Arab Saudi Dilapor “Hilang Minat” Terhadap Rafale, Taruh Harapan Miliki F-35 Dibawah Trump

Menurut laporan media pertahanan antarabangsa, sebab utama kehilangan minat Arab Saudi terhadap perolehan pesawat pejuang Rafale adalah kerana Riyadh kini kembali menaruh harapan untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat, F-35 Lightning II selepas "kembalinya" Donald Trump sebagai penghuni Rumah Putih.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Arab Saudi dilaporkan mulai “kehilangan minat” terhadap pesawat pejuang generasi 4.5 Rafale buatan Perancis, terutamanya selepas Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini bagi menggantikan Joe Biden.
Menurut laporan media pertahanan antarabangsa, sebab utama kehilangan minat Arab Saudi terhadap perolehan pesawat pejuang Rafale adalah kerana Riyadh kini kembali menaruh harapan untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat, F-35 Lightning II selepas “kembalinya” Donald Trump sebagai penghuni Rumah Putih.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Arab Saudi telah meningkatkan usaha untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima bagi tentera udaranya yang kini diperkuatkan dengan pesawat-pesawat pejuang generasi 4 +++ seperti Eurofighter Typhoon dan F-15SA.
Dengan Trump kembali menjadi presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua, Arab Saudi dilaporkan berkeyakinan bahawa ia mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memperolehi F-35 berbanding ketika Washington di bawah pemerintahan Joe Biden.
Riyadh benar-benar mahukan pesawat pejuang generasi kelima dan melihat hubungan yang baik dengan Donald Trump sebagai jalan yang akan membolehkannya memiliki pesawat pejuang F-35 dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.
Tidak dapat dipastikan sama ada keyakinan Arab Saudi untuk memiliki pesawat pejuang F-35 di bawah pemerintahan Trump itu adalah adalah bersandarkan kepada sebab-sebab yang kukuh atau ia tidak lebih hanyalah “angan-angan” negara Arab itu.
Pesawat pejuang “Rafale” Mesir
Arab Saudi mahukan pesawat pejuang F-35 bagi menangani cabaran daripada pesaing utamanya di Timur Tengah iaitu Iran yang bakal dilengkapi dengan pesawat-pesawat pejuang lebih moden seperti Sukhoi Su-35 buatan Russia.
Laporan media beberapa tahun sebelum ini menyatakan bahawa Arab Saudi telah ditawarkan perolehan pesawat pejuang F-35 oleh Donald Trump ketika beliau menjawat jawatan sebagai Presiden Amerika Syarikat sekiranya Riyadh bersetuju untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.
Namun apabila Trump tewas dan Biden mengambilalih pentadbiran Amerika, cadangan penjualan F-35 kepada Arab Saudi itu telah “dibekukan” oleh pemimpin parti Demokrat itu.
Walaupun dianggap sebagai sekutu rapat dan “penyokong utama” Amerika Syarikat di Timur Tengah selama ini, namun Washington berkeras dengan enggan menjual pesawat pejuang F-35 kepada Arab Saudi.
Amerika Syarikat dibawah pentadbiran Joe Biden bertegas mahu memelihara “kelebihan kualitatif” kekuatan ketenteraan Israel yang mengoperasikan pesawat pejuang F-35 itu dan menolak cadangan pemilikan F-35 oleh Arab Saudi.
Selain itu, cadangan menjual F-35 kepada Riyadh turut mendapat bantahan daripada negara Yahudi itu sendiri.
F-35
Selepas kegagalan memiliki pesawat pejuang F-35, Arab Saudi dilaporkan telah melihat kepada Rafale, dengan varian terkini pesawat pejuang itu dikenali dengan nama “Super Rafale” menjadi perhatiannya.
Riyadh dilaporkan mempertimbangkan pembelian 54 pesawat Rafale dan sekiranya direalisasikan, ia akan menjadi pembelian pertama pesawat Perancis oleh Arab Saudi, mengikut jejak langkah negara-negara jiranya seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Oman dan Mesir. 
Akhbar mingguan Perancis Le Tribune menyatakan bahawa Arab Saudi secara rasmi telah meminta harga bagi perolehan 54 pesawat pejuang Rafale itu daripada syarikat pembuatnya, Dassault Aviation.
Sebelum ini, akhbar Perancis itu dalam laporannya menyatakan bahawa kerajaan Arab Saudi bercadang memperolehi di antara 100 buah hingga 200 buah pesawat pejuang Rafale,yang turut digunakan oleh beberapa negara jiran Arabnya.
Selain Rafale, kerajaan Arab Saudi juga ditawarkan pembelian pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh konsortium negara Eropah dan juga pesawat pejuang F-15EX oleh syarikat Boeing.
Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berhadapan masalah sebelum ini, selepas kerajaan Jerman pada 2018 bertindak menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tentera Udara Arab Saudi
Pesawat pejuang F-15 Arab Saudi
Bagaimanapun Jerman telah mengugurkan bantahannya terhadap penjualan Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi itu.
Tentera Udara Arab Saudi (RSAF) adalah pelanggan lama kepada Boeing kerana ia telah pun mengoperasikan varian terdahulu F-15 iaitu F-15 Eagle dan F-15 SA.
Syarikat Boeing menekankan bahawa pesawat pejuang F-15EX berkongsi karateristik dengan varian-varian awal F-15 terdahulu termasuk daripada segi infrastruktur, kelengkapan latihan, jurulatih dan kemahiran juruterbang.
Pada ketika ini, RSAF mengoperasikan 84 buah pesawat pejuang F-15SA.
Selain itu, Arab Saudi juga dilaporkan sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” oleh Arab Saudi itu dikata telah dibincangkan ketika lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Arab Saudi Putera Turki bin Bandar Al Saud ke Turkiye itu baru-baru ini.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Amerika SyarikatArab SaudiF-35Rafale
Comments (0)
Add Comment