India Bergelut Dapatkan Alat Ganti Pesawat, Helikopter Buatan Russia

Menurut laporan sebuah media pertahanan antarabangsa, India telah pun dimaklumkan oleh Russia bahawa ia tidak mampu memenuhi permintaan New Delhi untuk alat-alat ganti bagi beberapa jenis pesawat dan helikopternya termasuk pesawat pejuang Su-30MKI, MiG-29, pesawat pengangkut IL-76 dan AN-32 serta helikopter Mil Mi-17.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara India dikatakan sedang bergelut dengan masalah yang kritikal untuk mendapatkan bekalan alat ganti bagi pesawat-pesawat dan helikopter buatan Russia yang digunakannya.

Semuanya berpunca daripada konflik Russia-Ukraine serta sekatan ekonomi ketat yang dikenakan terhadap Moscow.

Menurut laporan sebuah media pertahanan antarabangsa, India telah pun dimaklumkan oleh Russia bahawa ia tidak mampu memenuhi permintaan New Delhi untuk memperolehi alat-alat ganti untuk beberapa jenis pesawat dan helikopternya.

Pesawat Su-30MKI India.

 

Antara platform Tentera Udara India yang terjejas akibat ketidakmampuan Russia membekalkan alatganti adalah Su-30MKI, MiG-29, pesawat pengangkut IL-76 dan AN-32 serta helikopter Mil Mi-17.

“Ini bermakna daripada 554 pesawat kombat Tentera Udara India yang aktif, sejumlah 312 pesawat kombat iaitu 247 Su-30MKI dan 65 buah MiG-29 akan berdepan dengan masalah daripada masalah penyelenggaraan berpunca daripada isu bekalan alat ganti.”

“Untuk helikopter Mi-17, masalah bekalan alat ganti itu membabitkan 45 peratus daripada 496 buah helikopter yang sedang berkhidmat dengan Tentera Udara India termasuk helikopter penyerang, berat,utiliti, utiliti ringan dan pengangkut,” menurut laporan itu.

New Delhi telah pun mengakui bahawa Russia telah pun memaklumkan kepada pemerintahan angkatan tenteranya tentang kelewatan selama beberapa bulan bekalan alat ganti itu disebabkan oleh konflik di Ukraine.

Moscow juga dikatakan telah memaklumkan kepada India bahawa masalah bekalan alat ganti itu tidak akan pulih di dalam tempoh terdekat ini, malah menjangkakan masalah itu akan menjadi lebih buruk dalam waktu terdekat ini.

Pesawat-pesawat Su-30MKI India dan Su-30MKM TUDM dalam latihan bersama.

 

Panglima Tentera Udara India dilaporkan telah meminta pegawai-pegawai kanannya supaya merangka strategi penyelenggaraan baru bagi memastikan tahap siapsiaga operasinya tidak akan terjejas.

Antaranya adalah dengan meminta syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) dan syarikat-syarijat swasta India yang lain untuk membantunya dalam menangani masalah memperolehi bekalan alat ganti daripada Russia.

Syarikat HAL bertanggungjawab membina pesawat-pesawat Su-30MKI yang digunakan oleh Tentera Udara India secara berlesen daripada syarikat Sukhoi Russia.

Untuk mengatasi masalah bekalan alat ganti itu juga, New Delhi dikatakan telah meminta kebenaran daripada Moscow supaya ia dibenarkan untuk menghasilkan sendiri alat-alat ganti yang diperlukannya untuk pesawat dan helikopter kombat buatan Russia yang digunakannya.

Jikalau Russia bersetuju dengan permintaan India, ia akan berdepan dengan “kerugian” berlipat-kali ganda pada masa depan apabila konflik di Ukraine itu tamat.

Pesawat MiG-29K India mendarat di atas kapal pengangkut India, INS Vikramaditya.

 

Ini kerana pada ketika itu, apabila India sudah berkemampuan menghasilkan bekalan alat gantinya sendiri maka ia tidak perlu lagi membelinya daripada Russia, sekaligus mengurangkan eksport ketenteraan Moscow yang memberikannya sumber kewangan yang besar.

Masalah mendapatkan bekalan alat ganti bagi alatan ketenteraan buatan Russia sememangnya bukan sahaja dihadapi oleh India sahaja, tetapi semua negara termasuk Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menggunakan peralatan itu disebabkan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Moscow oleh Barat.

Dalam temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tempatan, Asian Defence Journal (ADJ) keluaran Sept-Okt 2022, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang ditanya mengenai tahap kesiapsiagaan pesawat pejuang Su-30MKM milik TUDM.

“Tahap kesiapsiagaan pesawat-pesawat Su-30MKM milik TUDM masih berada di tahap optima, dengan ia masih berkemampuan melaksanakan operasi dan penerbangan latihan seperti biasa.”

Helikopter Mi-17 India

 

“Ini dapat dilihat menerusi pembabitan pesawat Su-30MKM latihan bersama dengan Tentera Udara India pada Ogos lepas serta pembabitan pesawat dalam lintas hormat sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara pada Ogos,” katanya dalam temuramah itu.

Disebabkan oleh konflik di Ukraine, Moscow juga mahukan syarikat-syarikat pembuat pesawat dan komponennya memberikan keutamaan kepada tentera udara mereka sendiri yang sedang berjuang di Ukraine.

Disebabkan dasar itu “Russia First” itu, maka sememangnya dijangkakan bahawa negara-negara yang menggunakan pesawat dan helikopter buatan Russia akan berdepan masalah mendapatkan bekalan alat ganti kerana keutamaan alat ganti itu adalah pada Tentera Udara Russia, disusuli oleh negara-negara lain.

Buat masa ini, tidak dapat dijangkakan bilakah masalah alat ganti bagi pesawat dan helikopter buatan Russia itu akan dapat diatasi. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Alat GantifeaturedIndiaMasalahRussiaSu-30MKI
Comments (0)
Add Comment