Beijing Guna Pulau Buatan Manusia di Laut China Selatan Sebagai “Kapal Pengangkut Pesawat”

Bagi kita Malaysia pula, ada di antara pulau buatan manusia ini atau “kapal pengangkut pesawat statik China” iaitu Fiery Cross Reef terletak tidak jauh daripada perairan Sabah, hanya dalam anggaran 540km sahaja.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China sedang membina kapal pengangkut pesawatnya yang ketiga pada ketika ini yang hanya dinamakan sebagai “Type 003”, kapal pengangkut pesawat yang paling besar dan paling canggih berbanding “Liaoning” dan “Shandong.”

Panjangnya sahaja dianggarkan 320 meter.

Sedang dibina di limbungan kapal di Jiangnan, kapal pengangkut pengangkut Type 003 itu membolehkan China menonjolkan kuasa lautnya di segenap pelusuk perairan di Pasifik terutamanya di Laut China Selatan.

Apabila ia siap dalam beberapa tahun lagi, China adalah kuasa laut di Pasifik malah Amerika Syarikat pun terpaksa mengakuinya.

Selain kapal-kapal pengangkut pesawat, Liaoning, Shandong dan Type 003, Beijing sebenarnya memiliki “beberapa lagi kapal pengangkut pesawat” lain yang membantu China mengukuhkan lagi cengkamannya terhadap Laut China Selatan.

“Kapal-kapal pengangkut pesawat” itu datang di dalam bentuk pulau-pulau buatan manusia yang diduduki haram oleh China di Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratly yang terletak di tengah-tengah laluan perkapalan yang sibuk dan penting di Laut China Selatan.

Pemerhati pertahanan antarabangsa menyifatkan pulau-pulau buatan manusia China di Laut China Selatan itu tidak ubah seperti “kapal pengangkut pesawat”, cuma bezanya berbanding Liaoning, Shandong atau Type 003 adalah ia statik dan tidak bergerak ke mana-mana.

Daripada terumbu-terumbu karang yang sunyi dan tidak berpenghuni di tengah lautan, China bermula pada 2013 telah melakukan kerja-kerja penambakan yang agresif untuk menukar ciri-ciri maritim itu kepada pulau-pulau buatan manusia yang lengkap.

Menurut pemimpin tentera Amerika Syarikat, China sedang membina “Great Wall of Sand” di Laut China Selatan dengan menambak terumbu-terumbu karang dan menjadikannya pulau-pulau buatan manusia.

Selepas berjaya menjadikannya sebagai pulau buatan manusia,  China kemudiannya telah melengkapkan pulau-pulau itu dengan pelbagai kemudahan tentera, sekaligus digelar oleh pemerhati antarabangsa sebagai “kapal pengangkut pesawat statik” di Laut China Selatan.

Empat buah pulau buatan manusia diduduki haram oleh China yang kini menjadi alat utama Beijing untuk menguasai Laut China Selatan adalah Woody Island di Paracel dan Subi, Mischief dan Fiery Cross yang diterletak di Spratly.

Di keempat-empat pulau buatan manusia itu, China telah membina hangar-hangar berhawa dingin untuk menempatkan pelbagai jenis pesawat daripada pesawat pejuang kepada pesawat anti-submarine warfare (ASW), jeti untuk kapal-kapal perang dan landasan-landasan kapal terbang yang panjang sehingga boleh menerima kehadiran pesawat pengebom.

Gambar satelit menunjukkan pesawat pengangkut Y-20 China mendarat di Fiery Cross Reef. Pesawat Y-20 adalah pesawat yang sama menceroboh ruang udara Malaysia pada 31 Mei lepas.

 

Selain itu pulau-pulau buatan manusia di Spratly dan Paracel itu juga dilengkapi dengan pusat-pusat komunikasi, radar-radar berkuasa dan jarak jauh serta kemudahan peluru-peluru berpandu anti-pesawat.

Walaupun buat masa ini, China tidak meletakkan banyak pesawat tenteranya di pulau-pulau buatan manusia di Laut China Selatan, tetapi keadaan itu pasti berubah sekiranya berlaku konflik bersenjata di Laut China Selatan.

Namun apa yang pasti adalah, apa yang dimiliki oleh keempat-empat pulau buatan manusia China ini, di dalam beberapa segi adalah lebih baik daripada yang diperolehi daripada kapal-kapal pengangkut pesawat yang sebenar.

Bagi kita Malaysia pula, ada di antara pulau buatan manusia ini atau “kapal pengangkut pesawat statik China” iaitu Fiery Cross Reef terletak tidak jauh daripada perairan Sabah, hanya dalam anggaran 540km sahaja.

Bayangkan, sebuah “kapal pengangkut pesawat statik” kuasa asing terletak hanya 500km daripada perairan kita.

Sebab itulah, apabila China menghantar 16 buah pesawat tenteranya ke Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei lepas, terdapat spekulasi dikalangan pemerhati yang mengatakan pesawat-pesawat tentera itu berlepas daripada pulau-pulau buatan manusia rekaan Beijing di Laut China Selatan itu.

Harap-harap, pihak keselamatan negara mempunyai jawapan terhadap kehadiran “kapal-kapal pengangkut pesawat statik” China di depan pintu rumah kita………

 

DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaFiery CrossMIschiefPulau Buatan ManusiaSubiWoody
Comments (0)
Add Comment