China Intai Pasaran Pesawat Pejuang Gen-5 Timur Tengah Menerusi F-31 “Gyrfalcon”

Walaupun kaya-raya dan dilimpahi dengan petro dollar, namun negara-negara Timur Tengah terutamanya negara Teluk seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar masih gagal dilengkapi dengan pesawat-pesawat pejuang generasi kelima seperti F-35.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilaporkan sedang mengintai pasaran pesawat pejuang generasi kelima di rantau Timur Tengah, berikutan keengganan Amerika Syarikat menjual pesawat pejuang generasi kelimanya, F-35 kepada beberapa negara di rantau itu.

Beijing sebagaimana dilaporkan oleh media pertahanan antarabangsa menawarkan pesawat pejuang generasi kelimanya, F-31 (J-31) “Gyrfalcon” kepada mana-mana negara di rantau itu yang berminat untuk memperolehinya.

Sebelum ini Pakistan turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan pesawat pejuang F-31 yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation.

Bercakap dalam majlis induksi peralatan baru di Islamabad baru-baru ini, Marshal Udara Zaheer Ahmed Baber Sidhu berkata bahawa pesawat J-31 buatan itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara “tidak lama lagi.”

Pada pameran World Defense Show 2024, China yang membawa delegasi yang besar pada pameran pertahanan itu turut membawa replika pesawat pejuang generasi kelima, F-31 itu untuk ditunjukkan kepada pengunjung.

Pesawat F-31 “Gyrfalcon” atau J-31 yang dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corp.

 

Walaupun kaya-raya dan dilimpahi dengan petro dollar, namun negara-negara Timur Tengah terutamanya negara Teluk seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar masih gagal dilengkapi dengan pesawat-pesawat pejuang generasi kelima seperti F-35.

Bukannya negara Arab Teluk tidak mahu memiliki pesawat pejuang generasi kelima, tetapi satu demi satu percubaan mereka untuk memperolehi pesawat pejuang F-35 menemui jalan buntu, walaupun ketiga-tiga negara Arab Teluk itu adalah negara “kawan rapat” Washington di rantau terbabit.

Arab Saudi,UAE dan Qatar merupakan negara-negara Teluk yang menggunakan pesawat-pesawat pejuang yang canggih di pasaran buatan Amerika Syarikat dan negara Eropah tetapi usaha mereka untuk  memiliki F-35 masih gagal sehingga kini.

Sehingga kini, ratusan buah pesawat pejuang F-35 telah dijual oleh Amerika Syarikat kepada negara-negara sekutunya di seluruh dunia, tetapi tiada sebuah pun pesawat canggih itu dijual di negara-negara Arab Teluk yang kaya-raya itu setakat ini. Mengapa?

Bagi Amerika Syarikat, ia bersedia menjual F-35 kepada negara-negara itu tetapi persetujuan penjualan itu turut disertai dengan pelbagai syarat yang amat ketat, sehingga menjadikan sebarang penjualan pesawat generasi kelima keluaran syarikat Lockheed Martin itu mustahil.

Antara syarat paling utama adalah sebarang penjualan apa-apa senjata canggih buatan Amerika Syarikat seperti pesawat pejuang F-35 itu tidak menjejaskan kelebihan tentera Israel atau “Qualitative Military Edge” (QME).

Pesawat pejuang F-35

 

Pada tahun 2021, UAE bersetuju untuk membeli 50 buah pesawat pejuang F-35 dan 18 buah dron MQ-9 Reaper daripada Amerika Syarikat yang pada ketika ditadbir oleh Donald Trump dalam perjanjian yang dianggarkan bernilai US$23 bilion (RM103.5 bilion).

Bagaimanapun, perjanjian itu hanya menerima “lampu hijau” daripada Washington selepas UAE mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel di bawah inisiatif Abraham Accords.

Bagaimanapun, perjanjian itu “tergantung” dan akhirnya gagal diteruskan selepas UAE enggan mengikut telunjuk Amerika Syarikat yang mahukan negara kaya Arab Teluk itu membatalkan kerjasamanya dengan gergasi teknologi 5G China, Huawei.

Pesawat F-31 yang membuat kemunculannya pada Zhuhai Air Show beberapa tahun lepas adalah pesawat generasi kelima yang kedua oleh China selepas J-20 “Mighty Dragon” yang kini beroperasi dengan Tentera Udara China.

Beijing tidak membenarkan pesawat J-20 Mighty Dragon dieksport, sama seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap pesawat F-22 Raptor.

J-31 adalah pesawat pejuang generasi kelima satu tempat duduk, dua enjin, pesawat pejuang bersaiz-sederhana (medium-sized fighter jet) dengan kemampuan halimunan yang ampuh serta kos yang kompetitif.

Laporan media menyatakan bahawa pesawat pejuang J-31 bakal berkhidmat dengan kapal-kapal pengangkut peswat negara itu dan usaha-usaha sedang dilakukan ke arah itu.

Menurut laporan, tentera China sedang menpersiap-sediakan pesawat J-31 itu untuk operasi di kapal-kapal pengangkut pesawatnya, sama seperti F-35B dan terkini F-35C yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Walaupun spesifikasi teknikalnya masih tidak diketahui dengan mendalam, namun Maximum Take-Off Weight (MTOW) telah meningkat kepada 28,000kg daripada 25,000kg dan dilengkapi dengan enjin WS-19 dengan kuasa tujahan 12 tan.

Dengan dua buah internal bays yang masing-masing mampu membawa dua buah peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana.

Selain itu, pesawat pejuang itu juga memiliki hardpoints yang boleh dilengkapi dengan pelbagai jenis bom dan peluru berpandu. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

ChinaF-31featuredGyrfalconTimur Tengah