Pesawat J-20 China Tingkat Rondaan Di Laut China Selatan, Laut China Timur

Pengumuman oleh pegawai kanan Parti Komunis China tentang kehadiran pesawat J-20 China di Laut China Selatan dan Laut China Timur itu berlaku tidak lama selepas Amerika Syarikat mengaku pesawat F-35 miliknya telah bertembung dengan pesawat termoden China di Laut China Timur.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang termoden China, J-20 “Mighty Dragon” telah mula mengadakan rondaan-rondaan rutin di Laut China Selatan dan Laut China Timur bagi menangani peningkatan penerbangan oleh pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat termasuk F-22 Raptor dan F-35 berhampiran sempadan negara kuasa Asia itu.

Menurut pegawai kanan Parti Komunis China, Ren Yukun sebagaimana dipetik oleh akhbar nasionalis negara itu “Global Times”, pesawat pejuang J-20 itu mula melakukan rondaan rutin di Laut China Selatan dan Laut China Timur selepas ia menggunakan enjin WS-10C buatan tempatan.

Enjin WS-10C itu dibangunkan oleh syarikat tempatan, Shenyang Liming Aircraft Engine Company.

Dua buah pesawat termoden China, J-20 sedang melakukan penerbangan.

 

Sebelum ini, pesawat J-20 itu menggunakan enjin Saturn “AL-31F” yang diimport daripada Russia.

Pemerhati-pemerhati ketenteraan di China mendakwa enjin “WS-10C” buatan tempatan itu bukan sahaja setaraf tetapi lebih baik daripada enjin Pratt & Whitney F119-PW-100 yang digunakan oleh pesawat F-22 “Raptor.”

Pengumuman oleh Ren Yukun tentang kehadiran pesawat termaju China di Laut China Selatan dan Laut China Timur di mana Taiwan terletak itu berlaku tidak lama selepas Amerika Syarikat mengaku “pertembungan” di antara pesawat F-35 miliknya dengan pesawat J-20 di Laut China Timur.

Pesawat J-20 “Mighty Dragon”

 

Komander US Pacific Forces, US Air Force Jeneral Kenneth Wilscbach dalam satu perbincangan di Mitchell Institute for Aerospace Studies baru-baru ini berkata bahawa pesawat pejuang F-35 miliknya pernah bertembung sekurang-kurangnya sekali dengan pesawat pejuang, J-20 “Mighty Dragon” di Laut Timur China.

“Ia adalah terlalu awal untuk mengatakan apa sebenarnya yang mahu dilakukan oleh China dengan J-20, apa yang dapat kita perhatikan adalah ia adalah pesawat air superiority. Apa yang kita dapat perhatikan adalah ia terbang dengan baik. “

“Baru-baru ini, kita mengalami pertembungan di mana kita (F-35) terbang dekat dengan pesawat J-20 di Laut China Timur dan kami secara relatifnya tertarik dengan kawalan dan pemerintahan pesawat J-20 itu,”

Pesawat F-35 Joint Strike Fighter yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

 

“Kita melihat pesawat diterbangkan secara professional tetapi adalah terlalu awal untuk menentukan apakah yang mereka mahu lakukan dengan pesawat J-20, samada seperti F-35 yang berkemampuan melaksanakan pelbagai misi atau lebih kepada F-22 yang merupakan pesawat air superiority dengan kemampuan udara ke darat,”kata jeneral Tentera Udara Amerika Syarikat itu.

Ia adalah pertembungan pertama di antara pesawat-pesawat termoden China dengan Amerika Syarikat.

Jurucakap Kementerian Pertahanan China Kolonel Wu Qian ketika bercakap pada sidang media pada 31 Mac yang lalu berkata, Tentera Udara China mempunyai tugasan yang mulia iaitu mempertahankan ruang udara negara itu.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Pakar pertahanan China Song Zhongping pula berkata China sudah semestinya akan mengerah pesawat-pesawat termodennya ke medan terutamanya di lautan apabila mengetahui tentang kehadiran pesawat-pesawat pejuang moden Amerika Syarikat seperti F-22 Raptor dan F-35 berhampiran dengan sempadannya.

“Pesawat pejuang termoden kita mesti berdepan dengan (pesawat pejuang Amerika) dalam usaha mempertahankan kedaulatan ruang udara kita,” kata beliau. — DSA

ChinaF-22F-35featuredJ-20