Iran Muktamad Perjanjian Dengan Russia Perolehi Su-35, Helikopter Tempur Mi-28 “Havoc”

Menurut pemerhati ketenteraan di Timur Tengah, penerimaan pesawat-pesawat Su-35 oleh Iran itu dijangka akan membantu sedikit-sebanyak usaha Teheran untuk membangunkan tentera udaranya yang pada masa ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Timbalan Menteri Pertahanan Iran Brig Jen Mahdi Farahi menyatakan bahawa negara itu telah memuktamadkan perjanjian dengan Russia untuk memperolehi pesawat pejuang Su-35 dan helikopter tempur Mil Mi-28 “Havoc”.

Iran telah pun memperolehi pesawat pejuang ringan merangkap pesawat FLIT (Fighter Lead-In Trainer) Yak-130 “Mitten” buatan Russia pada September lalu.

Pesawat latihan Yak-130 “Mitten” itu akan membolehkan Iran melatih juruterbang-juruterbangnya mengendalikan pesawat pejuang generasi 4+++ seperti Su-35 dan juga pesawat pejuang generasi kelima seperti Su-57 “Felon.”

Teheran mahupun Russia tidak memaklumkan bilangan pesawat latihan Yak-130 “Mitten” diperolehi oleh Iran pada Sept lalu, namun ia dipercayai adalah persediaan sebelum negara Parsi itu menerima pesawat-pesawat pejuang Su-35.

Menurut Mahdi Farahi, proses untuk memastikan pesawat pejuang dan helikopter tempur itu dimiliki oleh Iran telah pun selesai dan kesemua aset Angkatan Tentera Iran itu akan berada di dalam pegangan negara itu tidak lama lagi.

Pesawat Yak-130 “Mitten” Iran

 

Timbalan Menteri Pertahanan Iran itu mendakwa negara Parsi itu memiliki armada helikopter paling besar di rantau itu daripada segi kuantiti, manakala daripada segi kemampuan juga telah dipertingkatkan selepas perlaksanaan beberapa projek naiktaraf.

Iran tidak membeli sebarang pesawat pejuang baru beberapa tahun kebelakangan ini, kecuali beberapa pesawat pejuang MiG-29 yang diperolehinya pada tahun-tahun 1990-an.

Sejak tercetusnya konflik bersenjata di antara Russia dan Moscow Feb tahun lepas, Teheran dan Moscow telah meningkatkan kerjasama pertahanan di antara kedua-dua negara.

Iran dilaporkan akan memiliki sejumlah 24 buah pesawat pejuang Su-35 buatan Russia.

Pada awalnya, kesemua 24 buah pesawat pejuang Su-35 sepatutnya dijual kepada Mesir, tetapi Kaherah membatalkan pembelian itu selepas diancam oleh Amerika Syarikat akan dikenakan sekatan ekonomi dibawah CAATSA sekira ia meneruskan pembelian pesawat Russia itu.

Helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter”

 

Selepas Mesir membatalkan pembelian pesawat Su-35 itu, Russia bertindak menjual pesawat itu kepada Iran.

Penerimaan pesawat pejuang generasi 4++ buatan Russia itu berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.

Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine.

Menurut pemerhati ketenteraan di Timur Tengah, penerimaan pesawat-pesawat Su-35 oleh Iran itu dijangka akan membantu sedikit-sebanyak usaha Teheran untuk membangunkan tentera udaranya yang pada masa ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.

Dron berani mati “Shahed-136”

 

Pada ketika ini, Tentera Udara Iran masih lagi bergantung kepada pesawat-pesawat lama buatan Amerika Syarikat seperti F-4 Phantom, F-14 Tomcat dan F-5 yang diperolehi ketika Iran masih berada di bawah pemerintahan Shah Iran yang pro-Barat.

Pemerintahan Shah Iran tumbang dalam satu revolusi pada 1979 dan diambilalih oleh Ayatollah Khomeini.

Selain pesawat-pesawat buatan Russia dan Amerika Syarikat, Tentera Udara Iran turut mengoperasi pesawat-pesawat pejuang lama buatan Perancis dan China. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredIranMi-28RussiaSu-35