(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menjelang Oktober 2026, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mula menerima kumpulan pertama empat buah daripada kesemua 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M (FA-50 Block 20) yang dibangunkan oleh gergasi aeroangkasa Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI).
Pesawat FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu adalah varian terkini dan paling berkemampuan berbanding varian-varian pesawat itu yang dimiliki oleh Thailand, Indonesia, Filipina dan malah Korea Selatan itu sendiri.
Hanya varian FA-50PL Poland yang hampir sama dengan varian FA-50M.
Sebagaimana diberitahu kepada Defence Security Asia, pesawat-pesawat FA-50M milik Malaysia itu akan dilengkapi dengan pod sasaran “Sniper’ Advanced Targeting Pod (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Pod sasaran Sniper ATP seberat kira-kira 200kg itu memberikan penggunanya kemampuan yang telah dinaiktaraf untuk mengesan dan mengenalpasti sasaran serta pengawasan berterusan untuk semua misi dilaksanakan termasuk bantuan rapat untuk pasukan-pasukan darat.
Sistem Sniper ATP merupakan pod sasaran yang telah terbukti kemampuannya di medan-medan peperangan yang disertai oleh Amerika Syarikat serta pelanggan luar termasuk pesawat-pesawat F-15E, F-16 (kesemua Blok), B-1, A-10C, Harrier GR7/9 dan F/A-18.
Syarikat Lockheed Martin juga dikatakan sedang dalam peringkat akhir untuk mengintegrasikan pod sasaran Sniper ATP pada pesawat pengebom B-52 Tentera Udara Amerika Syarikat.
Kemampuan Sniper ATP untuk “plug and play” membolehkan ia digunakan oleh pelbagai platform tanpa perlu menukar software.
Antara kemampuan pod sasaran Sniper ATP termasuklah mid-wave Forward Looking Infrared (FLIR) definisi tinggi, HDTV, dual-mode laser, laser spot tracker, laser marker, video data link, digital data recorder.
Pod sasaran keluaran syarikat Lockheed Martin itu juga memiliki kemampuan untuk menjejak sasaran taktikal menerusi imagery real-time yang disalurkan kepada paparan di kokpit.
Sniper ATP juga adalah sesuai untuk digandingkan dengan bom-bom “J-Series” yang terkini untuk digunakan terhadap sasaran bergerak dan sasaran kekal.
Penggunaan Sniper ATP oleh pesawat-pesawat FA-50M TUDM bermula pada akhir 2026 juga adalah baik untuk atas dasar Commonality dengan pesawat-pesawat F/A-18D Hornet milik negara yang juga akan dilengkapkan dengan pod sasaran Sniper ATP itu.
Penggunaan Sniper ATP oleh pesawat-pesawat F/A-18D Hornet TUDM itu adalah sebahagian daripada Mid-Life Upgrade (MLU).
Pada Mei lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengumumkan kemungkinan penjualan 10 unit Sniper Advanced Targeting Pod (ATP) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bernilai US$80 juta (RM379 juta).
Diumumkan pada 7 Mei lalu bahawa kelulusan telah diberikan terhadap penjualan 10 unit Sniper ATP berikutan permintaan daripada kerajaan Malaysia berkemungkinan untuk kegunaan pesawat-pesawat pejuang F/A-18D milik TUDM.
Cadangan penjualan itu meliputi data-data teknikal dan publikasi, latihan anggota, peralatan latihan dan perisian, elemen-elemen lojistik dan program bantuan.
“Cadangan penjualan (Sniper ATP) itu akan meningkatkan kemampuan Malaysia dalam menangani ancaman pada masa ini dan masa depan dengan memodenkan pesawat F/A-18D dengan pod sasaran yang sama.”
“Cadangan penjualan juga akan menangani kebimbangan keusangan pada masa depan dan memberikan TUDM memenuhi keperluan operasi pada masa depan. Malaysia tidak akan menghadapi kesukaran menggunapakai peralatan ini dalam angkatan tenteranya,” menurut kenyataan oleh Defense Security Cooperation Agency (DSCA).
Kontraktor utama adalah syarikat Lockheed Martin yang membangunkan Sniper ATP itu.
Pada ketika ini, TUDM mengoperasikan lapan buah pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang dibangunkan oleh syarikat Boeing.
Selain dilaporkan akan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” keluaran firma pertahanan Raytheon Intelligence & Space, pesawat FA-50 Block 20 Malaysia itu juga dipasang dengan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.
Sebanyak 18 buah pesawat FA-50M yang diperolehi Malaysia pada harga lebih RM4 bilion juga dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2” (military tactical data link) yang selamat, secure, bebas daripada usaha pemintasan pihak musuh dan lain-lain lagi.
Selain itu varian pesawat itu juga akan dilengkapi dengan meriam 20mm gun, peluru berpandu AIM-9, GBU-12 LGB Integration, GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick.