China HIPOKRIT, Bantah Operasi Kapal Penyelidik Amerika Di Laut China Selatan

Apabila Amerika Syarikat mengerah sebuah kapal penyelidik oceanografi miliknya mengadakan kajian di Laut China Selatan berhampiran China baru-baru ini, pakar-pakar serta Kementerian Luar China “melompat” untuk menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan Washington itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa minggu kebelakangan, China telah menghantar dua buah kapal penyelidiknya yang bertindak menceroboh kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia dan Indonesia.

Kedua-dua kapal penyelidik China itu, “Da Yang Hao” beroperasi di kawasan perairan ZEE Malaysia berhampiran Labuan manakala “Hai Yang Dizhi 10” pula dikesan beroperasi di Blok Tuna di Laut Natuna milik Indonesia.

Kapal penyelidik “Da Yang Hao” itu mula dikesan berada dalam perairan ZEE Malaysia pada 24 Sept, manakala “Hai Yang Di Zhi 10” pula sudah berada Laut Natuna lebih awal daripada itu.

Kehadiran kedua-dua kapal penyelidik China di perairan ZEE Malaysia dan Indonesia itu turut diiringi kapal-kapal pengawal pantai negara, bertujuan memberikan kawalan keselamatan terhadap apa yang didakwa oleh Beijing sebagai “misi saintifik”.

China bebas menghantar kapal-kapal penyelidiknya ke perairan negara-negara lain tanpa menghiraukan kemarahan negara terbabit, malah Beijing “buat pekak” apabila Kementerian Luar Malaysia mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan kapal penyelidik China itu.

Kapal penyelidik, Da Yang Hao yang dilaporkan menceroboh perairan Malaysia.

 

Ditanya tentang bantahan Malaysia itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri China dengan bongkak mengatakan bahawa kapal penyelidik China itu “beroperasi di dalam kawasan perairannya sendiri (milik China).”

Bagaimanapun apabila Amerika Syarikat mengerah sebuah kapal penyelidik oceanografi miliknya untuk mengadakan kajian di Laut China Selatan berhampiran China baru-baru ini, pakar-pakar serta Kementerian Luar China “melompat kemarahan” sambil menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan Washington itu.

HIPOKRIT

Pakar-pakar China mendakwa tujuan utama kehadiran kapal penyelidik Amerika Syarikat, “USNS Mary Sears (T-AGS 65) adalah untuk mengumpul data-data geografi dan hidrologi bertujuan menyokong operasi kapal selam menentang China.

Kapal penyelidik USNS Mary Sears itu merupakan kapal penyelidikan oceanografi kelas-Pathfinder telah dikesan memasuki perairan Laut China Selatan pada 26 September lalu, sebagaimana didakwa oleh badan pemikir kerajaan China, “South China Sea Strategic Situation Probing Initiative” (SCSPI).

Kapal survey milik kerajaan China, Hai Yang Di Zhi 10.

 

Kapal penyelidik Amerika Syarikat itu dikesan beroperasi di kawasan perairan berhampiran Pulau Hainan dan Kepulauan Spratly.

Badan pemikir China itu mendakwa tugas utama kapal penyelidik Amerika itu adalah untuk mengesan dan melakukan pemetaan mukabumi dasar laut,meteorology dan hydrology.

Seorang pakar ketenteraan China memberitahu akhbar nasionalis negara itu “Global Times” bahawa tugas utama kapal USNS Mary Sears itu adalah untuk menyokong operasi kapal selam dan anti-kapal selam selain menyediakan peta dasar laut kepada kapal-kapal selam negara sekutu Amerika Syarikat.

Kapal penyelidik Amerika Syarikat itu kata pakar China juga berkemampuan meletakkan alat untuk mengesan kapal-kapal selam musuh.

Ia mendakwa Tentera Laut Amerika Syarikat memerlukan maklumat yang tepat dan terkini berkenaan keadaan dasar laut di Laut China Selatan bagi membolehkan kapal-kapal selam negara itu “berlegar” di dasar laut itu tanpa perlu menggunakan sonar, sekaligus menjadikan ia lebih sukar untuk dikesan oleh pihak musuh.

Kapal selam Type 093 kelas-Shang Tentera Laut China.

 

Ternyata, kehadiran kapal penyelidik Amerika Syarikat itu, USNS Mary Sears di Laut China Selatan itu membangkit kerisauan dan kemarahan China tetapi pada masa yang sama, Beijing tanpa sekelumit rasa bersalah dan tanpa menghiraukan kemarahan negara-negara serantau telah menghantar kapal-kapal penyelidiknya ke kawasan perairan milik negara-negara jirannya.

China tidak pula memikirkan perasaan marah negara-negara lain yang sudah semestinya membantah kehadiran kapal-kapal penyelidiknya di perairan mereka, sebagaimana Beijing tidak suka dan marah dengan kehadiran USNS Mary Sears di Laut China Selatan. 

HIPOKRIT

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

ChinaMalaysiaUSNS Mary Sears
Comments (0)
Add Comment