China Bakal Diberikan Akses Kepada Pangkalan Laut Di Kemboja

Beliau bagaimanapun berkata, China bukan merupakan satu-satu negara yang akan diberikan akses kepada pangkalan tentera laut itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China akan membantu Kemboja memoden dan menaiktaraf pangkalan tentera laut negara itu di lokasi strategik Ream, sebagaimana yang diperkatakan oleh Menteri Pertahanan negara itu Tea Banh.

Beliau bagaimanapun berkata, China bukan merupakan satu-satu negara yang akan diberikan akses kepada pangkalan tentera laut itu yang berhadapan dengan Laut China Selatan dan Teluk Siam.

“Sumbangan China kepada pembangunan Pelabuhan Ream adalah untuk menaiktaraf sektor pertahanan Kemboja dalam bidang maritim atau memberikan Kemboja kawasan bersesuaian, bengkel untuk memperbaiki kapal.”

“Mereka (China) datang untuk membantu, Kemboja amat menghargainya dan bantuan ini adalah tanpa syarat,” kata Menteri Pertahanan Kemboja itu kepada media tempatan.

Pada Oktober tahun lepas, Phnom Penh mengesahkan bahawa ia telah merobohkan beberapa bangunan yang dibina oleh Amerika Syarikat di Pangkalan Tentera Laut Ream, kononnya di atas alasan untuk menaiktarafnya.

Kemboja bagaimanapun, menafikan bahawa China terlibat dalam usaha itu.

Amerika Syarikat turut mendapatkan penjelasan daripada Kemboja, tetapi kenyataan Menteri Pertahanan negara itu hari ini seolah-olah hanya mengesahkan peranan yang bakal dimainkan oleh China dalam pembangunan Pangkalan Tentera Laut di Ream itu.

Dengan keputusan Kemboja itu, tentera laut China bakal diberikan akses kepada Laut China Selatan yang akan membolehkan kapal-kapalnya berada lebih kerap di perairan yang strategik itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kemboja telah menjadi sekutu yang paling kuat China di dalam ASEAN dengan membawa pendirian dan dasar-dasar Beijing ke dalam regional grouping, sehingga “menganggu” dasar consensus ASEAN.

Dalam beberapa mesyuarat sebelum ini, pendirian Kemboja yang condong kepada Beijing terutamanya di dalam isu berkenaan Laut China Selatan telah mengagalkan usaha kumpulan itu mencapai keputusan atau kenyataan yang tegas.

DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaKembojaPangkalan Laut ReamTea Banh