(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka mula menerima sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) “ANKA” buatan Turkiye yang diperoleh pada Mei 2023, dalam tahun ini, kata Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.
Bercakap kepada Bernama selepas menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV di sini semalam, beliau menyifatkan ANKA MALE-UAS yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dan akan dikendalikan TUDM, sebagai “platform yang sangat canggih”.
“Saya rasa pemindahan ANKA (ke Malaysia) akan berlaku tahun ini. Tetapi, ia platform yang amat canggih, bukan sekadar satu objek terbang.
“Ia memerlukan sistem ketersambungan, kawalan dan pemerintahan serta latihan anggota. Memandangkan ia merupakan UAS yang sangat canggih, ia mengambil sedikit masa untuk menangani isu sampingan yang perlu diselesaikan,” katanya.
Kementerian Pertahanan dan TAI telah menandatangani kontrak pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023) untuk memperoleh tiga unit ANKA MALE-UAS berserta peralatan sokongan berkaitan.
Berkenaan kemungkinan Malaysia akan membuat pesanan tambahan untuk ANKA-UAS daripada TAI dalam masa terdekat untuk memenuhi keperluan angkatan tentera, duta itu tidak menolak kemungkinan berkenaan, namun menyerahkan keputusan kepada budi bicara negara Asia Tenggara itu.
