Insiden “Pencerobohan” 31 Mei Satu Peringatan Supaya TUDM Segera Dimodenkan

Penerbangan pesawat-pesawat tentera China di dalam formasi taktikal berhampiran ruang udara negara pada 31 Mei lepas  telah menghangatkan lagi isu Laut China Selatan, disamping mengingatkan betapa kita telah "under-invest" untuk membangunkan keupayaan tentera udara kita. 

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penerbangan provokatif 16 buah pesawat tentera China berhampiran dengan ruang udara Malaysia pada 31 Mei lepas telah memberikan peringatan kepada negara supaya bertindak dengan segera untuk memodenkan tentera udaranya yang disifatkan oleh pemerhati antarabangsa sebagai “ketinggalan,”, menurut beberapa media asing.

Penerbangan pesawat-pesawat tentera China di dalam formasi taktikal berhampiran ruang udara negara pada 31 Mei lepas  telah menghangatkan lagi isu Laut China Selatan, disamping mengingatkan betapa kita telah “under-invest” dalam membangunkan keupayaan tentera udara kita. 

Memburukkan lagi keadaan, kapal-kapal pengawal pantai China serta kapal penyelidiknya terus-menerus menceroboh kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara di perairan Sarawak seperti Luconia dan James Shoals yang diperakui adalah lapangan minyak dan gas yang prolifik dan lumayan.

Media Amerika Syarikat, “Voice of America” memetik kenyataan penganalisis yang berkata bahawa insiden penerbangan 16 pesawat pengangkut tentera China berhampiran ruang udara negara tempoh hari telah mengingatkan Malaysia tentang keperluan mendesak untuknya memiliki pesawat-pesawat kombat yang lebih moden dan lebih banyak.

“Saya merasakan bahawa secara amnya kelengkapan yang dimiliki oleh tentera udara kita adalah ketinggalan,” kata felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun sebagaimana dipetik oleh media terbabit.

Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei lepas. (kredit TUDM)

 

Pada 22 Jun lepas, Kementerian Pertahanan telah membuka tender untuk mendapatkan 18 buah pesawat jenis “Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft” (FLIT/LCA), kira-kira kira minggu selepas insiden pencerobohan pesawat-pesawat China.

Malaysia dijangka memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA  pada fasa pertama perolehan sebelum menambah  18 buah pesawat lagi, menjadikan jumlah keseluruhan pesawat jenis itu yang bakal diperolehi oleh negara sebanyak 36 buah, cukup untuk mengoperasikan dua buah skuadron.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis berkata, nampaknya cabaran konvensional terbesar yang dihadapi oleh pihak tentera Malaysia ketika ini adalah peningkatan “kehadiran” China di Laut China Selatan.

“Nampaknya cabaran konvensional paling besar yang dihadapi oleh tentera Malaysia adalah peningkatan kehadiran China di dalam bentuk kapal-kapal tentera laut dan pengawal pantainya serta ‘pulau-pulau’ buatan manusia China di Laut China Selatan,” felo kanan di Institut Kajian Polisi Lautan di Tokyo  Fabrizio Bozzato.

Pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM (gambar kredit Bernama)

 

Nampaknya kekuatan aset udara Malaysia telah menjadi buah mulut penganalisis pertahanan antarabangsa.

Penulis majalah antarabangsa, “Forbes” David Axe juga mengetengahkan “kekurangan” yang dialami oleh TUDM dalam penulisannya baru-baru ini.

Malaysia katanya hanya memiliki 18 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, lapan buah pesawat F/A-18D Hornet dan 13 buah pesawat Hawk 108 dan 208.Aset-aset udara yang dimilik oleh Malaysia katanya “sudah usang dan tidak berkemampuan.” (old and tired).

“Terlalu sedikit pesawat pejuang dan terlalu banyak jenis. Ia adalah masalah berganda di mana Kuala Lumpur sedang cuba untuk mengatasinya.”

— penulis majalah “Forbes” David Axe

Beliau berkata, Malaysia sedang berhadapan dengan masalah apabila China mendakwa sebahagian besar daripada Laut China Selatan adalah miliknya.

Katanya, pesawat-pesawat pejuang paling berkemampuan TUDM seperti Sukhoi dan Hornet diletakkan di pangkalan-pangkalan udaranya di Semenanjung Malaysia manakala hanya pesawat pejuang ringan dan subsonic, Hawk diletakkan di Malaysia Timur.

Walaupun pesawat Hawk berjaya memintas dan “shadow” pesawat-pesawat China yang terdiri daripada pesawat pengangkut Y-20 dan IL-76,  tetapi David mengatakan TUDM “mungkin tidak bernasib baik” selepas ini, sekiranya Beijing menghantar pesawat-pesawat yang lebih berkemampuan dan supersonik.

“Pesawat-pesawat Hawk TUDM mungkin tidak mampu mengejar mereka,” kata David Axe lagi

China mendakwa kira-kira 90 peratus daripada Laut China Selatan seluas 3.5 juta kilometer persegi adalah miliknya berdasarkan kepada faktor sejarah.

Dalam kejadian pada 31 Mei itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.

Pesawat F/A-18 TUDM

 

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

Pesawat-pesawat tentera udara China itu telah dikesan terbang pada ketinggian di antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapore FIR sebelum memasuki ruang udara ZMM, KK FIR.

Ia seterusnya terbang di ruang udara Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan berada hanya kira-kira 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak, berpotensi mengancam kedaulatan negara.

Pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan di dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Walaupun pesawat Hawk yang dikerah daripada Labuan itu berjaya memintas pesawat-pesawat pengangkut China itu, tetapi persoalannya adalah sama ada pesawat Hawk mampu menangani penerbangan pesawat-pesawat supersonik China yang lain.

Ini kerana kedua-dua pesawat yang lebih berkemampuan TUDM seperti Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet berpengkalan di Gong Kedak dan Butterworth yang terletak di Semenanjung Malaysia dan bukan di Borneo.

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

ChinaPencerobohanPLAAFSarawakTUDM
Comments (0)
Add Comment