Huawei Jadi Punca Mengapa Amerika Enggan Jual F-35 Pada UAE

Disebabkan UAE tidak mahu mematuhi syarat-syarat yang digariskan oleh Amerika Syarikat terutamanya berkaitan hubungannya dengan Huawei itu maka keputusan Washington untuk menjual sehingga 50 buah pesawat F-35 ketika pemerintahan Donald Trump telah dibatalkan oleh pentadbiran Presiden Jo Biden.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keengganan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menamatkan hubungan dan kerjasamanya dengan syarikat telekomunikasi terkenal China, Huawei berkaitan teknologi 5G dikatakan adalah punca utama keengganan Amerika Syarikat menjual pesawat generasi kelima, F-35 Joint Strike Fighter kepada negara Arab yang kaya-raya itu.

Washington dikatakan telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh UAE sebelum negara Arab itu dibenarkan membeli pesawat pejuang halimunan itu dan menjadi negara Arab pertama memiliki pesawat terbabit.

Satu daripada syarat itu adalah UAE mesti menamatkan hubungannya dengan Huawei.

Disebabkan UAE enggan tunduk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Amerika Syarikat berkenaan hubungannya dengan Huawei, itu maka keputusan pentadbiran Donald Trump untuk menjual sehingga 50 buah pesawat F-35 telah dibatalkan oleh pentadbiran Presiden Jo Biden.

Sebenarnya apa yang dihadapi oleh UAE turut dialami oleh banyak negara – di mana ia terpaksa memilih di antara dua kuasa ekonomi dunia, Amerika dan Beijing yang masing-masing sedang memperluaskan pengaruh geopolitik mereka.

 

Walaupun pesawat pejuang F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin itu tidak menggunakan teknologi 5G, tetapi Washington bimbang kerana UAE akan menggunakan teknologi 5G yang dibekalkan oleh Huawei di stesen-stesen komunikasi, menara telekomunikasi di pangkalan-pangkalan udara dan pelbagai kemudahan di negara Arab itu.

Dan inilah yang dibimbangi oleh Amerika Syarikat.

“Mereka (Amerika Syarikat) bimbang sekiranya China berpeluang menggunakan  kemudahan 5G itu untuk memperolehi seberapa banyak maklumat perisikan tentang kemampuan dan bagaimana pesawat F-35 itu beroperasi,” menurut seorang penganalisis Barat.

Setiausaha Pertahanan Pentagon John Kirby mengakui bahawa antara risiko paling utama mengapa Amerika membantah kerjasama UAE-Huawei adalah kebimbangan ia akan memberikan China peluang untuk “mengintai” kemampuan dan cara pesawat F-35 itu beroperasi.

Katanya,  syarat Amerika Syarikat yang mahukan negara pengguna sistem pertahanannya melindungi keselamatan serta kerahsiaan peralatan dan sistem itu adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Pesawat F-35 Joint Strike Fighter yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

 

Bagaimanapun katanya, syarat penting itu tidak hanya dikenakan kepada UAE tetapi kepada semua negara yang memperolehi peralatan pertahanan daripada Amerika Syarikat.

Sebenarnya hubungan di antara UAE dengan Huawei sudah terjalin sejak beberapa tahun lamanya sebelum negara Teluk itu bercadang untuk memiliki pesawat F-35 itu untuk kegunaan tentera udaranya.

Huawei telah pun menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi UAE di dalam bidang 5G dan bermacam-macam perkara serta teknologi.

Kerajaan UAE menggunakan teknologi 5G Huawei untuk muncul sebagai negara Arab paling terkehadapan di dalam bidang digital ekonomi, sekaligus mentransformasi ekonomi negara itu secara keseluruhannya.

Oleh kerana itulah, UAE tidak mudah untuk menamatkan kerjasamanya dengan Huawei yang dianggap amat penting dalam memastikan objektif transformasi ekonomi negara Teluk itu berjaya direalisasikan.

 

Pada tahun 2020,Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengumumkan kemungkinan penjualan kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-35 Lightning kepada UAE.

Nilai penjualan kesemua pesawat pejuang generasi kelima itu dianggarkan mencecah kira-kira US$23.3 billion (RM93 billion), menurut Defense Security Cooperation Agency (DSCA), sebuah agensi yang bernaung di bawah Pentagon.

DSCA berkata, penjualan itu turut melibatkan pelbagai kelengkapan yang datang bersama-sama pesawat pejuang itu, logistic, latihan, Full Mission Trainer, peluru berpandu dan pesawat tanpa pemandu.

Bagaimanapun UAE bertindak menggantung cadangan perolehan pesawat F-35 itu kerana syarat-syarat tidak masuk akal yang dikenakan oleh Washington terhadap negara Arab itu.

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Sebaik sahaja menggantung cadangan pembelian pesawat F-35, UAE tidak berlengah dengan mengumumkan perolehan 80 buah pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh Dassault Aviation daripada Perancis dengan nilai US$19 bilion (RM76 bilion). 

Pemerhati melihat pembelian pesawat-pesawat Rafale oleh UAE itu merupakan tindak-balas terhadap tindakan Amerika Syarikat dalam berlengah-lengah menjual pesawat F-35 kepada negara Arab terbabit.

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

 

 

5GF-35featuredHuaweiTeknologiUAE