China Peroleh Helikopter Ka-52K “Katran” Untuk Tentera Lautnya

Kapal-kapal LHD China yang dilengkapi dengan helikopter penyerang itu juga berkemungkinan memainkan peranan penting dalam mendaratkan anggota tentera Marin China dan peralatan mereka dalam operasi untuk menawan terumbu-terumbu karang yang didakwa milik mereka di Laut China Selatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilaporkan bakal memperoleh sekurang-kurangnya 36 buah helikopter penyerang Ka-52K “Katran” daripada Russia untuk ditempatkan di kapal-kapal Landing Helicopter Dock (LHD) seperti Type 075D yang baru sahaja dilancarkannya pada Januari lepas untuk tujuan operasi di Laut China Selatan.

Apa yang pasti, perolehan itu menandakan hubungan ketenteraan yang lebih erat di antara China dan Russia serta “amaran” kepada mana-mana pihak yang sedia mencabar “hak dan kedaulatannya” terhadap sebahagian besar daripada Laut China Selatan itu.

Tentera China merancang untuk membina lebih banyak kapal LHD atau juga dikenali sebagai “Amphibious Assault Ship” dan menjadikannya “mini aircraft carrier” bagi digunakan ketika operasi pendaratan di pantai (beach landing).

Media-media China melaporkan kapal-kapal LHD ini akan digunakan secara meluas di Laut China Selatan, bertujuan menyokong operasi tentera marin negara itu dalam berhadapan dengan kemungkinan operasi pendaratan di pantai terutamanya membabitkan penawanan pulau Taiwan.

Kapal-kapal LHD yang dilengkapi dengan helikopter penyerang itu juga berkemungkinan memainkan peranan penting dalam mendaratkan anggota tentera Marin China dan peralatan mereka dalam operasi untuk menawan terumbu-terumbu karang yang didakwa mereka di garisan Nine Dash Line di Laut China Selatan.

“Tentera China telah mengkaji untuk memperolehi helikopter Ka-52K agak lama kerana kapal LHD Type 075D itu memerlukan helikopter penyerang,” kata penganalisis pertahanan China, Zhou Chenming di Beijing.

Agensi berita Russia, Avia.Pro melaporkan bahawa China amat berminat dengan helikopter Ka-52K yang merupakan versi tentera laut bagi helikopter Ka-52 Alligator.

China juga telah menghantar pegawai-pegawai tenteranya untuk meninjau kemudahan pembinaan helikopter itu di Primorye Rai di timur jauh Russia.

Helikopter penyerang Ka-52K itu dibangunkan oleh firma pembuat helikopter, Kamov Design Bureau.

Ia adalah satu-satunya helikopter penyerang yang mempunyai ejection seat.

Pada ketika ini, China turut membina helikopter-helikopter penyerang versi tentera laut seperti Z-8, Z-9 dan Z-20 tetapi ia mengambil masa sebelum ia boleh beroperasi di kapal-kapal laut.

Ujian-ujian juga sedang dilaksanakan oleh tentera China untuk memastikan helikopter penyerangnya seperti Z-20 (versi naval) dapat beroperasi dengan baik di atas kapal-kapal tentera laut termasuk Amphibious Assault Ship bagi memenuhi aspek “power projection” negara itu di Laut China Selatan dan perairan berkepentingan yang lain.

Sementara helikopter-helikopter terbabit mencapai tahap operasi yang memuaskan hati pihak tentera China, ia membeli terlebih dahulu helikopter buatan Russia sebagai stop-gap measure.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

ChinafeaturedHelikopterK-52KKamov
Comments (0)
Add Comment