria dan timur Mediterranean juga melibatkan pesawat pejuang Su-35 dan pesawat anti peperangan kapal selam, IL-38.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Amerika SyarikatBritishCrimeaHMS DefenderRussia