Amerika Bakal Tempatkan F-22 “Raptor” Di Filipina Untuk Hadapi China?

Ia adalah kedatangan pertama F-22 "Raptor" ke Filipina dan berlaku tidak lama selepas Manila serta Washington bersetuju untuk mengeratkan lagi hubungan ketenteraan mereka menerusi penandatanganan Enhanced Defense Cooperation Agreement (EDCA).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Baru-baru ini, Filipina telah menerima kedatangan pesawat pejuang halimunan Amerika Syarikat, F-22 “Raptor” yang mengadakan latihan dengan pesawat pejuang Tentera Udara Filipina, terutamanya pesawat pejuang ringan FA-50PH.

Ia adalah kedatangan pertama pesawat pejuang F-22 “Raptor” ke Filipina dan ia berlaku tidak lama selepas Manila serta Washington bersetuju untuk mengeratkan lagi hubungan ketenteraan mereka menerusi penandatanganan Enhanced Defense Cooperation Agreement (EDCA).

EDCA akan menyaksikan tentera Amerika diberikan kebenaran tidak terhad terhadap pangkalan tentera di Filipina untuk menempatkan anggota, aset serta persenjataan.

Dalam latihan di Filipina itu, pesawat-pesawat pejuang F-22 “Raptor” telah terbang bersama-bersama pesawat LCA FA-50PH.

Menurut kenyataan daripada Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), antara aspek latihan udara yang disertai oleh pesawat-pesawat F-22 di negara Asia Tenggara itu termasuklah basic flight maneuver dan formasi-formasi yang mudah manakala hari terakhir pula menyaksikan pembabitan pesawat pejuang Gen-5 dalam pertempuran udara (dogfights).

Latihan bersama di antara PAF dan USAF menyaksikan pesawat F-22 membiasakan diri dan pesawat mereka dengan keadaan geografi sekeliling di negara Asia Tenggara yang berkongsi sebahagian daripada keluasan perairan Laut China Selatan, yang didakwa oleh China sebagai miliknya.

“Fasa pertama penerbangan (F-22) melibatkan penerbangan rendah. Juruterbang Raptor berpeluang untuk melihat lebih dekat keadaan muka bumi selain pangkalan udara Filipina. Membiasakan diri dengan ruang udara akan meningkatkan kemampuan keseluruhan dan integrasi mereka pada masa depan, “menurut laporan daripada 18th Wing Public Affairs yang berpengkalan di Pangkalan Udara Kadena di Okinawa.

Lawatan pesawat-pesawat pejuang F-22 Raptor itu ke Filipina merupakan langkah persediaan sekiranya Amerika Syarikat diberikan kebenaran untuk menempatkan anggota tentera dan aset-asetnya secara tetap di negara Asia Tenggara itu.

Jika Amerika Syarikat diberikan kebenaran untuk menempatkan anggota dan aset tenteranya di Filipina, sudah pasti kemungkinan penempatan F-22 Raptor di Filipina untuk tempoh yang lama adalah amat tinggi.

Seperti biasa, China telah menyuarakan bantahannya terhadap persetujuan yang dicapai di antara Manila dan Washington membabitkan EDCA.

Sejak setahun dua ini, Beijing menyedari bahawa tentera Amerika mula menempatkan pesawat-pesawat pejuang tercanggihnya iaitu F-22 dan F-35 di beberapa negara berhampiran dengan China.

Kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat membawa F-35 pula sentiasa berlegar di  perairan Pasifik.

Selepas mengundurkan pesawat pejuang F-15C/D miliknya daripada Okinawa, Amerika Syarikat telah menggantinya dengan skuadron F-22 Raptor yang sebelum ini ditempatkan di Alaska.

Selain itu, Washington turut menempatkan pesawat-pesawat Raptor di Guam dan Australia secara giliran.

Selain pesawat-pesawat F-22 yang kini ditempatkan di Jepun itu, negara-negara sekutu Amerika Syarikat seperti Jepun dan Korea Selatan juga memiliki puluhan pesawat F-35 untuk menangani apa sahaja masalah keselamatan di rantau Indo-Pasifik.

Australia juga memiliki pesawat-pesawat F-35, manakala Singapura dijangka memiliki sehingga 12 buah pesawat generasi kelima itu bermula pada tahun 2026.

Menyedari ia kini berhadapan dengan pesawat-pesawat pejuang Gen-5 di hadapan “rumahnya,” Beijing telah bertindak untuk meningkatkan penghasilan pesawat Gen-5 miliknya, J-20 “Mighty Dragon”.

Beijing ternyata bimbang dengan peningkatan kehadiran pesawat-pesawat pejuang seperti F-35 dan F-22 milik Amerika Syarikat dan sekutunya di Indo-Pasifik.

Memetik sumber-sumber dalam angkatan tentera China dan penganalisis ketenteraan di akhbar terkemuka South China Morning Post mengatakan bahawa Beijing telah meningkatkan pengeluaran pesawat pejuang tercanggihnya, J-20 itu.

Tindakan Beijing meningkatan pengeluaran pesawat pejuang termodennya, J-20 itu adalah untuk menyeimbangkan kekuatan udara yang dimilikinya dengan kekuatan udara yang ada pada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya di Indo-Pasifik.

Pesawat pejuang generasi kelima, J-20 “Mighty Dragon” milik China

 

China dipercayai telah meghasilkan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang J-20, menjadikan bilangan pesawat itu dengan F-22 dan F-35 di Indo-Pasifik adalah agak seimbang.

Pesawat pejuang termoden China itu mula memasuki perkhidmatan tentera udara negara itu pada 2017 tidak berapa lama selepas Jepun dan Korea Selatan memperolehi pesawat F-35.

Tentera China telah meningkatkan pengeluaran (produksi)  pesawat generasi kelimanya, J-20 “Mighty Dragon” sebaik sahaja selepas pesawat halimunan (stealth) itu dilengkapkan dengan enjin keluaran tempatan “WS-10C”.

Sebelum ini, usaha untuk meningkatkan pengeluaran pesawat termoden China berhadapan dengan masalah kerana ia terpaksa mendapatkan enjin daripada luar negara untuk dipasang dengan pesawat J-20 itu.

Pesawat J-20 “Mighty Dragon” itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industrial Group Co Ltd dibawah Aviation Industry Corporation of China. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

AmerikaF-22 RaptorF-35featuredFilipina
Comments (0)
Add Comment