Faktor Enjin Main Peranan Penting Dalam Pertimbangan Pesawat FLIT/LCA TUDM?

Tender untuk 18 buah pesawat FLIT/LCA bagi TUDM itu yang dianggar bakal menelan belanja RM4 bilion dan dijangka dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang telah pun mengumumkan bahawa sebanyak lapan buah syarikat antarabangsa menyertai tender 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dianggarkan bernilai sehingga RM4 billion.

Antara syarikat-syarikat yang menunjukkan minat terhadap tender bernilai berbilion ringgit itu adalah Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada untuk pesawat JF-17 “Thunder”, Hongdu Aviation Industry Group (HAIG) untuk pesawat Hongdu L-15B dan Leonardo untuk pesawat Aermacchi M-346.

Syarikat-syarikat lain termasuk Irkut Corporation untuk pesawat Yak-130 dan Boeing untuk pesawat T-7 Red Hawk, Korea Aerospace Industries (KAI) pesawat FA-50 serta Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang menawarkan pesawat Tejas.

Terdapat juga laporan mengatakan syarikat pembuat pesawat daripada Republik Czech iaitu Aero Vodochody Aerospace menawarkan pesawat L-39 Albatros untuk tender TUDM.

Bagaimanapun menurut penganalisis pertahanan, persaingan tender TUDM itu sebenarnya mungkin diantara pesawat FA-50 daripada KAI dengan pesawat keluaran “Tejas” keluaran HAL disebabkan “beberapa faktor” yang mungkin menyebabkan TUDM cenderung kepada kedua-dua syarikat pembuatan pesawat ini.

Enjin jet General Electric F404 yang digunakan oleh pesawat Tejas dan FA-50.

Apakah faktor-faktor itu?

Faktor-faktor itu adalah melibatkan penggunaan enjin, dimana kedua-dua pesawat FA-50 dan Tejas menggunakan enjin General Electric F404 yang dikeluarkan oleh syarikat GE Aviation, sebagaimana yang digunakan oleh pesawat-pesawat F/A-18D Hornet yang digunakan oleh TUDM.

Daripada segi itu, faktor commonality daripada segi penyelenggaran dan bekalan alat ganti mungkin memberikan kelebihan kepada kedua-dua pesawat itu dalam persaingan FLIT/LCA TUDM itu.

Ogos lepas, HAL menandatangani perjanjian bernilai US$716 juta dengan GE Aviation untuk bekalan 99 buah enjin General Electric F404 untuk digunakan oleh pesawat-pesawat LCA “Tejas” keluarannya.

Dengan harga Tejas yang kompetitif serta “kemampuan” India dan HAL untuk menerima bayaran pembelian pesawat di dalam bentuk minyak kelapa sawit atau komoditi lain, menjadikan ia “frontrunner” dalam pesaingan FLIT/LCA TUDM itu.

India adalah diantara negara pengimport minyak kelapa sawit terbesar Malaysia.

Bagaimanapun, satu faktor yang mungkin merencatkan persaingan pesawat Tejas membabitkan penggunaan alatan keluaran syarikat-syarikat pertahanan Israel di dalam pesawat itu.

Pesawat Tejas menggunakan “ELM-2052” active electronically scanned array (AESA) radar, yang dibangunkan oleh anak syarikat Israel Aerospace Industries (IAI) iaitu, Elta.

Selain itu, pesawat keluaran HAL itu juga menggunakan sistem peperangan elektronik (elektronik warfare) yang dibangunkan oleh Elta.

Pesawat Tejas buatan syarikat India, Hindustan Aeronautics Limited (HAL).

 

Malaysia dan TUDM sudah semestinya tidak akan menerima sebarang penggunaan alatan pertahanan syarikat Israel, disebabkan dasar kita yang tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel itu.

Bagaimanapun, alatan-alatan syarikat Israel yang melengkapi pesawat Tejas itu boleh digantikan dengan alatan keluaran syarikat lain seperti daripada Eropah dan lain, sebagaimana yang kita lihat dalam pesawat Sukhoi Su-30MKM.

Faktor penggunaan alatan Israel pada pesawat Tejas keluaran HAL itu mungkin memberikan kelebihan kepada pesawat FA-50, yang turut menggunakan enjin General Electric F404.

Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) tidak mempunyai masalah untuk memenuhi syarat ditetapkan oleh kerjaan Malaysia yang menghendaki pembayaran untuk pembelian 18 buah pesawat Fighter Lead-In Aircraft/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) dilakukan menggunakan kelapa sawit atau produk-produknya yang lain.

“Korea Aerospace Industries (KAI) tidak ada masalah untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan itu,” kata Ketua Pegawai Kewangan Kemalak Systems Sdn Bhd Mejar (B) Iswandi Mohd Sharif kepada Defence Security Asia.

Kemalak Systems merupakan rakan tempatan bagi Korea Aerospace Industries.

Syarikat aeroangkasa dan pertahanan Korea Selatan itu mengetengahkan pesawat FA-50 Block 20 dalam persaingan tender Kementerian Pertahanan untuk pesawat-pesawat FLIT/LCA itu.

Satu lagi plus factor pesawat FA-50 adalah ia turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Filipina dan Indonesia. (tetapi juga boleh menjadi negative factor kerana dikatakan TUDM tidak berminat dengan pesawat-pesawat yang turut digunakan oleh negara jiran)

Apa yang mungkin menjadi penghalang pesawat FA-50 keluaran syarikat KAI dalam persaingan FLIT/LCA adalah harganya yang dikatakan agak mahal. 

Mengenai satu lagi pesawat yang dikatakan pesaing iaitu JF-17 keluaran PAC/CAC daripada Pakistan dan China, pesawat itu menggunakan enjin keluaran syarikat Klimov yang turut digunakan oleh pesawat MiG-29N TUDM.

Pesawat JF-17 buatan Pakistan/China.

 

Mungkin faktor penyelenggaran enjin bakal merencatkan persaingan pesawat keluaran syarikat China dan Pakistan itu. (tidak mahu pisang berbuah dua kali).

Selain itu, kesan daripada insiden pencerobohan 16 buah pesawat China terhadap Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei lepas, Malaysia dan TUDM mungkin “hilang selera” untuk mendapatkan peralatan pertahanan daripada China.

Cukupkah dengan empat buah kapal LMS, yang juga dilaporkan “berhadapan dengan masalah” sebagaimana yang dilaporkan oleh majalah pertahanan antarabangsa,Janes pada 22 Oktober tahun lepas.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

FA-50FLIT-LCATejasTUDM
Comments (0)
Add Comment