CAATSA, Sekatan Ekonomi “Bunuh” Program Pembangunan Su-75 “Checkmate” Russia

Menurut penganalisis pertahanan, akibat daripada CAATSA Russia kini tidak lagi mampu untuk mengimport mesin-mesin berteknologi tinggi (precision machining) dan semikonduktor, menyebabkan negara itu tidak mampu membangunkan -- bukan sahaja pesawat sebenar itu tetapi membina pesawat prototaip Su-75 juga mendatangkan masalah besar kepada Moscow.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Undang-undang kontroversial Amerika Syarikat yang dinamakan – Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act [CAATSA] disifatkan sebagai “senjata” yang paling berkesan digunakan oleh Amerika Syarikat untuk “membunuh” industri pertahanan Russia — yang sebelum ini memberikan negara itu pendapatan berbilion-bilion dollar.

Ditambah pula dengan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadapnya akibat pencerobohan di Ukraine, industri pertahanan Russia kini tidak dapat dinafikan sedang berhadapan dengan “kematian yang perlahan”.

Antara “mangsa” utama kepada CAATSA dan sekatan ekonomi itu adalah program pembangunan pesawat pejuang Su-75 “Checkmate”, yang ditonjolkan oleh Russia sebagai pesawat pejuang generasi kelima ber-kos rendah untuk bersaing dengan F-35 yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.

Menurut penganalisis pertahanan, akibat daripada CAATSA Russia kini tidak lagi mampu untuk mengimport mesin-mesin berteknologi tinggi (precision machining) dan semikonduktor, menyebabkan negara itu tidak mampu membangunkan — bukan sahaja pesawat sebenar itu tetapi membina pesawat prototaip Su-75 juga mendatangkan masalah besar kepada Moscow.

“Setakat ini, Russia hanya menghasilkan mock-up pesawat Su-75.”

Ketiadaan komponen dan peralatan, mikrocip dan semikonduktor telah memaksa Moscow untuk beberapa kali mengubah perancangan pembangunan untuk pesawat Su-75 yang dijangka bakal menjadi antara produk terlaris bagi industri pertahanan Russia.

Pesawat generasi kelima ber-kos rendah itu sepatutnya melakukan penerbangan sulungnya pada tahun ini, tetapi disebabkan satu demi satu masalah dihadapinya – maka penerbangan sulung Su-75 hanya dijangka dapat dilakukan pada 2024, tetapi tarikh itu juga kini dipersoalkan.

Pihak Russia menjangkakan pesawat Su-75 “Checkmate” akan mula dihasilkan (serial production) pada 2025, tetapi agensi kerajaan Russia, Rostec menyatakan produksi pesawat tidak akan bermula sekurang-kurangnya sehingga 2027.

Su-75 “Checkmate” (kiri) dan Su-57 “Felon” (kanan)

 

Ancaman CAATSA dan pengaruh undang-undang Amerika Syarikat serta sekatan ekonomi adalah “senjata” yang berkesan dan telah menakutkan banyak pelanggan berpotensinya sehingga Emiriah Arab Bersatu (UAE) membatalkan cadangannya untuk membiayai pembangunan pesawat Su-75.

Dakwaan media menyatakan — sebagai “balasan” terhadap tindakan UAE membatalkan cadangan pembiayaan pesawat Su-75, Amerika Syarikat “memudahkan” usaha negara Arab Teluk itu memperolehi senjata-senjata canggih sistem pertahanan udara buatan Israel.

Sistem-sistem pertahanan udara buatan Israel itu bakal membantu melindungi UAE daripada ancaman serangan-serangan dron dan peluru berpandu yang mungkin dilakukan oleh Iran terhadap negara Teluk yang kaya-raya itu.

Dalam masa yang sama, Israel pula cuba memujuk Amerika Syarikat untuk membenarkan UAE membeli pesawat F-35.  

Dalam satu majlis taklimat ketika berlangsungnya Dubai Airshow, ketua “ROSTEC” sebuah agensi pertahanan Russia, Viktor Kladov berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi UAE seperti Tawazun Economic Council, Mubadala dan Edge Group.

Pesawat pejuang Gen-5 satu enjin terbaru Russia, “Checkmate”

 

 

Ditanya mengapa Russia memilih UAE, Kladov berkata negara Teluk itu menunjukkan minat yang mendalam terhadap perkembangan teknologi.

Apa yang nyatakan adalah CAATSA bukan sahaja akan “membunuh” pembangunan Su-75, tetapi undang-undang kontroversial Amerika Syarikat itu juga telah “melenyapkan” potensi pasaran eksport pesawat pejuang Su-35 dengan negara-negara seperti Indonesia, Mesir dan Algeria.

Ketiga-tiga negara itu telah membatalkan hasratnya untuk membeli pesawat pejuang itu pada saat-saat akhir.

Kebimbangan negara-negara terhadap sekatan ekonomi yang bakal dikenakan terhadap mereka oleh Amerika Syarikat jika melanggar  CAATSA nampaknya telah melenyapkan sebarang minat yang ada oleh negara luar terhadap pesawat Su-75.

CAATSA kini adalah senjata paling ampuh digunakan oleh Amerika Syarikat untuk “membunuh” industri pertahanan Russia secara perlahan — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

CAATSAfeaturedSekatan Ekonomi. RussiaSu-75
Comments (0)
Add Comment