Didakwa Atas Sebab Politik Jerman Halang Penjualan Eurofighter Typhoon Pada Turkiye

Menurut laporan oleh akhbar Jerman, Handelsblatt, tindakan menarik balik penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye itu dikatakan berpunca daripada tindakan Ankara menahan Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu, penentang dan pencabar Presiden Recep Tayyep Erdogan.
Didakwa Atas Sebab Politik Jerman Halang Penjualan Eurofighter Typhoon Pada Turkiye
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Jerman dilaporkan telah menghalang penjualan kira-kira 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye di atas sebab-sebab politik, hanya beberapa bulan selepas bersetuju untuk menjualnya kepada Ankara.
Menurut laporan oleh akhbar Jerman, Handelsblatt, tindakan menarik balik penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye itu dikatakan berpunca daripada tindakan Ankara menahan Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu, penentang dan pencabar Presiden Recep Tayyep Erdogan.
İmamoğlu, calon presiden Turkiye daripada parti pembangkang, telah ditangkap pada 23 Mac atas tuduhan rasuah, yang menurut ramai pengkritik bermotifkan politik.
Penahanannya pada 19 Mac itu telah mencetuskan protes besar-besaran di seluruh Turkiye — yang terbesar sejak tahun 2013 — sekali gus meningkatkan ketegangan politik.
Tindakan menahan Imamoglu itu turut mengundang kecaman antarabangsa, apabila kerajaan Jerman menyifatkan penangkapan tersebut sebagai satu “serangan terhadap demokrasi Turkiye.”
Bagaimanapun terdapat juga dakwaan bahawa keputusan Jerman menghalang penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu disebabkan desakan daripada dua buah negara iaitu Israel dan Greek yang tidak mahu Ankara memiliki pesawat pejuang canggih itu.
Setakat ini, kerajaan Jerman belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan tentang laporan mendakwa ia menghalang penjualan pesawat pejuang buatan konsortium empat buah negara Eropah itu kepada Turkiye.
Typhoon
Eurofighter Typhoon
“Sebagai prinsip, kami tidak memberikan sebarang komen mengenai perbincangan dalaman kerajaan,” kata seorang jurucakap kerajaan Jerman kepada agensi berita, Agence France-Presse (AFP).
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon telah dibangunkan oleh empat buah negara, Jerman, Sepanyol,Itali dan United Kingdom.
Penjualan mana-mana pesawat pejuang Eurofighter Typhoon memerlukan kelulusan daripada keempat-empat buah negara yang membangunkan dan membinanya.
Tindakan kerajaan Jerman itu telah menggagalkan perancangan lebih besar Turkiye untuk memperoleh 40 pesawat pejuang Eurofighter Typhoon — merangkumi 20 unit Tranche 1 dari United Kingdom dan 20 lagi model Tranche 4 yang lebih canggih — sebagai sebahagian daripada usaha untuk memodenkan angkatan tentera udaranya.
Pada Mac lalu, Kementerian Pertahanan United Kingdom dilaporkan telah mengemukakan dokumen tawaran penjualan pesawat pejuang itu kepada Kementerian Pertahanan Kebangsaan Turkiye.
Kementerian Pertahanan Kebangsaan Turkiye dilaporkan sedang mengkaji dokumen tawaran penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dikemukakan oleh Kementerian Pertahanan United Kingdom itu, menurut laporan oleh media-media Turkiye yang memetik sumber.
Eurofighter Typhoon
“Kami sebelum ini mengumumkan bahawa satu dokumen rasmi telah disediakan berkaitan perolehan 40 pesawat Eurofighter Typhoon bagi memenuhi keperluan operasi tentera udara kami. Dokumen tersebut telah dihantar kepada Kementerian Pertahanan United Kingdom dan pengeluar (pesawat pejuang) berkaitan, dengan jangkaan menerima tawaran balas,” menurut sumber oleh media Turkiye itu..
“Tawaran yang dinantikan kini telah diterima oleh kementerian kami, dan proses penilaian sedang berlangsung.”
Pada Disember tahun lepas, dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Royal Air Force (RAF) telah mendarat di Pangkalan Udara Murted, Ankara, ibu negara Türkiye, untuk pemeriksaan oleh pegawai Turkiye.
Kehadiran kedua-dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu di Ankara menandakan kemajuan di dalam usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat itu yang berhadapan dengan “masalah” penentangan daripada kerajaan Jerman terhadap perolehan itu sebelum ini.
Dan pada Sept tahun lepas,  Ketua Staf Am Angkatan Tentera Turkiye Jeneral Metin Gurak telah melawat United Kingdom dan dalam lawatan itu beliau turut mengunjungi Pangkalan Udara Royal Air Force RAF) Coningsby yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
Pada akhir 2024, usaha Türkiye untuk memperoleh pesawat pejuang Eurofighter Typhoon memperolehi  momentum yang signifikan selepas Jerman memberi kebenaran kepada konsortium syarikat pembuat pesawat itu untuk menjualnya kepada Turkiye.
Eurofighter Typhoon.
Sejak beberapa tahun lepas, Turkiye telah menyatakan minatnya untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu untuk meningkatkan lagi kemampuan tentera udaranya selepas ia dikeluarkan daripada program F-35, tetapi hasratnya itu telah dihalang oleh Jerman.
Ankara dikeluarkan daripada program perolehan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 selepas ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 “Triumf” buatan Russia.
Turkiye sepatutnya memperolehi sejumlah 100 buah pesawat pejuang F-35 sebelum Ankara “ditendang keluar” daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 itu akibat membeli sistem pertahanan udara S-400 Triumf.
Jerman dikatakan enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza.
Turkiye mahu memperolehi varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon iaitu “Tranche 4.”
Eurofighter Typhoon
Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 
Jerman dikatakan telah memesan 38  buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4. 
Turkiye mahu memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon untuk melengkapkan lagi Tentera Udaranya yang kini terus bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang F-16 yang telah berusia.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Eurofighter TyphoonJermanTranche 4Turkiye
Comments (0)
Add Comment