(DEFENCE SECURITY ASIA) — Polis telah mengenal pasti identiti empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam kejadian tembakan di kem TUDM di Kota Samarahan, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita nasional BERNAMA, berkata anggota yang maut itu adalah: Koperal Ho Swee Boon dari Lundu; Koperal Mohamad Ehsan Sehamat dari Asajaya; Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dari Sibu dan Koperal Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Kuching.
Beliau berkata, maklumat awal kejadian mendapati suspek dipercayai mengamuk dan masuk ke balai pengawal di kem Handau Skuadron 330 seterusnya mengambil senjata api.
“Ketika itu, penyelia bertugas adalah Koperal Julaihi. Turut berada di situ adalah Koperal Mohd Saiful Dania, Koperal Jas anak Munap, LU Hezerin Muhd dan LU Afiq Nazmi Rozaidi.
“Suspek sempat bertanya nak hidup atau mati. Koperal Sharif Mohd Siddiq cuba menenangkan suspek tetapi suspek melepaskan tembakan dan terkena perut Shariff. Mendengar bunyi tembakan, semua saksi bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita nasional itu, hari ini.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenai insiden itu.
TUDM dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada jam 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching.
TUDM juga meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan polis selesai dan satu lembaga penyiasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian
— DEFENCE SECURITY ASIA/BERNAMA