Tentera Darat Pindah Gempita Dari Kuantan Ke Kuching

Tentera Darat telah bersetuju untuk membuat pemindahan kenderaan perisai Gempita daripada 1 KAD kepada 4 KAD bagi menampung keperluan operasi, latihan dan kompetensi krew 4 KAD, 1 Divisyen dan Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Buat julung-julung kalinya, fasa pemindahan masuk kenderaan perisai Gempita ke kapal KD Mahawangsa di Tambatan Pangkalan Lumut telah berjaya dilaksanakan semalam.

Kapal KD Mahawangsa telah dipilih sebagai platform penghantaran logistik dalam proses pindah alih kenderaan perisai Gempita antara Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD), Kuantan dan Rejimen Ke-4 Kor Armor Diraja (4 KAD) di Kuching.

Pemindahan itu dipercayai melibatkan lebih daripada 20 buah kenderaan perisai Gempita.

(KD Mahawangsa)
(Kor Armor Diraja)

 

Tidak hanya bakal menguji keupayaan aset angkatan laut dan darat, fasa pemindahan dan pindah alih ini juga adalah hasil manifestasi kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bakal menyaksikan kesepaduan kedua-dua perkhidmatan dalam melaksanakan misi bersama bagi memastikan kedaulatan negara terus terbela dan terpelihara.

Menurut akaun media sosial KD Mahawangsa, fasa seterusnya adalah pelayaran kapal KD Mahawangsa ke Kuching dijangka pada awal September ini.

Dalam satu lagi posting media sosial oleh Kor Armor Diraja, Pengarah Kor Armor Diraja Brigedier Jeneral Mohd Fazly Mat Said telah menyaksikan acara Perbarisan Serah Terima Kenderaan Perisai Gempita di antara 1 KAD dan 4 KAD pada 16 Ogos lalu.

(KD Mahawangsa)
(Kor Armor Diraja)

 

Majlis telah diadakan di Padang Kawad Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), Kem Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Turut berlangsung adalah acara penyerahan replika kenderaan perisai Gempita telah diadakan di antara Pegawai Memerintah 1 KAD, Leftenan Kolonel Zainal Azli Ismail dan Pegawai Memerintah 4 KAD, Leftenan Kolonel Ts. Dr. Wong Wai Loong.

Perbarisan yang diketuai oleh Mejar Izzudin bin Dato’ Abidin merupakan acara simbolik untuk lakaran sejarah apabila Tentera Darat telah bersetuju untuk membuat pemindahan kenderaan perisai Gempita daripada 1 KAD kepada 4 KAD bagi menampung keperluan operasi, latihan dan kompetensi krew 4 KAD, 1 Divisyen dan Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

Perpindahan akan dilaksanakan dalam dua peringkat menggunakan perkhidmatan kapal TLDM iaitu KD Mahawangsa mulai bulan September dan dijangka selesai pada pertengahan bulan Oktober 2023. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredGempitaKuantanKuchingPerisaiPindah
Comments (0)
Add Comment