Benarkah “Si Pembunuh Rafale” J-10C Buatan China Dibangunkan Guna Bantuan Teknikal Israel ??

Di sebalik kejayaan membanggakan China melancarkan pesawat pejuang J-10 "Vigorous Dragon" pada 1998 , spekulasi bertiup kencang bahawa program pembangunan pesawat pejuang J-10 itu telah mendapat “bantuan” teknikal daripada sumber tidak disangka-sangka iaitu Israel, yang merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat.
Benarkah “Si Pembunuh Rafale” J-10C Buatan China Dibangunkan Guna Bantuan Teknikal Israel ??
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nama dan status pesawat pejuang J-10C “Vigorous Dragon” buatan China pada ketika ini berada di tahap tertinggi, terutamanya selepas dakwaan kejayaan pesawat milik Tentera Udara Pakistan itu dibantu peluru berpandu BVR PL-15E menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India.
Malah, saham syarikat pembuat pesawat itu, AVIC Chengdu Aicraft Co Ltd yang disenaraikan di Shenzhen dilaporkan telah melonjak sebanyak 53 peratus selepas kejayaan pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan menembak jatuh pesawat Rafale itu tersebar di media.
AVIC Chengdu Aircraft Co Ltd merupakan syarikat pertahanan aeroangkasa yang sama yang membina pesawat pejuang JF-17 “Thunder” bersama-sama rakannya, Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan J-10C.
Tentera Udara Pakistan kini mengoperasikan pesawat J-10 Vigorous Dragon dan JF-17 Thunder.
Apa yang sudah pasti, J-10C yang berkemungkinan digelar  — “Pembunuh Rafale” selepas ini — bakal menjadi antara produk pertahan terlaris industri pertahanan China kerana banyak negara daripada segenap pelusuk dunia akan beratur panjang untuk menjadikannya pesawat pejuang itu sebahagian daripada aset tentera udara mereka.
Pelancaran pesawat pejuang J-10 “Vigorous Dragon” oleh China pada tahun 1998 merupakan suatu detik bersejarah dalam industri pertahanan negara itu, yang pada ketika itu dianggap baru sahaja “berjinak-jinak” dengan industri aeroangkasa dan masih kurang pengetahunan serta pengalaman.
Ia bukan sekadar pengenalan kepada pesawat tempur baharu, tetapi juga lambang keupayaan China dalam membangunkan teknologi ketenteraannya sendiri.
LAVI
Pesawat pejuang LAVI buatan Israel
J-10C Pakistan
Namun, di sebalik kejayaan ini, spekulasi bertiup kencang bahawa program pembangunan pesawat pejuang J-10 itu telah mendapat “bantuan” teknikal daripada sumber yang tidak disangka-sangka iaitu Israel, yang merupakan rakan karib Amerika Syarikat.
Walaupun Israel dikenali sebagai sekutu utama Amerika Syarikat, laporan mendakwa bahawa negara itu telah memberikan sokongan teknikal kepada China, yang akhirnya membolehkan industri pertahanan tempatan China menghasilkan pesawat pejuang generasi baharu.
Hubungan erat antara kontraktor pertahanan Israel dan China dikatakan bermula sejurus kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1992.
Syarikat pertahanan utama Israel, Israel Aerospace Industries (IAI), dilaporkan telah bekerjasama dengan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) pada peringkat awal program pembangunan pesawat pejuang J-10.
Kolaborasi ini dipercayai memainkan peranan penting dalam kejayaan China membangunkan prototaip pesawat pejuang tersebut.
Menurut sumber pertahanan, pesawat J-10 mempunyai persamaan ketara dengan pesawat pejuang Israel, LAVI, yang dibangunkan pada era 1980-an menggunakan teknologi dan dana dari Amerika Syarikat.
Pesawat pejuang “Lavi” buatan Israel
LAVI adalah projek pesawat pejuang ringan Israel yang direka untuk bersaing dengan pesawat F-16 “Fighting Falcon” buatan Lockheed Martin.
Walau bagaimanapun, Washington menghentikan pembiayaan projek tersebut kerana bimbang ia akan menyaingi pasaran eksport pesawat tempur Amerika.
Laporan mendakwa bahawa Israel telah berkongsi maklumat teknologi pesawat LAVI dengan China secara rahsia.
Ini termasuk teknologi avionik, bahan komposit, dan sistem kawalan penerbangan yang turut digunakan dalam pesawat pejuang Amerika Syarikat.
Salah satu bukti utama pengaruh Israel terhadap J-10 adalah rekabentuk “canard-delta,” yang hampir serupa dengan LAVI.
Bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan ketara antara kedua-dua pesawat ini, seperti saiz dan konfigurasi sayap yang telah diubah suai.
Selain daripada pembangunan J-10, laporan turut menyatakan bahawa Israel dan China telah menjalinkan kerjasama dalam teknologi persenjataan.
Pada tahun 1989, syarikat China, Xian Aircraft Corporation, membangunkan peluru berpandu udara-ke-udara “PL-8,” yang dikatakan sebagai varian daripada peluru berpandu “Python-3” milik Israel.
J-10CE (credit Hurin92)
Sehingga kini, PL-8 masih digunakan oleh Tentera Udara China, membuktikan keberkesanan teknologi Israel dalam sistem persenjataan China.
Israel juga didakwa telah membantu China dalam pemindahan teknologi radar Doppler E/LM-2035 dan sistem navigasi inersia “Tamam,” yang mana variannya masih digunakan oleh pesawat J-8 dan J-10.
Pada tahun 1980-an, syarikat-syarikat pertahanan Barat termasuk dari Amerika Syarikat dan Eropah banyak berkongsi teknologi dengan China sebagai sebahagian daripada strategi mengekang pengaruh Kesatuan Soviet.
Kerjasama ini membantu China memperoleh akses kepada teknologi pertahanan moden, termasuk enjin pesawat dan sistem avionik canggih.
Namun, hubungan pertahanan ini terputus selepas tragedi Tiananmen pada tahun 1989, apabila negara-negara Barat mengenakan sekatan ketenteraan terhadap Beijing.
Walaupun sekatan tersebut memberi kesan kepada pembangunan ketenteraan China, Beijing terus mencari sumber alternatif bagi mendapatkan teknologi pertahanan.
Israel, yang memiliki kepakaran tinggi dalam pembangunan sistem senjata dan avionik, dipercayai menjadi salah satu rakan utama dalam usaha tersebut.
PL-15E Beyond Visual Range Air-to-Air Missile (BVRAAM)
Pembangunan pesawat J-10 menandakan satu era baharu dalam keupayaan China menghasilkan pesawat pejuang sendiri.
Walaupun terdapat dakwaan bahawa kejayaan ini sebahagiannya dibantu oleh perkongsian teknologi dengan Israel, China telah berjaya membangunkan industri pertahanannya sehingga kini mampu menghasilkan pesawat generasi kelima seperti J-20 Mighty Dragon.
Sama ada bantuan teknikal Israel benar-benar memainkan peranan besar dalam pembangunan J-10 atau tidak, ia tetap menjadi salah satu kisah menarik dalam sejarah evolusi ketenteraan China yang semakin pesat membangun.
— DEFENCE SECURITY ASIA

AVIC ChengduJ-10CPakistanRafaleVigourous Dragon
Comments (0)
Add Comment