(VIDEO) Amerika Kehilangan Dron MQ-9B “Reaper” Kelima, Ditembak Jatuh Houthi Guna “Saqr 358”

(VIDEO) Dron Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) MQ-9B Reaper milik Amerika tetapi boleh dilengkapi dengan peluru berpandu itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu “358” dipercayai dibekalkan oleh Iran di kawasan pesisiran pantai di Marib, Yemen.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat kehilangan sebuah lagi dron MQ-9B Reaper miliknya bernilai US$30 juta sebuah (RM135 juta) selepas  ia ditembak jatuh oleh anggota kumpulan bersenjata Houthi di kawasan pantai di Yemen.

Dron Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) milik Amerika tetapi boleh dilengkapi dengan peluru berpandu itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu “358” yang dipercayai dibekalkan oleh Iran.

Dalam insiden terbaru, dron MQ-9B Reaper milik tentera Amerika itu berjaya ditembak di kawasan pesisiran pantai di Marib, Yemen.

Video yang dikeluarkan oleh kumpulan bersenjata Houthi itu menunjukkan bangkai dron itu dilokasi di mana ia terhempas selepas ditembak jatuh.

Ia adalah dron MQ-9B Reaper kelima milik Amerika yang berjaya ditembak jatuh di Timur Tengah dan keempat ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata Houthi sejak konflik di antara Israel dan Palestin tercetus.

Dron MQ-9 Reaper yang pertama ditembak jatuh pada November tahun lepas, manakala yang kedua pula ditembak jatuh pada Februari lepas.

Dron keempat MQ-9B Reaper ditembak jatuh pada akhir April lalu di kawasan pantai Hodeidah di Yemen.

Jurucakap kumpulan Houthi Brig Jen Yahya Saree mengesahkan bahawa dron MQ-9B Reaper itu telah ditembak jatuh di kawasan Marib menggunakan peluru berpandu darat-ke-udara.

Beliau menyifatkan dron MQ-9B Reaper Amerika itu telah menjalankan “tugas-tugas permusuhan” di dalam Wilayah Marib.

Kumpulan bersenjata Houthi kemudiannya telah menyebarkan video yang didakwa menunjukkan peluru berpandu telah dilancarkan ke arah dron Ukraine, bersama-sama dengan video pada waktu malam yang menunjukkan peluru berpandu itu mengenai dron terbabit.

Video lain juga menunjukkan bangkai dron MQ-9B itu ditemui dalam keadan terbakar di sebuah kawasan terpencil di kawasan itu.

Setakat ini, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubungan dakwaan kumpulan Houthi bahawa ia telah berjaya menembak sebuah lagi dron MQ-9B.

Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper yang dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk tujuan memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial.

Dron canggih itu berkemampuan untuk terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan elektronik yang sensitive.

Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.

MQ-9B Reaper

 

Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.

Dron MQ-9 Reaper itu dijangka akan menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2035.

Kumpulan bersenjata Houthi itu dipercayai menggunakan peluru berpandu canggih “Saqr 358” yang memiliki kombinasi kemampuan sebagai sebuah dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat.

Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.

Dibangunkan oleh Iran, peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq dan kini oleh Hezbollah di selatan Lubnan.

Sejak 2020, kumpulan bersenjata Houthi telah mengeluarkan video menunjukkan penggunaan peluru berpandu “Saqr 358” sebagai peluru berpandu anti-pesawat dalam memusnahkan pesawat pejuang, helikopter dan dron-dron.

“Saqr-358”

 

Setakat ini tidak banyak yang diketahui tentang spesifikasi teknikalnya peluru berpandu dwi-mod itu, tetapi “Saqr 358” memiliki panjang hampir 3 meter manakala diameternya peluru berpandunya adalah 152mm.

Berat keseluruhannya adalah 50kg dan menggunakan enjin turbojet yang kecil serta berkemampuan terbang dalam jarak daripada 10km sehingga kepada 100km.

Peluru berpandu canggih Iran itu menggunakan peledak High Fragmentation seberat 10kg dan ia tidak memerlukan sistem pelancaran yang canggih, selain mudah dipindahkan daripada satu lokasi ke satu lokasi.

Peluru berpandu dwi mod itu juga dilihat telah menyertai beberapa perarakan oleh tentera Iran yang memaparkan “Saqr 358.” — DSA

 

 

DronfeaturedHouthiMQ-9B
Comments (0)
Add Comment