(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Saab Group, Micael Johansson melahirkan rasa kecewanya berikutan kegagalan syarikat Eropah itu dalam menempa sebarang jualan bagi pesawat pejuang Gripen sejak lapan tahun lepas.
Apa yang mengecewakannya, negara-negara Eropah pun enggan membeli pesawat pejuang keluaran syarikat-syarikat Eropah.
Nampaknya, “kekecewaan” syarikat Saab Group yang membangunkan pesawat pejuang Gripen itu berterusan, selepas sebuah lagi negara Eropah bertindak “menolak” pesawat pejuang buatan syarikat Eropah dan memilih pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat untuk tentera udaranya.
Negara Eropah tersebut adalah Switzerland menjadi negara terbaru di benua itu memilih pesawat F-35 buatan syarikat Lockheed Martin, mengikuti jejak langkah beberapa lagi negara Eropah yang memilih pesawat pejuang yang sama untuk melengkapkan tentera udaranya.
Beberapa hari lepas, kerajaan Switzerland telah menandatangani kontrak pembelian 36 buah pesawat F-35A bernilai US$6.25 bilion (RM25 bilion) bagi menggantikan pesawat-pesawat F/A-18 Hornet dan F-5E.
Selain itu kerajaan Switzerland juga menandatangani perjanjian dengan Lockheed Martin berkenaan isu offset yang akan menyaksikan syarikat-syarikat negara Eropah itu menerima kontrak bernilai kira-kira US$3 bilion (RM15 bilion).
Lapan buah pesawat F-35A yang dibeli oleh Switzerland itu akan dipasang di kemudahan syarikat Lockheed di Texas manakala 24 buah baki pesawat itu akan dipasang di kemudahan syarikat di Cameri, Itali.
Tindakan Switzerland memilih pesawat F-35 buatan Amerika Syarikat itu dan bukan pesawat pejuang buatan syarikat Eropah sudah tentu hanya akan “menambah duka” syarikat Saab Group.
Bayangkan tiada negara membeli pesawat pejuang Gripen selama lapan tahun.
Kali terakhir pesawat pejuang Gripen memenangi persaingan membekalkan pesawat pejuang kepada negara asing adalah pada 2014 apabila ia berjaya menambat hati Brazil yang bersetuju membeli 36 buah pesawat pejuang buatan Sweden itu bernilai US$5.4 bilion (RM21.6 bilion)
Sebagaimana dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini, Johansson berkata pesawat pejuang Gripen itu telah gagal menepati sasarannya jualannya dipasaran eksport dan menyalahkan faktor-faktor politik sebagai punca disebalik kegagalan itu.
Bukan sahaja pengurusan tertinggi Saab Group melahirkan kekecewaanny, tetapi perasaan kecewa mereka turut dikongsi bersama oleh pegawai-pegawai syarikat Dassault Aviation (Rafale),BAE Systems, Leonardo, Airbus (Eurofighter Typhoon) yang sejak beberapa tahun ini hanya sekadar menjadi penonton terhadap tindakan pesawat F-35 buatan Amerika Syarikat “tapau” pasaran pesawat pejuang di benua itu.
Kebanyakkan pegawai-pegawai kanan syarikat pembuat pesawat pejuang Eropah berkenaan telah melahirkan rasa kecewa mereka terhadap dominasi pesawat F-35 di benua milik mereka.
Malah pemimpin-pemimpin politik di Perancis telah menyeru rakan-rakan negara Eropah mereka supaya “beli barangan Eropah” dalam satu usaha terdesak untuk meredakan “kegilaan” negara jirannya yang berduyun-duyun membeli pesawat F-35.
Dominasi pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat di Eropah telah memaksa syarikat-syarikat pembuat pesawat pejuang benua itu untuk bergantung harap kepada pasaran di luar Eropah seperti Timur Tengah dan Asia untuk “terus hidup.”
Perasaan kecewa syarikat pembuat pesawat pejuang Eropah terhadap dominasi F-35 di benua mereka sendiri, tidak dapat dibendung lagi dan mereka telah meluahkannya secara terbuka di media, sebagaimana dilakukan oleh pengurusan tertinggi syarikat Saab Group.
Belgium menjadi negara Eropah yang pertama membeli pesawat F-35 pada 2018 dengan komitmen untuk memperolehi 34 buah pesawat F-35A, diikuti oleh Poland dua tahun selepas itu dengan memperolehi 32 buah pesawat F-35A.
Pada 2021, Finland menggantikan pesawat F/A-18 Hornet dengan membeli 64 buah pesawat F-35 itu.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Baru-baru ini, Jerman pula merancang untuk mendapatkan 35 buah pesawat F-35A bagi menggantikan pesawat pejuang Tornado-miliknya yang berkemampuan membawa bom-bom nuklear.
Republik Czech juga telah menyatakan komitmennya untuk mendapatkan 24 buah pesawat F-35 untuk menggantikan pesawat Gripen bakal ditamatkan khidmatnya.
Pihak syarikat Lockheed Martin menganggarkan menjelang tahun 2030, sebanyak 550 buah pesawat F-35 akan beroperasi di Eropah termasuk skuadron pesawat F-35 Amerika Syarikat yang beroperasi di Pangkalan Udara Lakenheath di England. — DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore