Bekalan Alat Ganti Su-30MKM Malaysia Mencukupi Untuk Tiga Tahun

Isu mengenai bekalan alat ganti pesawat pejuang Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu timbul berikutan konflik di antara Russia dan Ukraine serta sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap negara-negara Barat terhadap Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bekalan alat ganti pesawat pejuang Su-30MKM yang dimiliki oleh Malaysia adalah mencukupi untuk menampung keperluan operasi pesawat pejuang buatan Russia itu selama tiga tahun.

Bercakap kepada akhbar New Strait Times, Ketua Pegawai Eksekutif Aerospace Technology System Corp Sdn Bhd (ATSC) Lt Kol (B) Datuk Mohd Fadzar Suhada berkata Malaysia memiliki bekalan alat ganti pesawat pejuang Su-30MKM yang mencukupi.

“Pada permulaan operasi ketenteraan di Ukraine, kita mempunyai bekalan alat ganti bernilai RM7 juta. Menjelang akhir tahun 2023, inventori alat ganti kami telah meningkat kepada RM13 juta. Ini adalah baik untuk (menampung keperluan) kira-kira tiga tahun,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada akhbar terbabit di Vladivostok, Russia ketika menghadiri Eastern Economic Forum ke-9.

Turut menghadiri forum di bandar Timur Jauh Russia itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Russia Vladimir Putin.

Pesawat Su-30MKM melancarkan peluru berpandu pada Eksesais ABABIL 2021. (gambar TUDM)

 

ATSC merupakan subsidiari kepada National Aeropace and Defence Industries Sdn Bhd yang bertanggungjawab menyelenggara pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TUDM memiliki 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM yang dibina oleh syarikat Irkut Corp dan kini berpengkalan di Gong Kedak.

Selain Russia, Malaysia juga memperolehi alat-alat ganti pesawat pejuang Su-30MKM itu daripada India yang merupakan antara pengguna terbesar pesawat pejuang itu dengan varian Su-30MKI dioperasikan oleh Tentera Udara India (IAF),  kata Mohd Fadzar.

Isu mengenai bekalan alat ganti pesawat pejuang Su-30MKM timbul berikutan konflik di antara Russia dan Ukraine serta sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap negara-negara Barat terhadap Russia.

Menurut Mohd Fadzar, sekatan ekonomi terhadap Russia telah menjejaskan jaringan bekalannya.

“Bagaimanapun kami menguruskannya dengan baik, memandangkan sebahagian besar daripada kerja-kerja penyelenggaraan pesawat dilakukan dalam negara,” katanya.

Sebuah pesawat Su-30MKM ketika terbang rendah di Stesen Lima, Pulau Layang-Layang (gambar sumbangan pembaca DSA)

 

Tahun lepas, Timbalan Menteri Pertahanan dilaporkan berkata, walaupun peperangan Russia-Ukraine itu berkemungkinan akan berlanjutan untuk suatu tempoh yang tidak dapat dijangkakan, tetapi Kementerian Pertahanan dan TUDM telah merangka pelan penyelenggaraan pesawat pejuang Su-30MKM untuk tempoh akan mendatang. 

Menurutnya, pihak TUDM juga mempunyai keupayaan dalaman untuk melakukan sendiri sebahagian daripada penyelenggaraan pesawat Sukhoi Su-30MKM itu termasuk peralatan elektroniknya.

“Bukan semua penyelenggaraan harus ditampung syarikat dari Rusia itu sendiri, tetapi kita tahu keupayaan TUDM yang sebahagian daripada penyelenggaraan termasuk dalam bidang elektronik, kita punyai keupayaan dalaman,”katanya. — DSA

 

Alat GantifeaturedRussiaSu-30MKM
Comments (0)
Add Comment