Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Hantar 3,000 Tentera Untuk “Selamatkan” Kakitangan Kedutaannya Di Kabul

Dua hari lepas, agensi perisikan Amerika Syarikat menganggarkan bahawa Kabul berkemungkinan besar akan ditawan semula oleh Taliban di dalam tempoh 90 hari ini.

0 1,049

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat akan mengerahkan kira-kira 3,000 anggota tenteranya ke ibu negara Afghanistan, Kabul untuk membawa pulang lebih daripada 1,400 kakitangan kedutaannya di negara itu, yang kini berhadapan dengan kemaraan militan Taliban.

Dua hari lepas, agensi perisikan Amerika Syarikat menganggarkan bahawa Kabul berkemungkinan besar akan ditawan semula oleh Taliban di dalam tempoh 90 hari ini.

Penghantaran ribuan tentera Amerika Syarikat untuk memindahkan kakitangan kedutaannya di Kabul itu membuktikan bahawa negara itu semakin putus harapan untuk menyaksikan Afghanistan kekal di bawah pentadbiran Presiden Ashraf Ghani.

“Kita telah melakukan kajian tentang keadaan keselamatan (di Afghanistan) setiap hari untuk menentukan bagaimana memastikan keselamatan mereka yang bertugas di kedutaan.”

“Kita akan mengurangkan lagi kakitangan kedutaan di Afghanistan dalam minggu-minggu mendatang,” kata jurucakap Jabatan Negara Ned Price, sambil menambah, kedutaan tidak akan ditutup.

Kabul
Kedutaan Amerika Syarikat di Kabul.

 

Arahan untuk mengurangkan kakitangan kedutaan Amerika Syarikat di Kabul itu dikeluarkan oleh Presiden Jo Biden selepas menerima nasihat daripada pegawai-pegawai kanan keselamatan negara itu dalam satu mesyuarat.

Walaupun Amerika Syarikat mengurangkan kakitangan kedutaannya di Kabul itu, tetapi ia masih akan mengekalkan hubungan keselamatan dan dua hala dengan Afghanistan, malah ia menyokong sebarang usaha untuk mencari penyelesaian politik terhadap masalah keselamatan di negara itu.

Menurut pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat, pengurangan kakitangan itu dilakukan berikutan keadaan keselamatan di negara itu yang semakin meruncing, dengan Taliban kini menguasai dua pertiga daripada negara Asia Selatan itu.

Pada hari ini, Taliban menawan bandar kedua dan ketiga terbesar di Afghanistan bagi menguatkan lagi cengkamannnya terhadap negara itu.

Penawanan bandar Kandahar dan Herat oleh militant Taliban berlaku selepas pertempuran sengit selama beberapa hari dengan anggota tentera Afghanistan.

Herat yang merupakan bandar ketiga terbesar negara itu terletak berhampiran dengan sempadan denga Iran dan mempunyai 600, 000 penduduk.

Ribuan penduduk kedua-dua bandar itu telah melarikan diri ke bandar-bandar berhampiran.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...