Singapura Tarik Balik Penggantungan F-16 Miliknya, “Fighting Falcon” Boleh Terbang Semula

Republik itu menggantung operasi lebih daripada 60 buah pesawat pejuang F-16 miliknya pada awal bulan ini selepas salah sebuah daripada pesawat itu terhempas ketika mahu berlepas daripada Pangkalan Udara Tengah dalam insiden yang berlaku pada 8 Mei lalu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Singapura akan menamatkan penggantungan operasi pesawat-pesawat pejuang F-16 miliknya dan menerbangkan kembali pesawat itu yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.

Republik itu menggantung operasi lebih daripada 60 buah pesawat pejuang F-16 miliknya pada awal bulan ini selepas salah sebuah daripada pesawat itu terhempas ketika mahu berlepas daripada Pangkalan Udara Tengah dalam insiden yang berlaku pada 8 Mei lalu.

Singapura mula menggunakan pesawat pejuang F-16 pada 1998.

Menurut Kementerian Pertahanan Singapura, pesawat pejuang F-16 milik terhempas selepas alat dipanggil “pitch rate gyroscopes” pesawat itu memberikan maklumat yang salah kepada komputer kawalan penerbangan (flight control computer).

“Ini menyebabkan juruterbang gagal mengawal pesawat itu ketika mahu berlepas” menurut kenyataan oleh kementerian itu hari ini. Juruterbang itu berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan kerusi injal.  

Menurut kementerian lagi, setiap sebuah pesawat F-16 dilengkapi dengan empat buah gyroscopes dan kerosakkan keempat-empat buah alatan itu adalah sesuatu yang jarang-jarang berlaku.

Kerosakkan alatan gyroscope itu adalah kali pertama dihadapi oleh pesawat-pesawat F-16 Singapura.

Ia berkata kesemua alatan gyroscope yang digunakan oleh pesawat pejuang F-16 milik Singapura akan diperiksa dan diluluskan sebelum pesawat-pesawat pejuang milik republik itu diberikan kebenaran untuk terbang semula.

Syarikat Lockheed Martin juga akan melihat kepada punca spesifik yang menyebabkan kepada kerosakan dialami oleh alatan gyroscope.

Insiden yang berlaku pada 8 Mei itu adalah yang pertama dialami oleh pesawat pejuang F-16 Singapura sejak insiden pada 2004 apabila sebuah pesawat F-16 republik itu yang ditempatkan di Arizona, Amerika Syarikat terhempas ketika melakukan penerbangan malam dan mengorbankan seorang juruterbang berusia 25 tahun.

Tentera Udara Singapura memiliki 62 buah pesawat pejuang F-16C/D Block 52, dengan 14 daripada pesawat itu ditempatkan di Luke Air Force Base di Arizona, Amerika Syarikat manakala 48 buah pesawat ditempatkan di pangkalan udara di republik itu.

Penempatan sejumlah pesawat itu di Amerika Syarikat untuk tujuan latihan.

Amerika Syarikat menjual 62 buah pesawat F-16 kepada Singapura itu di antara 1998 hingga 2003.

Sebelum ini, Singapura telah menaiktaraf pesawat-pesawat pejuang F-16 bagi memastikan ia berkemampuan untuk terus berkhidmat dengan republik itu sehingga ke pertengahan tahun 2030, sebelum digantikan dengan 12 buah pesawat pejuang generasi kelima, F-35 juga dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Singapura memilih varian F-35A yang menggunakan landasan konvensional dan juga varian  F-35B (VSTOL – Vertical Short Take-Off Landing).

Kerja-kerja menaiktaraf pesawat F-16 Singapura dibawah program Mid-Life Upgrade (MLU) yang dianggarkan bernilai US$2.4 bilion (RM10.8 bilion) itu turut meliputi melengkapkan pesawat-pesawat pejuang milik Singapura dengan radar AESA AN/APG-83 SABR (Scalable Agile Beam Radar) yang dibangunkan oleh Northrop Grumann.

Selain daripada dilengkapkan dengan radar baru AESA, pesawat-pesawat F-16C/D Block 52 Singapura itu juga akan menerima kelengkapan baru terdiri daripada mission computers yang baru, Joint Helmet Mounted-Cueing System (JHMCS) yang membolehkan ia diintergrasikan dengan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X serta peluru berpandu  GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM).

Selain itu, pesawat F-16 dinaiktaraf Singapura itu juga akan mampu membawa dan melancarkan peluru berpandu GBU-49/50 Enhanced Paveway II Dual-Mode Guided Bombs dan CBU-105 Sensor-Fuzed weapon.

Pesawat-pesawat F-16 Tentera Udara Republik Singapura itu juga dikatakan menggunakan sistem Electronic Warfare Suite buatan Israel tetapi sehingga kini tiada pengesahan daripada mana-mana pihak di Singapura. 

Tentera Udara Singapura telah mengesahkan bahawa ia telah mengintegrasikan peluru berpandu udara-ke-udara Python-5  sebagai sebahagian daripada program MLU terhadap pesawat-pesawat pejuang Lockheed Martin F-16 C/D/D+ miliknya,

Peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat generasi kelima “Python-5” itu dibangunkan oleh syarikat pertahanan Israel, Rafael Advanced Defense System dan dikatakan adalah peluru berpandu udara-ke-udara paling berkemampuan digunakan oleh Tentera Udara Israel, boleh mencapai kelajuan sehingga Mach 4 dan jarak 20km.

Tentera Udara Israel juga dikatakan bercadang melengkapkan pesawat-pesawat pejuang F-35 “Adir” miliknya dengan peluru berpandu “Python-5.”

Python-5

 

Pembangunan varian awal peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” dikatakan telah bermula sekitar 1990-an dan peluru berpandu itu secara rasminya telah didedahkan kepada khalayak ramai ketika Paris Air Show pada 2003.

Selain Tentera Udara Singapura, peluru berpandu udara-ke-udara “Python-5” itu turut digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara India, Tentera Udara Georgia dan Tentera Udara Peru.

Program menaiktaraf pesawat F-16C/D/D+ Singapura itu dilakukan oleh Lockheed Martin serta ST Engineering Aerospace. — DSA

 

 

F-16featuredGantungSingapura
Comments (0)
Add Comment