Enam Bot Nelayan China Ditahan APMM

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan enam buah bot nelayan China di perairan Johor Timur semalam.

Penahanan keenam-enam buah bot nelayan China itu dilakukan oleh Zon Maritim Tanjung Sedili.

Menurut Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan, pihaknya menerima maklumat tentang pencerobohan bot-bot nelayan China itu daripada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).

“Kapal peronda APMM kemudiannya telah mengesan bot-bot nelayan itu dan mendapati kesemua bot itu berada pada kedudukan 2.1 dan 2.3 batu nautika selatan Tanjung Setapa.”

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesemua bot nelayan China itu berdaftar di Qinhuangdoa dan dikendalikan oleh enam nakhoda serta 54 anak kapal berusia di antara 31 hingga 60 tahun, “ menurutnya.

Bot nelayan China. (gambar hiasan)

Kesemua bot nelayan China itu gagal menunjukkan kebenaran berlabuh di lokasi daripada Jabatan Laut, Jabatan Perikanan dan LPJ.

Kesemua bot tanpa muatan itu dipercayai berlabuh kerana mengalami kerosakan.

Mereka dalam katanya dalam perjalanan ke Mauritania.

Keenam-enam nakhoda bot nelayan China itu telah dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili dan mereka juga menjalani ujian COVID-19.

Anggota APMM sedang melakukan pemeriksaan terhadap bot nelayan asing. (gambar internet)

Kes penahanan enam bot nelayan China itu akan disiasat mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan perikanan Malaysia tanpa pemakluman dan Seksyen 491B (1) (L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana berlabuh tanpa kelulusan dan pemakluman Pengarah Laut.

Jika didapati bersalah, nakhoda boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta seorang manakala kru pula sebanyak RM600,000 seorang mengikut Akta Perikanan 1985.

“Bagi Seksyen 491B (1) (L) OPS 1952 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.”

Malaysia kehilangan di antara RM5 billion hingga RM6 billion setahun akibat pencerobohan bot-bot nelayan asing yang mencuri hasil perikanan negara.

Disebabkan kekurangan aset untuk memantau sempadan perairan negara, agensi-agensi penguatkuasaan negara tidak dapat mengekang pencerobohan bot-bot nelayan asing itu.

So kita berharap menjelang pembentangan Bajet 2021 pada 6 Nov depan, kerajaan dapatlah meningkatkan peruntukan untuk sektor pertahanan dan keselamatan negara.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

APMMChinaNelayanTangkapTanjung Setapa