Dihalang Beli Eurofighter Typhoon, Arab Saudi Timbang Miliki J-10C Dari China Pula

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Typhoon kepada Riyadh itu berhadapan masalah pada 2018 selepas Berlin menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan kejadian penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi serta konflik di Yemen.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Arab Saudi mahu menambah pemilikan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik tentera udaranya tetapi usaha itu dihalang oleh Jerman, salah sebuah negara yang membina pesawat pejuang itu bersama-sama United Kingdom, Sepanyol dan Itali.

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Typhoon kepada Riyadh itu berhadapan masalah pada 2018 selepas Berlin menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan kejadian penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi serta konflik di Yemen.

Pada ketika ini, Arab Saudi sudah pun memiliki 48 buah pesawat Typhoon dan ia bercadang meningkatkan pemilikannya kepada 96 buah dengan menambah pemilikan 48 buah pesawat pejuang itu.

Eurofighter Typhoon
J-10

 

Namun, hasrat Riyadh itu berkemungkinan tidak kesampaian walaupun Britain mahu menjual pesawat itu kepada Arab Saudi. 

Baru-baru ini ketika sidang kemuncak pemimpin-pemimpin NATO di Lithuania, Canselor Jerman Olaf Scholz menegaskan sekali lagi bahawa ia tidak bercadang untuk melonggarkan sekatan penjualan pesawat pejuang Typhoon kepada Arab Saudi.

Sebenarnya, Riyadh sudah pun menjangkakan keputusan oleh Jerman itu dan ia telah pun menimbangkan beberapa pesawat pejuang sekiranya usaha untuk mendapatkan pesawat pejuang Typhoon itu tetap tidak berhasil akibat bantahan berterusan daripada Berlin.

Berikutan hubungannya yang semakin mesra dengan China pada ketika ini, terdapat laporan daripada sumber-sumber dalaman pertahanan Arab Saudi yang menyatakan bahawa negara Arab itu sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi pesawat J-10C buatan syarikat Chengdu Aircraft Industry Group.

Potensi penjualan pesawat pejuang J-10C kepada Arab Saudi itu termasuk dalam pakej pembelian beberapa jenis senjata oleh negara Arab itu daripada China seperti dron Sky Saker, dron VTOL CR500 dan sistem pertahanan udara HQ-17.

Pesawat J-10C buatan China yang kini digunakan oleh Tentera Udara Pakistan.

 

Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa pembelian pesawat J-10C dan senjata-senjata lain oleh Arab Saudi itu sememang amat berpotensi untuk dilaksanakan berikutan “kemesraan” dalam hubungan diplomatik di antara Riyadh dan Beijing sejak awal tahun ini.

Baru-baru ini, China bersetuju untuk membeli minyak daripada Arab Saudi dan Riyadh pula tidak mempunyai masalah untuk menerima bayaran pembelian minyak itu dalam matawang Yuan.

Selain itu, hubungan perdagangan di antara kedua-dua negara juga semakin erat dengan China bersetuju untuk mewujudkan kemudahan pembinaan dron di Arab Saudi manakala syarikat Huawei pula bertanggungjawab membina infrastruktur telekomunikasi termasuk 5G di negara Arab itu.

Baru-baru ini, penganalisis pertahanan di Timur Tengah mendakwa Arab Saudi bukan sahaja sedang berunding dengan China untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C tetapi ia juga menimbangkan untuk memperolehi sehingga 12 buah kapal perang destroyer Type 052DE (varian eksport bagi kapal perang Type 052D).

Hubungan semakin “mesra” di antara Beijing dan Riyadh itu membuat Amerika cemas yang selama ini menjadi pembekal senjata utama kepada Arab Saudi

Kapal destroyer Tentera Laut China, Type 052D

.

Bagaimanapun sejak Amerika Syarikat dipimpin oleh Jo Biden, hubungan antara Washington dan Riyadh semakin renggang dan ini dieksploitasi oleh China serta Russia yang mula merapati Arab Saudi untuk tujuan hubungan yang lebih erat.

Sementara itu, laporan juga menyatakan bahawa pegawai-pegawai Mesir telah mengadakan perbincangan dengan syarikat pembuat pesawat pejuang J-10C itu, Chengdu Aircraft Industry Group ketika di LIMA ’23 di Pulau Langkawi.

Pesawat J-10C turut berada di Langkawi memandangkan ia adalah pesawat pilihan pasukan aerobatik Tentera Udara China (PLAAF), “August 1st.”

Pada ketika ini, Beijing hanya mengeksport pesawat pejuang satu enjin J-10C kepada Tentera Udara Pakistan.

Pasukan aerobatik PLAAF “August 1st” yang menggunakan pesawat pejuang J-10C turut menyertai LIMA ’23 baru-baru ini.

 

Pesawat pejuang J-10C itu mula diperkenalkan kepada orang awam China pada Julai 2017 dan mula digunakan untuk tugas-tugas kombat oleh tentera udara negara itu pada 2018.

Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.

Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA)  bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.

Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Arab SaudiEurofighter TyphoonfeaturedJ-10CJermanUnited Kingdom