(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai aset yang mencukupi untuk memantau kawasan pertikaian di sekitar Beting Patinggi Ali yang terletak di perairan Sarawak.
Dipetik oleh agensi berita nasional BERNAMA, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah berkenaan diambil adalah untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China dan penting untuk negara meletakkan aset ketenteraan di kawasan pertindihan itu bagi mengelakkan ia dianggap dimiliki negara lain.
“Kita mengawasi keadaan di sana (Beting Patinggi Ali), TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia), TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan TDM (Tentera Darat Malaysia) bersedia dan kita juga ada meletakkan aset di kawasan berkenaan.
“Kita meletakkan aset kita untuk mengelakkan tidak menjadi doctrine of estopple (menghalang individu daripada menuntut sesuatu) iaitu apabila anda meletakkan aset di sana (perairan) itu menjadi milik anda,” katanya selepas meninjau projek pembinaan perumahan program Satu Anggota Satu Rumah di Sungai Besi di sini hari ini.
Mohamad berkata Malaysia tidak menganggap kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan berkenaan sebagai pencerobohan kerana ia adalah kawasan pertindihan.
Mohamad berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah portal berita menyatakan bahawa kapal peronda kelas – Kedah milik TLDM, KD Kelantan dilaporkan berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
Kapal peronda KD Kelantan (PV175) dilaporkan berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) untuk “shadow” (memantau) kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan milik Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
Menurut pemilik akaun Twitter, Ray Powell @GordianKnotRay, kapal peronda TLDM itu tiba di perairan sekitar Beting Patinggi Ali semalam (pada 22 Januari 2023) untuk memantau kapal pengawal pantai China, CCG 5303.
Powell merupakan penganalisis dengan Gordian Knot Center for National Security Innovation, Stanford University di Amerika Syarikat.
KD Kelantan menurutnya lagi bukanlah asing kepada kerja tugas-tugas “shadow” kapal-kapal pengawal pantai China yang memasuki kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia untuk menguatkuasa apa yang didakwa oleh Beijing sebagai “hak-hak maritim mereka.”
Kapal pengawal pantai China,CCG 5303 yang memiliki panjang 134 meter dan lebar 14 meter juga bukanlah asing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan sekitar Beting Patinggi Ali kerana ia kerapkali “bertugas” di kawasan EEZ Malaysia itu. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE