Krisis Tenaga Eropah Beri Arab Saudi Harapan Beli 48 Buah Eurofighter Typhoon

Krisis tenaga yang sedang melanda benua Eropah dengan teruk pada ketika ini akibat konflik Russia-Ukraine telah memberikan “cahaya” kepada Arab Saudi untuk merealisasikan pembelian pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang telah tertangguh sejak 2018 akibat veto daripada kerajaan Jerman. 

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lima tahun lepas, Arab Saudi dan United Kingdom menandatangani Memorandum Niat (Memorandum of Intent) mengenai hasrat negara Arab itu untuk membeli 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, bagi menambah pesawat pejuang itu yang sudah pun berada di dalam pegangannya.

Namun sehingga ini, negara Arab itu masih tertunggu-tunggu sama ada hasratnya untuk memperolehi pesawat pejuang itu akan dapat direalisasikan atau tidak.

Perolehan itu sekiranya berjaya dilaksanakan, akan menjadikan keseluruhan jumlah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Arab Saudi kepada 120 buah, memandangkan Riyadh telah pun memiliki 48 buah pesawat pejuang generasi 4.5 itu.

Bagaimanapun, selepas lima tahun menunggu, Arab Saudi masih gagal membeli 48 buah pesawat pejuang itu disebabkan tindakan kerajaan Jerman pada 2018 yang mem-veto penjualan itu dan enggan mengeluarkan permit eksport bagi membolehkan pesawat itu dijual pada Riyadh.

Jerman merupakan salah sebuah negara yang membangunkan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bersama-sama United Kingdom, Sepanyol dan Itali.

Diatas sebab itulah,  Berlin memiliki kuasa veto tentang keputusan penjualan pesawat pejuang terbabit walaupun United Kingdom beria-ia mahu menjualnya.

Kerajaan Jerman enggan mengeluarkan permit eksport bagi membolehkan penjualan pesawat Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi berikutan kejadian pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi dan juga penglibatan Riyadh dalam konflik di Yemen.

Penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu juga berhadapan dengan halangan selepas Mahkamah Rayuan di London menggantung penjualan senjata negara itu kepada Arab Saudi pada 2019 selepas mendapati kerajaan Britain gagal menilai risiko terhadap orang awam akibat tindakan ketenteraan Arab Saudi dan sekutunya di Yemen.

Pesawat Eurofighter Typhoon Tentera Udara Arab Saudi.

 

Bukan sahaja Arab Saudi menggunakan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu di Yemen tetapi ia juga menggunakan pesawat Panavia Tornado, bom pintar Paveway IV dan peluru berpandu Brimstone dan Storm Shadow.

Negara Arab itu memiliki 81 buah pesawat pejuang Panavia Tornado.

Bagaimanapun, krisis tenaga yang sedang melanda benua Eropah pada ketika ini telah memberikan “cahaya” kepada Arab Saudi untuk merealisasikan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang telah tertangguh sejak beberapa tahun ini. 

Krisis tenaga terburuk Eropah akibat konflik Russia-Ukraine telah memaksa kerajaan Jerman menarik balik larangan eksport komponen ketenteraan yang dikenakan kepada Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

Russia merupakan pembekal tenaga terbesar kepada Jerman dan juga keseluruhan Eropah.

Panavia Tornado

 

Kerajaan Jerman berharap menerusi langkah penarikan balik larangan eksport komponen ketenteraan itu akan membolehkan ia memperolehi bekalan tenaga daripada Arab Saudi dan UAE dengan terma-terma yang lebih baik.

Larangan eksport komponen ketenteraan Jerman dikenakan terhadap Arab Saudi dan UAE pada 2018.

Dengan penarikan balik larangan eksport komponen ketenteraan Jerman itu, Arab Saudi dibenarkan kembali untuk membeli peralatan dan senjata yang diperlukan oleh pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dan Panavia Tornado yang digunakan oleh tentera udara negara Arab itu.

Arab Saudi juga diberikan kebenaran membeli alat ganti bagi pesawat pengisi minyak Airbus A330 MRTT yang dibuat oleh syarikat Jerman.

Terdapat harapan daripada pelbagai pihak untuk melihat cadangan penjualan 48 buah pesawat Eurofighter Typhoon itu dihidupkan kembali, selepas tertangguh selama lima tahun.

Peluru Berpandu “Brimstone”

 

Jerman dan negara-negara Eropah yang bergantung dengan bekalan tenaga, terutamanya gas asli dari Russia sedang berhadapan dengan krisis tenaga paling buruk.

Krisis tenaga Eropah semakin buruk dengan penutupan saluran paip minyak Nord Stream di antara Russia dan Jerman akibat “tindakan sabotaj” sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak.

Negara-negara Eropah memerlukan sumber bekalan tenaga yang baru selain daripada Russia, membuatkan Jerman kembali “bermesra” dengan Arab Saudi dan negara-negara Teluk lain,yang kaya dengan sumber asli itu.

Jerman amat bergantung kepada bekalan tenaga daripada Russia.

Bagaimanapun akibat konflik di antara Moscow dan Kiev telah menyebabkan bekalan tenaga daripada Russia berkurangan menyebabkan peningkatan mendadak harga gas dan elektrik di Jerman dan kota-kota lain di Eropah.

Peluru berpandu “Storm Shadow.”

 

Peningkatan harga gas dan elektrik yang amat tinggi telah menyebabkan inflasi yang tinggi di Eropah, selain membebankan isi rumah dan kilang-kilang yang menjadi “enjin” kepada ekonomi benua itu.

Peningkatan harga gas asli itu juga bakal membuatkan ekonomi negara-negara Eropah mengalami kemelesetan yang buruk pada tahun depan. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Arab SaudiEurofighter TyphoonfeaturedJermanPesawat Pejuang