(VIDEO) Digelar F-35 Versi Asia, KF-21 “Boramae” Kebanggaan Korea Selatan

Digelar F-35 versi Asia berikutan rekabentuknya yang hampir sama, pesawat KF-21 itu turut dibangunkan oleh gergasi aeroangkasa dan pertahanan negara Asia Timur itu, Korea Aerospace Industries (KAI).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada tahun depan, pesawat pejuang generasi 4.5 dipanggil “KF-21 Boramae” hasil usahasama antara Korea Selatan dan Indonesia akan melakukan penerbangan sulungnya, selepas pesawat itu berjaya di “rollout” pada April lepas.

Dan pada tahun 2026, mass production pesawat pejuang “KF-21 Boramae” (Hawk)  dijangka bermula.

Digelar F-35 versi Asia berikutan rekabentuknya yang hampir sama, pesawat KF-21 itu turut dibangunkan oleh gergasi aeroangkasa dan pertahanan negara Asia Timur itu, Korea Aerospace Industries (KAI), syarikat sama yang menghasilkan pesawat FA-50 yang sedang dipasarkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris “Asia Defence Journal” keluaran Julai-Ogos, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad turut ditanya sama ada negara berminat dengan pesawat KF-21 “Boramae” itu.

Perancang pelan pembangunan TUDM “CAP55” menurutnya, sentiasa memantau perkembangan terkini pasaran dan evolusi sistem.

Bagaimanapun katanya, adalah terlalu awal untuk menentukan sama ada pesawat pejuang generasi 4.5 usahasama antara Korea Selatan dan Indonesia itu sesuai untuk TUDM dan negara.

Tumpuan TUDM pada ketika ini adalah untuk memastikan pesawat-pesawat pejuang sedia adanya iaitu Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet terus beroperasi sehingga tahun 2035 dan 2040 menerusi pelbagai usaha kejuruteraan yang juga akan memastikan ia kekal berbisa dan relevan.

Dikategorikan sebagai pesawat pejuang generasi 4.5, pesawat pejuang KF-21 ini adalah setanding dengan pesawat-pesawat pejuang lain seperti Rafale yang dibangunkan oleh Dassault Aviation dan F/A-18 Super Hornet.

KF-21 Boramae ini adalah pesawat dua enjin yang boleh mencapai kelajuan maksimum 2,200km sejam dan jarak operasi sejauh 2,900km serta dilengkapi dengan radar (active electronically scanned array (AESA).

Dengan dua enjin,  pesawat pejuang ini mampu membawa pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu dan bom-bom seberat 7.7 tan, mencukupi untuk melaksanakan pelbagai misi daripada udara-ke-udara, udara-ke-darat atau maritime strike.

Walaupun dibangunkan sebagai pesawat pejuang generasi 4.5, tetapi jurutera-jurutera di KAI merekabentuk pesawat itu supaya mudah untuk dinaiktaraf dengan pelbagai sistem terkini dan mencapai tahap seperti sebuah pesawat pejuang generasi ke-5.

Bagaimanpun pengurusan KAI baru-baru ini mengumumkan bahawa pesawat pejuang KF-21 Boramae akan terus mengalami evolusi dan dilengkapi dengan pelbagai sistem terkini bagi membolehkan ia dipertingkatkan sebagai sebuah pesawat yang memiliki ciri-ciri generasi ke-6.

Sifat modulariti itu akan memastikan pesawat itu dinaiktaraf daripada pesawat generasi 4.5 kepada generasi ke-5 dan seterusnya generasi ke-6.  

Pesawat pejuang kebanggaan industri pertahanan Korea Selatan ini juga berkemampuan beroperasi dengan pesawat-pesawat tanpa pemandu dalam konsep “man-machine partnership”.

Korea Selatan dikatakan membelanjakan US$6.8 bilion (RM27 bilion) untuk membangunkan program pesawat KF-21 Boramae, dengan 20 peratus atau kira-kira US$1.33 bilion (RM5.7 bilion) daripada peruntukan pembangunan program ini disumbang oleh Jakarta sebagai rakan kerjasama program ini

Sebelum ini dikatakan terdapat masalah di antara Jakarta dengan Korea Selatan mengenai “sumbangan” Indonesia terhadap program ini tetapi berjaya diselesaikan baru-baru ini dan pembabitan Indonesia dalam program ini “back on track.”

 

Korea Selatan hanya mengumumkan mengenai projek pembangunan pesawat KF-21 “Boramae” pada tahun 2015 dan enam tahun selepas itu, pesawat pertama itu telah berjaya di-rollout dan pesawat pertama akan melakukan penerbangan sulungnya pada tahun depan.

Pembangunan yang begitu cepat pesawat KF-21 ini bukan hanya disebabkan oleh usaha Korea Selatan semata-mata, tetapi negara Asia Timur tu telah dibantu oleh gergasi-gergasi pertahanan Amerika Syarikat seperti Lockheed Martin dan General Electric.

Sama seperti pesawat KF-21, KAI juga bekerjasama rapat dengan kedua-dua gergasi pertahanan Amerika Syarikat itu dalam membangunkan pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) FA-50 yang kini amat laris di pasaran.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

BoramaeF-35featuredKF-21Korea Selatan