(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas berjaya membekalkan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M Block 20 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) kini memulakan pengambilan peserta PROTÉGÉ-RTW (Ready To Work) di kalangan graduan tempatan dalam pelbagai bidang.
Difahamkan KAI melantik rakan perunding tempatannya iaitu Kemalak Systems Sdn Bhd untuk melaksanakan program PROTÉGÉ-RTW bagi pihak KAI yang bertanggungjawab membangunkan pesawat pejuang ringan FA-50M Block 20 itu.
Dikhabarkan Kemalak Marine Sdn Bhd yang merupakan salah sebuah anak syarikat di bawah Kemalak Group telah diberikan tanggungjawab membuat pengambilan peserta dan melaksanakan latihan.
Latihan terdiri dari dua komponen utama iaitu “Latihan Sambil Kerja” dan “Latihan Insaniah”.
Bercakap kepada Defence Security Asia, Ketua Pegawai Eksekutif Kemalak Marine Sdn Bhd, Lt Kdr (B) Mohd Faizal Ab Aziz berkata, program PROTÉGÉ-RTW adalah salah satu obligasi kontrak dalam membekalkan pesawat pejuang ringan FA-50M Block 20 kepada TUDM.
Program melibatkan lebih 1600 peserta ini telah dimulakan pada 1 Ogos 2023 lalu dengan pengambilan hampir 150 peserta bagi pengambilan pertama.
Peserta program ini ditempatkan di semua anak-anak syarikat Kemalak Group dan juga di beberapa syarikat SME dan jabatan kerajaan terpilih di seluruh Malaysia.
Tambah Mohd Faizal lagi, pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah memberi kerjasama penuh dalam proses pelaksanaan program PROTÉGÉ-RTW ini.
Selain itu, pihak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) juga banyak membantu dalam usaha pemilihan peserta bagi pengambilan pertama.
Program PROTÉGÉ-RTW ini akan dilaksanakan selama lima tahun melibatkan lapan pengambilan.
Para peserta akan menjalani latihan selama lapan hingga 12 bulan di lokasi yang ditetapkan, dengan peserta turut menerima manfaat seperti elaun latihan sebanyak RM2,000 sebulan, cuti rehat, cuti sakit dan sebagainya.
Ketika ditanya mengenai penglibatan peserta PROTÉGÉ-RTW dalam perolehan FA-50M yang sedang berlangsung, Mohd Faizal berkata, setakat ini hanya 10 peserta ditempatkan di Kemalak Aerospace Sdn Bhd.
Walau bagaimanapun, keperluan peserta akan terus meningkat terutamanya melibatkan graduan dalam bidang kejuruteraan aeronautik, mekanikal dan elektronik sekiranya pihak kerajaan Malaysia menerima cadangan ‘final assembly line’ menerusi ‘Industrial Collaboration Program’ (ICP).
Dianggarkan 300 hingga 400 graduan akan menimba pengalaman dalam ‘final assembly line’ tersebut, dengan inisiatif itu mampu melahirkan graduan mahir dalam memacu industri aeroangkasa negara.
Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak pembelian 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M Block 20 dengan KAI pada pameran LIMA 2023 di Pulau Langkawi Mei lepas. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com