Beijing Sedia Eksport Antara Kapal Perang Termodennya, Type 052D Pada Pembeli Luar

Dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array), Vertical Launch System (VLS) yang berkemampuan melancar pelbagai jenis peluru berpandu dan siste fire-control termoden, Beijing membangunkan kapal perang Type 052D untuk menyaingi kapal perang kelas-Arleigh Burke Tentera Laut Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketika mula diperkenalkan pada tahun 2014, kapal perang destroyer “Type 052D” milik China dianggap sebagai kapal perang destroyer termoden negara itu, setaraf dengan kapal perang destroyer kelas-Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

 Pakar-pakar ketenteraan China mendakwa kapal perang Type 052D seberat 7,500 tan dan sepanjang 161 meter itu merupakan kapal perang pertahanan udara paling moden di pasaran antarabangsa ketika ia mula-mula diperkenalkan.

Dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array), Vertical Launch System (VLS) yang berkemampuan melancar pelbagai jenis peluru berpandu dan siste fire-control termoden, Beijing membangunkan kapal perang Type 052D untuk menyaingi kapal perang kelas-Arleigh Burke Tentera Laut Amerika Syarikat.

Selain itu, kapal perang Type 052D itu turut dilengkapi dengan 64 buah cell VLS yang berkemampuan melancarkan peluru-peluru berpandu untuk menangani ancaman darat, udara, kapal serta bawah permukaan dibantu oleh radar AESA yang berkuasa tinggi itu.

Kini selepas 25 buah kapal destroyer Type 052D ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut China dan enam buah masih dalam pembinaan, Beijing kini bersedia untuk mengeksport antara kapal perang termodennya itu kepada mana-mana negara yang berminat untuk memperolehinya.

Bagaimanapun, dijangkakan tidak banyak negara yang berkemampuan untuk memilikinya kerana faktor harga tetapi Beijing dijangka akan terus mempromosi dan menjualnya sebagai salah satu usaha untuk memperolehi pengaruh dan usaha berbaik dengan negara terbabit.

Negara-negara seperti Pakistan mungkin berfikir-dua kali sebelum membeli kapal Type 052D kerana harganya.

Bercakap kepada South China Morning Post (SCMP), penganalisis tentera laut berpangkalan di Beijing, Li Jie berkata, tawaran China untuk mengeksport kapal perang Type 052D itu berkemungkinan kerana ia bukan lagi merupakan kapal perang termoden negara itu dalam kelasnya.

“Ini bermakna (keputusan untuk mengeksport kapal perang Type 052D bermakna kapal itu bukan lagi kapal perang termoden, tercanggih dalam kelasnya dan sebab itulah China kini bersedia untuk mengeksportnya ke negara luar,” kata beliau.

China berkemungkinan pada masa ini sudah pun memiliki kapal perang yang lebih moden berbanding Type 052D dan sebab itulah ia bersedia untuk mengeksport kapal perang terbabit kepada mana-mana yang berminat memilikinya.

Menurut Li Jie lagi, China mungkin sudah bersedia untuk memperkenalkan kapal perang terbarunya untuk menggantikan Type 052D iaitu Type 052E yang lebih moden dan lebih berkeupayaan berbanding model terdahulunya.

Beliau berkata kapal-kapal perang di dalam lingkungan berat di antara 7,000 tan hingga 8,000 tan mempunyai permintaan yang tinggi kerana ia amat berguna untuk menangani pelbagai scenario konflik.

Di dalam tempoh 2012 hingga 2022, selain kapal destroyer Type 052D, China juga telah membina dua buah kapal pengangkut pesawat, lapan buah kapal perang Type 055 seberat 12,000 tan setiap sebuah dan tiga buah kapal amphibious assault ship seberat 40,000 tan setiap sebuah. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Arleigh BurkeChinafeaturedKapalType 052D
Comments (1)
Add Comment