Beli Senjata Dari China Umpama Berinya “Hadiah” Kerana Menceroboh

Admin tidak nampak sebarang lojik disebalik keputusan kita membeli peralatan pertahanan daripada China yang mengerahkan kapal-kapalnya untuk menceroboh kedaulatan negara kita “hampir setiap hari”.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) mengatakan bahawa kapal-kapal China telah menganggu (harass) kapal-kapal offshore milik syarikat Malaysia yang beroperasi di lapangan minyak dan gas milik PETRONAS di Laut China Selatan.

Menurut AMTI itu lagi, gangguan terhadap kapal-kapal Malaysia itu berlaku “hampir setiap hari selama dua tahun.”

“Pihak Pengawal Pantai China mahu menguasai Luconia Shoals (Beting Patinggi Ali), dimana syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS memiliki beberapa lapangan minyak dan gas dan mereka (kapal-kapal China) telah menganggu mana-mana kapal Malaysia yang terlibat dengan apa-ap aktiviti mencari gali minyak atau gas di kawasan itu,” menurut Pengarah AMTI Greg Poling kepada akhbar South China Morning Post.

Luconia Shoals atau Beting Patinggi Ali itu terletak kira-kira 200km daripada kawasan pantai Bintulu di Sarawak.

Laporan oleh AMTI imengenai gangguan yang dialami oleh kapal-kapal Malaysia daripada kapal-kapal China menyusul selepas Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan bahawa beliau menjangkakan Beijing akan mengerah lebih banyak kapalnya untuk menceroboh perairan Malaysia selagi PETRONAS terus membangunkan Lapangan Gas Kasawari di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Sarawak.

Lapangan Gas Asli Kawasari yang sedang dibangunkan oleh PETRONAS.

 

“Saya merasakan selagi PETRONAS membangunkan Lapangan Gas Asli Kasawari, kita (kerajaan) boleh menjangkakan (lebih banyak kapal-kapal) China akan melawat kawasan perairan (milik Malaysia)  itu dengan lebih kerap.”

“Kita sentiasa melakukan bantahan (terhadap China). Saya sudah tidak lagi mengira bilangan nota bantahan yang telah kita hantar kepada China. Kita akan terus memberikan respons secara diplomatik kepada mereka (China),” kata Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah.

Pencerobohan China bukan sahaja berlaku di kawasan perairan, tetapi gangguan dan provokasi turut berlaku di ruang udara sebagaimana insiden pada 31 Mei lepas dimana 16 buah pesawat tentera negara itu terbang dalam formasi taktikal berhampiran dengan ruang udara negara.

Provokasi pesawat-pesawat tentera China itu telah memaksa Kementerian Luar atau Wisma Putra memanggil duta besar China di Kuala Lumpur untuk mengemukakan bantahan diplomatik negara terhadap tindakan Beijing itu.

Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM di Zon Maritim Malaysia pada akhir Mei lepas.(kredit TUDM)

 

Namun, apa yang dapat kita lihat adalah China langsung tidak “ambil pusing” terhadap bantahan kita tentang pencerobohan yang dilakukan oleh kapal-kapalnya di perairan kita.

Beijing “buat pekak” dan “buta” terhadap bantahan-bantahan kita, sebagaimana yang dilakukannya apabila menerima bantahan yang sama daripada negara-negara lain.

Bukan sahaja China “menutup mata dan telinga” terhadap pencerobohan yang dilakukan oleh kapal-kapal dan pesawatnya terhadap Malaysia, tetapi apa yang lebih menakjubkan adalah dalam masa yang sama Beijing cuba menjual sistem-sistem persenjataannya kepada Kuala Lumpur.

Bukankah sesuatu yang pelik apabila “negara penceroboh” cuba membantu negara yang dicerobohnya (setiap hari selama dua tahun – sebagaimana dilaporkan oleh AMTI), menolong negara itu (dalam kes ini Malaysia) menangani pencerobohan yang dilakukan (oleh China sendiri).

Tapi nampaknya ia tidak berapa “pelik” bagi Kementerian Pertahanan kerana ia telah pun membelanjakan lebih daripada RM1 bilion untuk membeli empat buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) daripada China beberapa tahun lepas.

Dan tiga buah kapal LMS yang kita telah terima daripada China dan kini ditempatkan di Pengkalan TLDM Kota Kinabalu, telah digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memantau pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China di perairan ZEE negara di Sabah dan Sarawak.

Kapal-kapal TLDM yang diperbuat di China kini digunakan untuk “menghalau” kapal-kapal pengawal pantai China yang menceroboh negara ini.

Baru-baru ini, TLDM telah mentauliahkan kapal LMS miliknya yang ketiga “ KD Badik” (gambar kredit TLDM)

 

Admin tidak nampak sebarang lojik disebalik keputusan kita membeli peralatan pertahanan daripada China yang mengerahkan kapal-kapalnya untuk menceroboh kedaulatan negara kita “hampir setiap hari”.

Pada pendapat admin, membeli peralatan pertahanan daripada China seolah-seolah “memberi Beijing hadiah atas setiap pencerobohan” yang dilakukan oleh kapal-kapalnya terhadap Malaysia sejak sekian lama.

Dan kini media tempatan mengatakan bahawa sebuah syarikat China iaitu,  China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC) turut menyertai tender untuk membekalkan 18 buah pesawat FLIT/LCA kepada TUDM.

CATIC menawarkan pesawat L-15 kepada TUDM.

Pesawat L-15

 

“China dijangka akan mengemukakan pakej yang amat menarik daripada segi pembiayaan (financing) dan janji pemindahan teknologi daripada CATIC bagi memastikan ia memenangi kontrak daripada Malaysia itu,” menurut laporan sebuah akhbar mengenai usaha syarikat China itu untuk memenangi tender daripada TUDM itu.

Harap-harap jangan ada pihak yang “gelap mata” dengan segala pakej-pakej menarik yang ditawarkan oleh China bagi membolehkannya memenangi tender pesawat FLIT/LCA TUDM itu.

Pihak-pihak yang membuat keputusan tentang tender FLIT/LCA TUDM itu hanya perlu mengenang pengorbanan anggota keselamatan kita dalam mengekang pencerobohan kapal-kapal China, sekiranya terdetik di dalam pemikiran mereka untuk menganugerahkan syarikat China itu dengan tender pesawat FLIT/LCA TUDM itu.

Admin juga dimaklumkan bahawa syarikat-syarikat pertahanan China bukan sahaja berminat dengan tender pesawat FLIT/LCA, tetapi mereka juga berminat untuk membekalkan Malaysia dengan pelbagai sistem pertahanan termasuk self-propelled howitzer, medium-range air defence system dan pelbagai lagi.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

ChinapertahananPetronasSyarikat
Comments (0)
Add Comment