Arab Saudi Beli Sistem Pertahanan Udara Jarak Dekat “Pantsir” Keluaran Russia

Keputusan Arab Saudi membeli sistem pertahanan udara jarak dekat "Pantsir"  keluaran Russia itu menunjukkan sistem persenjataan negara itu tetap menjadi pilihan walaupun Moscow dikenakan sekatan ekonomi oleh Washington dan sekutunya berikutan konflik di Ukraine.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Arab Saudi dilaporkan muncul sebagai negara ketiga di Timur Tengah untuk membeli sistem pertahanan udara jarak dekat “Pantsir” yang dibangunkan oleh Russia, satu lagi bukti menunjukkan peningkatan keakraban hubungan pertahanan antara “sekutu” Washington dengan Moscow.

Sebelum Riyadh, sistem pertahanan udara jarak dekat Pantsir itu turut menjadi pilihan negara-negara jirannya seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.

Menurut media Itali, RID yang melaporkan perkara itu, keputusan Arab Saudi membeli sistem pertahanan udara jarak dekat “Pantsir”  keluaran Russia itu menunjukkan sistem persenjataan negara itu tetap menjadi pilihan walaupun Moscow dikenakan sekatan ekonomi oleh Washington dan sekutunya berikutan konflik di Ukraine.

Ia bagaimanapun tidak mendedahkan jenis dan varian sistem pertahanan udara Pantsir yang dibeli oleh Arab Saudi.

Sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan “geng-gengnya” itu menunjukkan ia tidak “memadamkan” minat negara-negara luar terhadap sistem pertahanan udara Russia.

Menurut pemerhati pertahanan antarabangsa, peningkatan kemampuan dan naiktaraf sistem pertahanan udara Pantsir itu terutamanya melibatkan perisiannya telah menjadikan sistem itu lebih berkesan dalam menangani ancaman daripada peluru berpandu dan roket sebagaimana yang dibuktikannya di Ukraine.

Arab Saudi dan Russia mempunyai hubungan yang lama,diperkukuhkan lagi menerusi kerjasama mereka di dalam pelbagai bidang terutamanya di dalam sektor tenaga memandangkan kedua-dua negara adalah pengeluar minyak terbesar dunia. 

Kedua-dua negara memainkan peranan yang penting dalam memastikan kestabilan harga minyak dunia pada ketika ini dan mengkordinasikan tindakan mereka menerusi kerjasama di antara negara-negara anggota OPEC dan negara-negara bukan anggota OPEC dipanggil OPEC +.

Kerapkali keputusan yang diambil oleh OPEC + itu tidak selari dengan Amerika Syarikat yang juga adalah antara negara pengeluar minyak besar dunia.

Selain itu, pembelian sistem pertahanan udara jarak dekat Pantsir oleh Arab Saudi itu juga menggambarkan langkah agresif negara itu untuk mempelbagaikan sistem pertahanannya daripada terlalu bergantung dengan satu-satu sumber seperti Amerika Syarikat.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Riyadh banyak membeli sistem persenjataan daripada sumber-sumber selain daripada Amerika Syarikat termasuk daripada China.

 Sistem pertahanan udara Pantsir dikatakan telah dinaiktaraf dengan “software” baru serta kemampuan untuk melihat 360 darjah bagi membolehkan ia mengesan dan menangani pelbagai jenis ancaman daripada peluru berpandu, pesawat, helikopter sehinggalah kepada dron-dron kecil yang digunakan oleh tentera Ukraine itu memantau dan menanda sasaran. 

Sistem pertahanan udara jarak dekat Pantsir dikenali sebagai SA-22 Greyhound oleh NATO dilengkapi dengan radar dan sistem elektro-optical yang membolehkan ia mengesan,menjejaki dan membedil sasaran sejauh 36km dan altitude setinggi 15km.

Ia boleh mengesan sebanyak 20 buah sasaran sama ada pesawat atau peluru berpandu serta menangani enam buah sasaran secara serentak.

Kenderaan pelancar sistem Pantsir itu membawa 12 buah peluru berpandu dan meriam yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 4km. –DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Arab SaudifeaturedPantsirRussia
Comments (0)
Add Comment