Houthi Tembak Jatuh 17 Dron MQ-9 Reaper Bernilai US$595 Juta (RM2.6 Billion) Sejak Okt 2023

Secara keseluruhannya, tentera Amerika Syarikat telah menanggung kerugian berjumlah US$595 juta atau RM2.6 billion apabila 17 buah dron canggih MQ-9 Reaper miliknya ditembak jatuh oleh anggota kumpulan bersenjata Houthi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak 7 Oktober 2023, tentera Amerika Syarikat telah kehilangan 17 buah dron MQ-9 Reaper yang setiap sebuahnya bernilai kira-kira US$35 juta (RM154 juta) akibat ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata Houthi.
Secara keseluruhannya, tentera Amerika Syarikat telah menanggung kerugian berjumlah US$595 juta atau RM2.6 billion apabila 17 buah dron canggih MQ-9 Reaper miliknya ditembak jatuh oleh anggota kumpulan bersenjata Houthi.
Dalam insiden terbaru, dron MQ-9 Reaper yang merupakan dron MALE (Medium Altitude Long Endurance) ke-17 milik Amerika Syarikat itu dilaporkan telah ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi di wilayah barat Yemen di Hudaydah.
 “Bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin yang tertindas serta perjuangan mereka yang mulia dan berani, dengan izin Allah SWT, pasukan pertahanan udara Angkatan Tentera Yemen telah berjaya menembak jatuh sebuah dron pengintip Amerika Syarikat jenis MQ-9 yang menceroboh ruang udara negara dan menjalankan misi bermusuhan di ruang udara wilayah Al-Hudaydah, menggunakan peluru berpandu darat ke udara buatan tempatan,” kata jurucakap kumpulan Houthi Brig Jen Yahya Saree dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Beliau berkata ia merupakan dron MQ-9 Reaper kedua yang berjaya ditembak jatuh oleh unit pertahanan udara Houthi dalam tempoh 72 jam, dan yang ke-17 sejak bermulanya kempen ketenteraan, yang dilancarkan tidak lama selepas 7 Oktober 2023 — tarikh Israel memulakan serangan ketenteraan berskala besar terhadap wilayah Semenanjung Gaza yang terkepung.
Pada Isnin lalu, kumpulan Houthi turut memaklumkan bahawa mereka telah menembak jatuh sebuah lagi dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat di wilayah tengah Ma’rib.
Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial, selain mencari sasaran di kawasan daratan Yemen.
MQ-9 Reaper
Dron MQ-9 Reaper buatan Amerika Syarikat yang canggih itu berkemampuan terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan komponen elektronik yang sensitif.
Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.
Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.
Tentera Amerika Syarikat dilapor bercadang menghentikan perkhidmatan dron MQ-9 Reaper itu pada tahun 2035.
Sebagaimana dinyatakan oleh kumpulan Houthi,dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu dwi-mod Saqr-358.
Dibangunkan oleh Iran, peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq dan kini oleh Hezbollah di selatan Lubnan.
Bangkai dron MQ-9 Reaper selepas ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi
Peluru berpandu “Saqr-358”
Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.
Versatiliti dan keberkesanan peluru berpandu dwi-mod canggih Iran itu menyebabkan “Saqr 358” menjadi senjata pilihan kepada kumpulan-kumpulan proksi Iran di Timur Tengah untuk menangani dron-dron musuh.
Ia memberikan kumpulan-kumpulan itu kemampuan untuk menganggu dan menangani keupayaan pengintipan serta pengawasan oleh pihak musuh terutamanya terutamanya Israel dan Amerika Syarikat.
Setakat ini tidak banyak yang diketahui tentang spesifikasi teknikalnya peluru berpandu dwi-mod itu, tetapi “Saqr 358” memiliki panjang hampir 3 meter manakala diameternya peluru berpandunya adalah 152mm.
Berat keseluruhannya adalah 50kg dan menggunakan enjin turbojet yang kecil serta berkemampuan terbang dalam jarak daripada 10km sehingga kepada 100km.
Peluru berpandu canggih Iran itu menggunakan peledak High Fragmentation seberat 10kg dan ia tidak memerlukan sistem pelancaran yang canggih, selain mudah dipindahkan daripada satu lokasi ke satu lokasi.
— DEFENCE SECURITY ASIA

AmerikaHouthiMQ-9 ReaperYemen
Comments (0)
Add Comment