China Jadikan Pulau Buatan Manusia Di Laut China Selatan Sebagai “Kubu Tentera”

Komander Tentera Amerika Syarikat di Indo-Pasifik Admiral John C Aquilino tindakan “bermusuhan” Beijing itu adalah bertentangan dengan jaminan oleh Presiden China Xi Jinping bahawa ia tidak akan menjadikan pulau-pulau buatan manusia di Laut China Selatan itu kepada kubu tentera.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak China telah menjadikan tiga daripada “pulau buatan manusia” yang didudukinya secara haram di Laut China Selatan sebagai kubu tentera dengan persenjataan-persenjataan seperti peluru berpandu anti-kapal, sistem pertahanan udara, laser serta sistem pemintasan elektronik (jamming).

Beijing juga meningkatkan penempatan pesawat-pesawat pejuang di pulau-pulau buatan manusia yang didudukinya di Laut China Selatan yang menjadi rebutan banyak pihak.

Menurut Komander Tentera Amerika Syarikat di Indo-Pasifik Admiral John C Aquilino tindakan “bermusuhan” Beijing itu adalah bertentangan dengan jaminan oleh Presiden China Xi Jinping bahawa ia tidak akan menjadikan pulau-pulau buatan manusia di Laut China Selatan itu kepada kubu tentera.

Mischief Reef

 

Tindakan Beijing itu itu dianggap sebagai usaha menunjuk-nunjuk kuasa ketenteraannya, kata jeneral tentera Amerika Syarikat itu.

“Selama 20 tahun, kita telah menyaksikan peningkatan kekuatan tentera China paling besar sejak Perang Dunia Kedua. Mereka telah meningkatkan kemampuan ketenteraan mereka sehingga menyebabkan ketidakstabilan di rantau,” katanya dalam satu temuramah dengan Associated Press.

Beliau mengadakan temuramah itu dalam sebuah pesawat peronda maritim P-8A Poseidon yang terbang berhampiran dengan pulau-pulau buatan manusia China itu.

Pesawat peronda maritim P8-A Poseidon

 

Semasa penerbangan itu, pesawat MPA itu sentiasa diberikan amaran oleh China yang mengatakan bahawa ia telah memasuki ruang udara China dan meminta mereka meninggalkannya.

“China memiliki kedaulatan di Kepulauan Spratly dan kawasan-kawasan maritim sekitarnya. Jauhi daripadanya untuk mengelakkan sebarang kesilapan (misjudgement),” menurut amaran oleh pihak China itu.

Pesawat P8-A Poseidon itu tidak mengendahkan amaran oleh China dan meneruskan penerbangannya.

“Kami adalah pesawat berdaulat Amerika Syarikat yang melakukan aktiviti tentera di luar daripada mana-mana ruang udara mana-mana negara,” kata juruterbang pesawat peronda maritim Amerika Syarikat itu.

Deretan pesawat pejuang China di Woody Island.

 

Joel Martinez yang mengetuai krew pesawat P8-A Poseidon itu berkata, terdapat beberapa kejadian di mana pesawat pejuang China terbang sangat hampir dan berbahaya dengan pesawat peronda maritim Amerika itu.

Pegawai Amerika itu memberitahu China supaya mematuhi peraturan penerbangan antarabangsa.

Menurut Aquilino, peningkatan keupayaan ketenteraan China di Mischief Reef, Subi Reef dan Fiery Cross nampaknya telah selesai tetapi terdapat kemungkinan bahawa kerja-kerja pembinaan itu akan diperluaskan ke kawasan sekitar yang lain.

Pesawat Shenyang J-11 China ketika melakukan latihan di Laut China Selatan.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

“Fungsi pulau-pulau buatan manusia China adalah untuk memperluaskan kemampuan offensive negara itu di luar daripada pantai-pantainya. Mereka boleh menerbangkan pesawat pejuang, pesawat pengebom dan segala kemampuan sistem peluru berpandu mereka.

“Segala pesawat tentera atau awam yang terbang di ruang udaranya atau berhampiran berada di dalam jarak sasaran effektif sistem peluru berpandu milik China di pulau-pulau buatan manusia itu,” kata jeneral tentera Amerika Syarikat itu. — DSA

ChinafeaturedKubuLaut China SelatanTentera