Penilaian Fizikal Pesawat FLIT/LCA TUDM Dijangka Pada 22 Jun Ini – Panglima

Selepas Penilaian Fizikal terhadap pesawat-pesawat pesaing maka Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada Ogos 2022 yang mungkin akan memaklumkan kepada kita tentang siapa pemenang kontrak yang dijangka bernilai RM4 bilion.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Proses perolehan 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia kini memasuki peringkat terakhir dan kritikal dengan Penilaian Fizikal (Physical Evaluation) pesawat-pesawat pembida dijangka akan diadakan pada 22 Jun ini.

Itulah yang dinyatakan oleh Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dalam temuramah dengan versi online majalah pertahanan berbahasa Melayu, Perajurit.

Beliau berkata selepas Penilaian Fizikal terhadap pesawat-pesawat pesaing maka Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada Ogos 2022 yang mungkin akan memaklumkan kepada kita tentang siapa pemenang kontrak yang dijangka bernilai RM4 bilion.

Aksi pesawat “Tejas” pada Singapore Air Show 2022.

 

“Enam buah pesawat diterima secara berperingkat mulai tahun 2025,” kata Panglima TUDM dalam temuramah itu.

Setakat ini kita tidak tahu pesawat mana yang bakal diumumkan pemenang walaupun sumber-sumber industri menyatakan kepada Defence Security Asia bahawa pesawat FA-50 keluaran syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) adalah frontrunner (berada di depan) untuk memenangi kontrak daripada TUDM itu.

Pesawat FA-50 adalah pilihan semulajadi kepada TUDM selain aspek tawaran yang dikemukakan kepada Malaysia sekiranya ia dipilih sebagai pesawat pilihan.

Selain tawaran kemudahan pemasangan akhir pesawat FA-50 itu di Malaysia, terdapat tawaran-tawaran menarik yang lain. (Boleh rujuk artikel Defence Security Asia sebelum ini)

Jika TUDM memilih pesawat FA-50 itu, ia bakal menyertai Indonesia,Thailand dan Filipina yang turut menggunakan pesawat itu atau varian TA-50.

Pesawat JF-17 Pakistan pada latihan Anatolian Eagle 2021 di Turki.

 

Terdapat juga mengatakan bahawa pesawat-pesawat Tejas yang dibangunkan oleh Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) dan JF-17 yang dibangunkan secara usahasama antara China dan Pakistan turut disenarai akhir oleh TUDM untuk bersaing dengan pesawat FA-50 itu.

Pesawat-pesawat daripada Russia seperti Yak-130 “Mitten” dan MiG-35 sudah terkeluar daripada senarai berikutan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap negara itu akibat pencerobohan negara itu terhadap negara jirannya, Ukraine.

Pesawat MiG-35 “Fulcrum Foxtrot” buatan Russia,

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

TUDM dan Kementerian Pertahanan sudah tentu tidak mahu berdepan risiko kesukaran untuk mendapatkan alat ganti pesawat akibat sekatan ekonomi terhadap sistem persenjataan yang dihasilkan oleh Russia.

Buat masa ini, peminat-peminat sistem pertahanan Russia bolehlah melupakan sebarang niat untuk melihat Malaysia menambah koleksi senjata Russia berikutan ancaman sekatan ekonomi Barat terhadapnya. — DSA

featuredFLITLCATUDM