Boustead Di Jangka Alami Kerugian RM890 Juta Akibat Isu LCS

Kerugian itu disebabkan pertindihan Surat Anugerah (LOA), tuntutan berganda, penukaran mata wang, barangan yang tidak dihantar, dan dakwaan pembayaran palsu kepada syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) dijangka mengalami kerugian lebih RM890 juta akibat salah urus dan ketidakmampuan syarikat itu dalam mengendalikan projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut laporan di dalam Berita Harian Online hari ini, kerugian itu disebabkan pertindihan Surat Anugerah (LOA), tuntutan berganda, penukaran mata wang, barangan yang tidak dihantar, dan dakwaan pembayaran palsu kepada syarikat.

Berdasarkan Laporan Audit Forensik BHIC, daripada jumlah RM890 juta itu, RM537 juta kerugian disebabkan tuntutan berganda untuk perkhidmatan yang sama dengan tatanama berkaitan kos perkhidmatan dan sistem integrasi tempur.

Katanya, ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), Kapten Azhar Jumaat namun pihaknya mengambil maklum pandangan daripada mereka yang pakar diperlukan berhubung perkara itu.

“Sebanyak RM305 juta pula nilai membabitkan LOA bertindih yang dikeluarkan memihak kepada Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) pada tahun 2012 untuk pusat BIT yang menjadi sebahagian daripada LOA asal bernilai RM898 juta.

“Pada 9 April 2012, BNS mengeluarkan dua LOA berlainan berkaitan sistem pengurusan tempur (CMS) kepada Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dengan jumlah RM898 juta dan RM287 juta,” katanya.

Syarikat CAD dan CED dilantik oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membeli peralatan daripada pihak Original Equipment Manufaturer (OEM).

Berdasarkan laporan itu, RM23.36 juta kerugian akibat dakwaan bayaran palsu bagi perkhidmatan teknikal kepada tiga syarikat berkaitan second generation patrol vessel (SGPV) pada 2011 dan 2012.

Katanya, RM13.48 juta pula jangkaan kerugian disebabkan oleh perubahan mata wang daripada ringgit kepada Euro untuk LOA yang dikeluarkan memihak kepada CAD antaranya radar pengawasan utamapada 2013.

“RM6.78 juta adalah jangkaan kerugiaan kepada syarikat BPS disebabkan pesanan semula 23 barangan yang tidak dihantar oleh syarikat Alizes Marine.

“Sementara RM4.58 juta pula jangkaan kerugian berterusan kerana Arahan Perubahan Kerja (VO) tambahan pada 2017,” katanya.

Kontrak pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu telah ditandatangani pada 2014 dengan kesemua enam buah kapal itu perlu siap dan diserahkan kepada TLDM pada 2023.

Kapal LCS yang pertama sepatutnya diserahkan kepada TLDM pada 2019.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Bagaimanapun sehingga 31 Oktober tahun lepas, kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan.

Laporan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)  yang dibentang di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa pandangan TLDM selaku pengguna akhir (end user) dalam program pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Menurut laporan itu, ia adalah antara sebab berlakunya lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang dianugerahkan kepada BNS pada 2021.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Laporan itu menyebut bahawa pada asalnya, reka bentuk kapal jenis Sigma pilihan TLDM dipersetujui pada Mei 2011 oleh menteri pertahanan tetapi dua bulan kemudian keputusan itu berubah kepada reka bentuk kapal jenis Gowind.

PAC juga mendapati terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan yang mana pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

“Ini adalah luar biasa dan menyebabkan bayaran kemajuan LCS 1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, laporan PAC turut mendedahkan rekaan akhir belum dimuktamadkan oleh kerajaan dan BNS.

“Hal ini menyebabkan arahan perubahan kerja (VO) dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi berlaku. Malah, pembayaran diterima tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya menyebabkan BNS menghadapi ‘cost overrun’ sebanyak RM1.4005 bilion.” — DSA

 

Jom follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.

 

 

BousteadfeaturedLCSRugi
Comments (0)
Add Comment