China Berang Tindakan USS Mustin “Provokasi” Kapal Pengangkutnya, Liaoning

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanannya Kolonel Wu Qian, tindakan USS Mustin itu bukan sahaja suatu provokasi tetapi juga amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan kemalangan dan salah faham.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China berang dengan tindakan sebuah kapal perang Amerika Syarikat, destroyer kelas-Arleigh Burke “USS Mustin (DDG-89)”  yang mengekori (shadow) terlalu rapat kapal pengangkut pesawatnya, “Liaoning” di Laut China Selatan baru-baru ini.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanannya Kolonel Wu Qian, tindakan USS Mustin itu bukan sahaja suatu provokasi tetapi juga amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan kemalangan dan salah faham.

Menurut beliau, pada ketika kejadian itu Liaoning dan enam kapal perang yang mengiringinya sedang mengadakan latihan di Laut China Selatan.

“Ketika kapal-kapal perang China mengadakan latihan, USS Mustin berkali-kali mengadakan pemantauan hampir dengan kapal-kapal terbabit sehingga menganggu latihan itu dan mengancam navigasi dan keselamatan kedua-dua pihak,” katanya.

Beberapa kali juga, kapal-kapal perang China itu memberi amaran kepada USS Mustin.

Kapal destroyer kelas-Arleigh Burke “USS Mustin.”

 

Berang dan tidak berpuashati dengan tindakan USS Mustin itu, Wu berkata, China telah melakukan bantahan keras terhadap Amerika Syarikat.

Bantahan keras Beijing terhadap insiden melibatkan USS Mustin itu mungkin merujuk kepada penyebaran gambar kontroversi yang menunjukkan dua pegawai kanan kapal perang itu sedang melihat Lioaning dengan cara yang amat bersahaja.

Gambar itu kontroversi kerana ia menunjukkan kapal perang Amerika Syarikat berada sangat hampir dengan Liaoning, yang sebagaimana ditunjukkan oleh gambar itu tidak diiringi oleh mana-mana kapal pengiringnya.

Para pemerhati berkata, tindakan Amerika Syarikat menyebarkan gambar itu adalah sebahagian daripada “Perang Kognitif” untuk menunjukkan bahawa daripada segi keupayaan tentera Beijing masih jauh di belakang Washington.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan China itu lagi, sejak Jo Biden menjadi Presiden Amerika Syarikat menggantikan Donald Trump, Beijing mengesan peningkatan 20 peratus dalam aktiviti kapal-kapal perang negara itu berdekatan dengan pantai-pantai China.

Beijing juga mengesan peningkatan 40 peratus penerbangan pesawat-pesawat pengintip Amerika Syarikat berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Wu meminta pihak tentera Amerika Syarikat mematuhi kod dan konvensyen antarabangsa bertujuan mengelak pertembungan di laut yang boleh menyebabkan kemalangan.

Kapal pengangkut pesawat China “Liaoning” dan kapal-kapal pengiringnya. (gambar fail)

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaKementerian Pertahanan ChinaLaut China SelatanLiaoningUSS MustinWu Xian
Comments (0)
Add Comment