Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Proteo”, Hero Dari Mexico

Terbang ribuan kilometer daripada negara asal mereka, “Proteo” dan 15 ekor anjing penyelamat Mexico bertungkus-lumus bertugas membantu anggota penyelamat mencari mangsa-mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan-runtuhan bangunan. Bagaimanapun malang menimpa “Proteo” dua hari lepas (12 Feb).

0 1,753

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 8 Februari yang lalu, hanya dua hari selepas kejadian gempa bumi di Turkiye, 16 ekor anjing penyelamat daripada Mexico tiba di negara Mediterranean itu untuk menyertai usaha-usaha mencari dan menyelamat mangsa kejadian bencana alam yang sehingga kini telah mengorbankan lebih daripada 30,000 orang.

Seekor daripada anjing-anjing penyelamat yang cukup terlatih itu adalah “Proteo” yang bertugas bersama-sama anggota anggota penyelamat SEDENA (Secretaría de la Defensa Nacional), Mexico.

Terbang ribuan kilometer daripada negara asal mereka, “Proteo” dan 15 ekor anjing penyelamat Mexico bertungkus-lumus bertugas membantu anggota penyelamat mencari mangsa-mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan-runtuhan bangunan di Turkiye.

Bagaimanapun malang menimpa “Proteo” dua hari lepas (12 Feb)  kerana berdasarkan laporan dari pelbagai sumber, anjing penyelamat dari Mexico itu telah terperangkap dalam runtuhan bangunan ketika bertugas di Hatay, yang merupakan salah satu kawasan di Turkiye yang paling teruk terjejas.

Sebelum itu “Proteo” dikatakan sempat menyelamatkan dua orang mangsa.

Proteo
“Proteo”

 

Anggota perubatan cuba menyelamat “Proteo” tetapi tidak berhasil dan anjing penyelamat daripada Mexico itu mati, berkemungkinan menjadikannya anjing penyelamat antarabangsa pertama terkorban di Turkiye ketika bertugas.

Satu majlis rasmi turut diadakan oleh SEDENA bagi mengenang jasa dan pengorbanan rakan penyelamat mereka “Proteo” yang terkorban ketika bertugas tanpa mengenal erti penat cuba mengesan mangsa-mangsa di celah-celah runtuhan bangunan di Turkiye.

Kementerian Pertahanan Mexico dalam satu kenyataan pada Ahad mengucapkan terima kasih “Proteo” atau pengorbanannya.

“Terima kasih Proteo , anda telah menyempurnakan misi Tentera Darat Mexico. Anggota tentera darat dan tentera udara Mexico amat kesal atas kehilangan rakan kami “Proteo”. Anda telah menyempurnkan misi sebagai anggota delegasi Mexico untuk mencari dan menyelamat saudara kami di Mexico.”

“Kami amat berbangga dengan anda (Proteo),” kata kenyataan itu.

Proteo

Salah seorang anggota tentera Mexico yang terlibat dalam usaha bersama-sama “Proteo” dilaporkan berkata: “Saya mahu mengatakan kepada anda (Proteo) bahawa saya amat berbangga dengan anda kerana anda amat kuat, anjing penyelamat yang tidak pernah menyerah kalah.”

Seekor lagi anjing penyelamat yang disifatkan sebagai wira tidak didendang adalah “Haetae” daripada pasukan penyelamat Korea Selatan yang terus bertugas mencari mangsa di bawah runtuhan walaupun kakinya tercedera selepas terpijak kaca dan besi.

Proteo
“Haetae” anjing penyelamat dari Korea Selamat.

 

Seekor lagi anjing penyelamat daripada Korea Selatan dipanggil “Tobaek” turut mengalami kecederaan di bahagian kaki, tetapi tetap meneruskan usaha mencari dan menyelamat mangsa-mangsa runtuhan bangunan di Turkiye itu.

Pasukan mencari dan menyelamat Malaysia di Turkiye turut membawa dua ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie yang menjadi sandaran misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Proteo
Denti dan Frankie,anjing penyelamat dari Malaysia.

Denti dan Frankie pernah terbabit dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu.

Denti, anjing daripada baka Labrador, dan Frankie daripada baka English Springer Spaniel, masing-masing akan dikendali oleh pegawai bomba Tony Anak Albert Mani dan Y Thibagaran. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...