Boeing Tawar Pakej Lebih Menarik Pada Indonesia Sekiranya Setuju Peroleh F-15EX

Tawaran lebih menarik oleh gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat itu adalah susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertahanan Indonesia dan Boeing pada 21 Ogos 2023 berhubung rancangan pembelian 24 unit pesawat F-15EX oleh Jakarta.
Boeing Tawar Pakej Lebih Menarik Pada Indonesia Sekiranya Setuju Peroleh F-15EX
(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Syarikat Boeing telah mengemukakan tawaran yang lebih menarik kepada Indonesia, sekiranya negara Asia Tenggara itu memilih pesawat pejuang F-15EX buatan syarikat itu bagi tentera udaranya.
Boeing berjanji bahawa sehingga 85 peratus daripada nilai program F-15EX akan melibatkan penyertaan industri tempatan Indonesia.
Ini termasuklah penglibatan pembekal tempatan dalam rantaian bekalan aeroangkasa global Boeing, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi negara Asia Tenggara itu dan memperkukuh keupayaan pertahanan nasional Indonesia.

“Sekiranya Indonesia memilih untuk membeli F-15EX, Boeing akan menunaikan komitmennya terhadap kandungan tempatan sebanyak 85 peratus serta program timbal balas (offset), selaras dengan keutamaan pertahanan dan industri negara,” kata Presiden Boeing Asia Tenggara Penny Burtt dalam satu taklimat dalam taklimat di ibu negara Indonesia, Jakarta baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau menjelaskan: “Kami belum menerima sebarang permintaan khusus daripada pihak Indonesia.”
Tawaran yang dikemukakan oleh Boeing kepada Indonesia itu turut merangkumi pemindahan teknologi serta pelaksanaan program timbal balas industri, dengan matlamat untuk memperkasakan syarikat-syarikat tempatan Indonesia dan menyokong keutamaan pertahanan negara.
Boeing dilaporkan berhasrat untuk bekerjasama dengan rakan-rakan industri di Indonesia dalam aspek latihan, penyelenggaraan, baik pulih dan operasi (MRO), bagi memastikan kelestarian serta keberkesanan armada F-15EX dalam jangka panjang, sekiranya pesawat pejuang itu diperolehi oleh Indonesia.
F-15EX
F-15EX
Cadangan turut merangkumi inisiatif untuk memperkasa bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Indonesia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor aeroangkasa negara.
Dengan mengintegrasikan kandungan tempatan dan memberi penekanan kepada pemindahan teknologi, tawaran Boeing bukan sahaja bertujuan memperkukuh keupayaan pertahanan Indonesia, tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi dalam negara.
Tawaran oleh gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat itu adalah susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertahanan Indonesia dan Boeing pada 21 Ogos 2023 berhubung rancangan pembelian 24 unit pesawat F-15EX oleh Jakarta.
”Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan komitmen kami untuk memperolehi F-15EX yang amat kritikal kepada Indonesia. Pesawat pejuang canggih ini akan melindungi dan mempertahankan negara ini dengan kemampuannya yang moden,” kata Subianto yang pada ketika memegang jawatan Menteri Pertahanan Indonesia.
Perjanjian tersebut mencerminkan komitmen untuk memodenkan keupayaan pertahanan udara Indonesia sambil menggalakkan penglibatan besar industri tempatan dalam pelaksanaannya.
Pada Februari 2022, US Defense Cooperation Security Agency (DSCA) mengumumkan bahawa ia telah meluluskan potensi Foreign Military Sales (FMS) bernilai US$13.9 (RM62. 5 bilion) untuk membekalkan Indonesia dengan 36 buah pesawat pejuang F-15ID, yang adalah sama seperti F-15EX.
Menurut kenyataan daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat, Washington juga meluluskan penjualan 87 buah enjin jet F110-GE-129 or F100-PW-229,  45 AN/APG-82(v)1 Advanced Electronically Scanned Array (AESA) Radars,  45 buah AN/ALQ-250 Eagle Passive Active Warning Survivability Systems (EPAWSS), 48 buah Advanced Display Core Processor (ADCP) II digital computers, 80 buah Joint Helmet Mounted Cueing Systems (JHMCS),  92 buah Embedded Global Positioning Systems (GPS)/Inertial Navigation System (EGI) security devices,  40 buah AN/AAQ-13 LANTIRN navigation pods, 40 buah AN/AAQ-33 Sniper Advanced Targeting Pods (ATP), 40 buah M61A “Vulcan” gun systems dan lain-lain lagi.
F-15EX
Menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat, cadangan penjualan 36 buah pesawat pejuang F-15EX bernilai US$13.9 bilion (RM55.6 bilion) oleh Amerika Syarikat kepada Indonesia tidak akan mengubah keseimbangan asas ketenteraan di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik.
“Cadangan penjualan peralatan itu (36 buah pesawat pejuang F-15EX dan sokongan tidak akan mengubah keseimbangan asas ketenteraan di rantau terbabit,” menurut kenyataan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat itu.
Cadangan penjualan itu juga menurut jabatan itu, akan menyokong matlamat dasar luar dan keselamatan Amerika Syarikat dengan meningkatkan keselamatan rakan serantau yang penting kepada Amerika Syarikat.
“Ia (cadangan penjualan F-15EXkepada Indonesia) juga akan meningkatkan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi di Asia Pasifik.”
F-15EX, yang akan dikenali sebagai F-15IDN untuk Indonesia, merupakan varian terkini dan paling canggih pesawat pejuang F-15 yang dibangunkan oleh Boeing.
Ia dilengkapi dengan keupayaan membawa persenjataan yang lebih besar, sistem avionik termaju serta tahap kelangsungan tempur yang dipertingkatkan, menjadikannya aset yang amat bernilai dalam usaha pemodenan angkatan udara Indonesia.
Menurut Boeing, F-15EX kini digunakan oleh tujuh buah negara.
Berdasarkan fact sheet yang dikeluarkan Boeing, pesawat pejuang ini mempunyai keupayaan membawa muatan yang dipertingkatkan dengan 23 stesen senjata (weapon stations) keseluruhan, membolehkan ia menyerang pelbagai sasaran serentak serta melaksanakan pelbagai jenis misi dalam satu penerbangan, termasuk penguasaan udara, pemintasan dan sokongan udara rapat.
F-15EX
Jika Indonesia meneruskan rancangan untuk memperoleh pesawat pejuang generasi terkini F-15EX daripada Boeing, langkah itu akan meletakkan Tentera Nasional Indonesia–Angkatan Udara (TNI-AU) dalam liga kuasa udara moden dengan keupayaan tempur strategik yang jauh lebih unggul berbanding aset sedia ada.
F-15EX, yang dijangka dikenali sebagai F-15IDN bagi varian Indonesia, merupakan versi paling maju dalam keluarga F-15 yang telah terbukti berkesan sejak era Perang Dingin.
Antara kelebihan utama F-15EX adalah keupayaannya membawa peluru berpandu jarak jauh seperti AIM-120D AMRAAM dan AGM-158 JASSM (Joint Air-to-Surface Standoff Missile), memberikan Indonesia keupayaan serangan jarak jauh terhadap sasaran bernilai tinggi dalam persekitaran yang penuh ancaman.
Sistem avionik termaju termasuk radar AESA (Active Electronically Scanned Array) AN/APG-82(V)1 membolehkan pesawat ini mengesan, menjejak dan menyerang pelbagai sasaran secara serentak walaupun dalam suasana peperangan elektronik yang kompleks.
 Ia juga mampu menjalankan misi berintensiti tinggi tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pesawat sokongan.
Dari sudut pertahanan udara, kehadiran F-15EX mampu berfungsi sebagai ‘force multiplier’ kepada aset tempur sedia ada Indonesia seperti Su-27, Su-30 dan pesawat F-16 yang telah lama berkhidmat.
Ia turut memperkukuh keupayaan ‘air policing’ dan pencegahan strategik di kawasan sengketa seperti Laut Natuna Utara serta perairan yang semakin tegang di rantau Asia Tenggara.
F-15EX
F-15EX juga mempunyai struktur ‘open mission system’ yang membolehkan integrasi sistem tempur baharu tanpa bergantung kepada vendor asal—satu ciri yang memberikan fleksibiliti tinggi dalam tempoh jangka panjang.
Dari perspektif strategik, pemilikan F-15EX akan menghantar isyarat jelas bahawa Indonesia serius dalam memperkukuh keupayaan pertahanannya sejajar dengan pengaruh geopolitik dan cabaran keselamatan serantau.
 Ia akan meningkatkan daya cegah negara dalam menghadapi ancaman dari udara, termasuk pencerobohan ruang udara, konflik wilayah serta potensi ketidakseimbangan kuasa ketenteraan di rantau ini.
Secara keseluruhannya, F-15EX bukan sekadar pesawat pejuang—ia adalah pelaburan strategik yang mampu merubah lanskap kekuatan udara Indonesia dan meningkatkan daya pengaruhnya sebagai kuasa ketenteraan utama di Asia Tenggara.
— DEFENCE SECURITY ASIA

BoeingF-15EXIndonesia
Comments (0)
Add Comment